Beberapa hari lalu masyarakat Islam dikejutkan dengan desakan supaya semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup. Desakan itu datang daripada dalam kalangan Islam sendiri , alasannya pusat tahfiz menjadi pemangkin generasi baru Islam yang jumud. Semua pusat tahfiz dituduh hanya mengajar pelajar menghafal al-Quran dan tidak disiplin ilmu kemahiran hidup yang lain. Sepatutnya tidak selantang dan sekeras itu kecaman terhadap pusat tahfiz. Perlahanlah sikit.

Tidak lama dulu pula seorang Islam mencadangkan, sekiranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu dikekalkan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan, pastikan Jakim tidak menyalurkan bantuan pada sekolah dan pusat tahfiz.

Tidak cukup itu seorang aktivis Islam pula mencadangkan status Islam digugurkan dalam kad pengenalan. Nampaknya semacam ada agenda terancang untuk membina persepsi terhadap khalayak bahawa bobroknya Islam, orang Islam dan keislaman di negara ini.

Kecaman terhadap Islam dan institusi Islam yang datangnya daripada Islam termasuk yang sekular menjadi laluan mudah pihak-pihak lain yang sememangnya mahu mengecilkan atau menghapuskan institusi Islam di negara ini. Walaupun kerajaan baru sangat terbuka tetapi kesan di sebaliknya terhadap institusi Islam dan Islam sendiri mesti menjadi keutamaan. Berpada-pada menyerang supaya tidak “mematikan” yang sudah ada.

Disebabkan kedudukan sebagai seorang Islam, maka kecaman-kecaman yang dilemparkan tanpa kajian yang mendalam serta menyeluruh menyelamatkan mereka daripada tindakan. Hal yang sama kalau dilakukan oleh bukan Islam sudah tentu berlaku ketegangan antara agama.  Tetapi ini tidak boleh dijadikan sandaran seperti kata orang tua-tua, tidak usahlah membasuh kain buruk di halaman. Tinggi maknanya itu. Tidak adakah akses untuk bersemuka dengan kerajaan secara tertutup?

Untunglah musuh-musuh Islam kerana pintu kubu pertahanan dibuka sendiri oleh kalangan Islam supaya musuh lebih mudah menyerang dan menghapuskan institusi yang berkaitan dengan Islam. Apakah bezanya pemikiran mereka dengan Barat yang melabelkan Islam dengan pengertian yang buruk-buruk? 

Mengenai tuduhan sekolah tahfiz menjadi pemangkin kejumudan dalam kalangan generasi baru Islam, ia dilontarkan tanpa hujah yang konkrit dan berasas kalaupun tidak berupa kajian yang empirikal sifatnya. Tuduhan ini bertentangan dengan hakikat sebenar sebahagian besar pusat atau sekolah tahfiz di negara ini.

Banyak pusat tahfiz walaupun bukan semua sudah menggabungkan pengajian al-Quran dengan pelbagai disiplin ilmu dan teknikal yang lain. Ini bertujuan supaya lepasan pusat atau sekolah tahfiz bukan sahaja menjadi orang profesional dalam bidang masing-masing tetapi juga tinggi pemikiran Islamnya.

Menurut statistik,   terdapat lebih kurang 1,000 pusat tahfiz di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 618 daripadanya berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Maaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri.   Selebihnya tidak didaftarkan. Sepatutnya hanya yang tidak didaftar atau dipantau ini sahaja yang didesak tutup bukan “pukul rata” semua pusat tahfiz.

Kalau cadangan ini diterima, wajar juga menutup semua sekolah vernakular yang menjadi pemangkin kegagalan generasi bukan Melayu menguasai bahasa kebangsaan. Tetapi sekolah vernakular tidak akan disentuh kerana ia tidak berkaitan dengan Islam. Maka dalam konteks ini pusat tahfiz jauh lebih rosak lagi merosakkan berbanding sekolah vernakular.  Kita berpura-pura perjuangkan perpaduan tetapi masa yang sama sekolah vernakular terus bertambah.

Kalau kita melihat selangkah ke depan, beberapa tindakan terhadap institusi Islam oleh golongan Islam adalah sebahagian dari fenomena yang disebut sebagai skeptisisme agama (religious scepticism). Fenomena ini sudah lama wujud tetapi semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

Definisi longgar skeptisisme agama ialah persepsi sinis terhadap agama, bukan sahaja Islam malah terhadap agama-agama lain juga. Wujud hilang keyakinan kepada golongan yang digelar ulama, institusi agama dan pengemudi birokrat agama kerana tidak selari dengan kehendak golongan tertentu.

Di Barat, skeptisisme agama adalah satu cabang kajian akademik oleh ahli sosiologi dan teologi mengenai sikap sinis dan ragu-ragu terhadap agama Kristian. Ini satu gerakan massa yang keliru dengan agama tertentu dan akhirnya mencetuskan satu satu tindak balas yang dirasakan suatu yang benar.

Serangan secara psikologikal terhadap institusi Islam tidak akan berhenti setakat ini. Perkara ini akan berterusan apa lagi dengan kesediaan dalam kalangan Islam sendiri melakukan serangan-serangan itu. Musuh-musuh Islam hanya menangguk hasilnya saja. Cukup-cukuplah membasuh kain kotor di halaman.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *