Nampaknya pemimpin politik Melayu tidak menawarkan suatu yang lebih bermakna kepada agama, bangsa dan budaya kepada orang Melayu Islam pada pra Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu. Seingat saya tidak ada janji yang mengangkat kelestarian Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan budaya Melayu sebagai rujuk utama “bangsa Malaysia.”

Maka berpolitiklah mereka bagai pelakon di pentas opera, memakai baju yang berbagai-bagai rupa, tetapi pada masa yang sama pemimpin politik lain membatuasaskan jati diri bangsa, bahasa ibunda dan budaya bangsa. Itulah yang menjadi tawar menawar politik dalam PRU14 yang lalu. Itulah yang menjadi penentu, tidak kira siapa yang menang, batu asas itu mesti dibangunkan.

Sikap sesetengah pemimpin politik Melayu sendiri tidak menghala kepada memastikan kelestarian perkara-perkara yang ada dalam Perlembagaan. Yang tidak termasuk dalam Perlembagaan apatah lagi. Agama Islam terusik dan diusik secara “terhormat”, bahasa Melayu ditolakansurkan sampai tertolak ke belakang dan sistem pendidikan sudah ada nilai-nilai baru kononnya selari dengan Malaysia Baru.

Maslee Malik Menteri Pendidikan
Datuk Zainal Abidin Borhan Ketua Satu GAPENA
Dr Saleeh Rahamad Presiden PENA

Syabas kepada pemimpin politik Cina kerana matang berpolitik. Yang dikejar dapat digapai, yang dikendung tidak keciciran. Biarlah bertelagah di depan pentas tetapi di belakang pentas ada matlamat perjuangan yang bersama. Mereka bersatu di bawah payung pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk matlamat ini.

Lalu, apa yang hendak dihairankan atau diterkejutkan apabila Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diberi pengiktirafan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam di negara ini. Ini modul peperiksaan yang diambil dari luar (Taiwan) dan dipaksa supaya diiktiraf sekalipun ada elemen-elemen yang bertentangan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menjelang PRU yang lalu, kedua-dua pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan memasukkan UEC dalam manifesto masing-masing. Biarlah menang siapa sekalipun, yang ditawarkan ialah pengiktirafan UEC. Ini perjuangan Dong Zong  bersama-sama parti politik Cina sejak berpuluh tahun lalu atau lebih tepat lagi sejak 1975.

Menteri Pendidikan Maslee Malik mengumumkan keputusan yang sangat menggembirakan itu baru-baru ini. Keterujaan dan kekaguman oleh sesetengah pihak terhadap Maslee tiba-tiba menjadi sebaliknya apabila dengan tegas beliau berkata, “Tidak perlu ambil masa 60 tahun untuk iktitaf UEC.”  Hebat.

Advertisement

Tanpa disempadani oleh ideologi parti, orang Cina menikmati hasil perjuangan untuk melestarikan budaya dan bahasa ibunda. Tetapi tidak pula kita diberitahu atau dimaklumkan hal-hal yang berkaitan dengan dasar pendidikan yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang dominan.

Secara terang mengiktirafkan UEC bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara, Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tetapi semua akta dan undang-undang tertinggi negara itu seolah-olah perhiasan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Saleeh Rahamad berkata, “Taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina. Bayangkan jika UEC yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan diluluskan, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima.

“Apa akan jadi jika nanti berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban dan Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing hingga akhirnya negara bangsa diimpikan Malaysia hancur,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, pengiktirafan UEC hanya memporak perandakan sistem dan struktur sedia ada.

“UEC bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 yang secara jelas menggariskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Isu paling utama UEC tidak memiliki syarat am terpenting, iaitu kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya pada mesyuarat agong GAPENA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tetapi suara dalam kalangan pemimpin politik Melayu arus perdana belum kedengaran. Seperti biasa apabila timbul isu berkaitan bahasa Melayu, yang kedengaran ialah suara daripada sasterawan, budayawan dan pejuang bahasa. Suara pemimpin politik hanya tenggelam dalam riuh rendah kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Tahniah, UEC diiktirafkan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *