Akhbar Utusan Malaysia dua hari lalu berjaya membongkar “kehilangan” wang RM10 bilion lebihan yang dibayar oleh pembayar cukai menerusi Potongan Cukai Berjadual (PCB). Bagaimanapun wang lebihan itu tidak dikembalikan sebagai sepatutnya.
Ini bermakna wang RM10 bilion itu adalah wang rakyat yang “tergantung” di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Rakyat tidak diberitahu bahawa wang itu “tergantung”. Barangkali masing-masing menganggap LHDN sibuk mengira wang untuk dipulangkan kepada mereka.
Benarkah ada di LHDN atau sebenarnya tidak ada? Inilah kebimbangan yang bermain di fikiran rakyat terutama yang wang lebihan PCB tidak dibayar dalam kadar masa yang munasabah. Perlu diingat RM10 bilion bukan satu jumlah yang kecil dan sekaligus memperlihatkan urus tadbir yang sangat membimbangkan.
Kenapa LHDN mengambil masa yang lama hingga wang lebihan itu sudah dianggap “hilang” sekiranya tanpa pendedahan media? Padahal di sebelah rakyat mereka ditekankan dengan peraturan yang ketat supaya membayar segala tunggakan pada masa yang ditetapkan.
Tidak lama dulu bayaran balik GST sebanyak RM19.24 bilion juga “tersangkut” di tengah jalan dan tidak sampai kepada rakyat. Ini membuatkan negara berhutang dengan rakyatnya sendiri sebanyak RM30 bilion. Ini suatu sangat pelik dan membimbangkan kerana sejumlah wang yang besar boleh hilang tanpa dapat dikesan.
Tambahan pula LHDN merupakan sebuah organisasi yang menjana pendapatan langsung kepada negara. Oleh yang demikian sebarang kesulitan yang ditanggung oleh LHDN, dalam kes ini untuk membayar RM10 bilion kepada rakyat, sudah tentu akan menjejaskan perancangan yang dibuat oleh kerajaan.
Kerajaan perlu membedah LHDN supaya isu “kehilangan” wang bayaran balik PCB tidak berulang pada masa akan datang. Sebelum ini LHDN sangat berbangga dengan jumlah kutipan yang besar. Tetapi tanpa diduga LHDN juga mempunyai hutang yang besar kepada pembayar-pembayar cukai.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, apabila hasil kerajaan bermasalah, kerajaan juga berdepan dengan tekanan untuk berbelanja. Ini kerana 95 peratus daripada hasil kerajaan digunakan untuk perbelanjaan operasi di jabatan dan kementerian.
“Satu perkara lagi, apabila pelabur tahu rekod kita yang buruk dalam menguruskan kewangan, usaha untuk menerbitkan bon akan berdepan dengan masalah apabila rating kita tidak baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan terdahulu tidak boleh lepas tangan dengan kejadian begini. Mereka mesti bertanggungjawab untuk meredakan kebimbangan rakyat terhadap wang milik mereka yang tersangkut di tengah jalan.