Poster Nisha Ayub (kiri) dan Pang Khee Teik yang diturunkan di Festival Georgetown Pulau Pinang.
-Gambar UTUSAN ONLINE

Gambar hiasan

ANALISIS BERITA

KUALA LUMPUR, 10 OGOS –
Dakwaan aktivis sosial Marina Mahathir bahawa golongan LGBT di negara ini didiskriminasi sangat tidak berasas. Malah golongan minoriti ini dengan sokongan pejuang-pejuang hak asasi menuntut kedudukan mereka disamaratakan dengan majoriti yakni golongan yang menolak LGBT.

Sebaliknya sebagai anggota masyarakat golongan minoriti, apa lagi membawa budaya dan sisoal yang bertentangan dengan agama (Islam) sebagai Agama Persekutuan dan norma budaya masyarakat negara ini, mereka tidak sewajarnya menuntut kedudukan yang setaraf.

Golongan LGBT bukan Orang Kurang Upaya (OKU) yang perlu diberi kedudukan yang setaraf dengan golongan sempurna. OKU memang wajar memperjuangkan kedudukan dan peluang sosial yakni tidak didiskriminasi dalam dunia pekerjaan. Ini kerana wujud kecenderungan majikan menyenaraibawahkan golongan OKU.

Tetapi LGBT bukan golongan yang tidak sempurna. Hampir semua LGBT adalah manusia sempurna yang mendapat peluang pendidikan dari peringkat rendah hingga tinggi di negara ini. Belum ada golongan LGBT dilarang memasuki institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini. Malah belum ada golongan LGBT yang memenuhi kriteria tidak dinafikan peluang pekerjaan.

Sebelum pejuang LGBT bercakap mengenai hak asasi LGBT, lihat juga hak asasi golongan yang tidak menerima LGBT. Kita tidak boleh menafikan hak asasi untuk hidup aman sejahtera dari segi sosial daripada ancaman pengaruh orientasi seks songsang LGBT.

Masyarakat dapat menerima orientasi seks peribadi tetapi mereka tidak dapat menerima malah sewajarnya tidak boleh diterima orientasi seks yang peribadi itu dijadikan satu gelombang cara hidup yang secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat. Ini sebenarnya yang ditolak oleh masyarakat, bukan orientasi seks secara peribadi.

Analoginya mudah, individu mempunyai hak untuk tidak berpakaian di dalam premis peribadinya. Di rumah atau di bilik hotel. Tetapi perbuatan yang sama tidak boleh dilakukan di depan khalayak sekalipun itu adalah kegemaran peribadinya. Tetapi yang berlaku sekarang ialah mendesak masyarakat menerima gaya hidup tidak berpakaian di depan khalayak.

Advertisement

Oleh yang demikian, kita tidak dapat menerima festival LGBT yang dianjurkan di Pulau Pinang kerana ini telah menafikan hak asasi golongan yang menolak LGBT untuk hidup dalam lingkungan budaya dan sosial yang bertamadun. Sifat sebuah festival adalah untuk menyebarluas atau mempromosi.

Tentulah kita sangat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh bahawa tindakan golongan LGBT yang secara terang-terangan mempromosikan budaya songsang tersebut telah menyebabkan masyarakat terutama dalam kalangan ibu bapa bimbang serta marah dengan perbiatan tersebut.

“Bila golongan LGBT bercakap mengenai hak mereka kita menghormatinya tetapi di dalam masyarakat yang terdapat kelompok lain mereka juga mempunyai hak. Sebagai golongan minoriti, LGBT perlu mengiktiraf hak majoriti yang tidak mahu sebarang bentuk promosi budaya songsang ini,” ujarnya kepada wartawan selepas merasmikan Seminar Cakna Isu-isu Semasa: Wacana Kontemporari Wanita dan Hak Asasi di Kompleks Islam Putrajaya baru-baru ini.

Ekoran festival tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa telah mengarahkan potret aktivis LGBT yang dipamerkan di festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di Pulau Pinang diturunkan.

Bagaimanapun Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng bertegas bahawa tiada keperluan bagi kerajaan negeri untuk mengarahkan supaya potret ikon LGBT itu diturunkan atas faktor hak asasi manusia.

Chong Eng sewajarnya mengakui bahawa arahan menurunkan gambar aktivis LGBT bukan satu diskriminasi tetapi ini salah satu hak asasi golongan majoriti yang menolak LGBT. Hak asasi golongan yang menolak LGBT mesti dipertahankan dan arahan kerajaan itu sangat wajar demi memelihara keharmonian hidup masyarakat pelbagai agama, budaya dan kaum di negara ini.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *