
Oleh Ku Seman Ku Hussain
SEMASA sidang media bersama-sama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House Isnin (29 September) lalu, Presiden Donald Trump membentang pelan damai 20 perkara untuk menamatkan perang di Gaza. Wah, tiba-tiba Trump muncul sebagai seorang pendamai.
Tetapi malangnya pelan damai itu kelihatan sangat tergesa-gesa. Dibentangkan beberapa hari selepas perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu lalu. Pada perhimpunan agung badan dunia itu lebih 80 peratus negara anggota menunjukkan pendirian mengiktirafkan Palestin sebagai negara.
Pelan damai yang diumumkan itu tidak lebih satu tindak balas yang terdesak daripada Trump. Secara tersurat Trump kelihatan bersimpati dengan nasib Palestin – satu pendirian yang selari dengan majoriti negara anggota PBB dalam isu Palestin.
Baca di sini pelan damai Trump:
https://www.astroawani.com/berita-dunia/ini-20-cadangan-trump-netanyahu-untuk-palestin-540691
Tetapi jangan gembira dulu. Kita tidak boleh teruja melulu dengan pelan damai konflik Palestin-Israel. Dalam sejarah konflik dua negara itu, gagasan pelan damai selalunya menjadi retorik kuasa besar untuk melanjutkan penindasan terhadap Palestin. Begitu juga dengan pelan damai Trump ini.
Sejak 1948, sekurang-kurang lapan pelan damai tetapi semuanya gagal. Antara Perjanjian Camp David (1978), Perjanjian Madrid (1991), Perjanjian Oslo (1993), Perjanjian Oslo II 1995, Perjanjian Camp David (2005), Pelan Annapolis (2007) dan Perjanjian Damai Deal of Century (2000) era Trump.
Punca kegagalan disebabkan sikap Amerika yang berat sebelah, lebih mementingkan keselamatan Israel daripada keadilan untuk Palestin. Hal itu sama juga dengan pelan damai Trump yang tidak menawarkan sesuatu yang kukuh dan adil kepada Palestin.
Amat ternyata pelan damai Trump tidak bertapak dan berakar umbi daripada keadilan. Sebaliknya untuk kepentingan geopolitik dan hegemoni yang lebih lunak. Trump dengan pantas memperagakan diri sebagai penyelamat dan pengaman. Tetapi hal yang sebenar meneruskan penjajahan baharu terhadap Palestin.
Pelan damai Trump menjanjikan gencatan senjata, pembangunan ekonomi, dan pembebasan tebusan. Bagaimanapun kalau diteliti, hakikatnya bukan sahaja gagal menyelesaikan konflik yang sedia ada, bahkan cenderung menjadi pemangkin tragedi kemanusiaan yang lebih parah.
Baca di sini negara iktiraf Palestin:
https://kuseman.com/2025/09/24/palestin-ubah-landskap-geopolitik-80-peratus-anggota-pbb-iktiraf-status-negara/
Sekalipun diuar-uarkan sebagai jalan keluar terhadap konflik di Gaza, tetapi sebenarnya itu adalah cara melanjutkan ketidakseimbangan kuasa yang sedia ada. Cadangan Trump boleh dibaca sebagai strategi kelangsungan Amerika mencaturkan Timur Tengah dan Israel sebagai sekutu utama.
Kerangka hegemoni seperti itu sebenarnya telah dihujahkan oleh Robert W Cox dalam tulisannya, Hegemony and International Relations : An Essay Method. Kuasa besar mengekalkan dominasi bukan sahaja dengan kekerasan tetapi juga dengan persetujuan yang dipaksakan.
Amerika tidak hanya mendominasi secara keras (hard power) tetapi juga melalui pembentukan perjanjian dan persetujuan terhadap sesuatu idea, budaya dan institusi. Trump melakukan hegemoni yang dikatakan W Cox itu dalam pelan damai ini.
Di sebalik slogan kemanusiaan, pelan Trump sebenarnya memaksa Gaza tunduk pada syarat-syarat yang tidak adil. Misalnya Trump menawarkan pengampunan kepada Hamas, tetapi dengan syarat menyerah senjata, menghapuskan semua infrastruktur ketenteraan di Gaza.
Sedangkan pelan damai itu tidak pula melarang Israel mengekalkan kekuatan tenteranya tanpa had. Malah secara terbuka juga Amerika menambah bantuan kepenteraan kepada Israel. Syarat yang dikenakan itu sebenarnya bertujuan menghapuskan hak Gaza untuk mempertahankan diri.
Satu hal yang besar juga daripada pelan itu adalah menafikan identiti politik Palestin. Ini suatu yang penting kerana identiti politik itu terbentuk melalui perjuangan menentang pendudukan haram Israel sejak 1948. Syarat yang bertentangan dengan perjuangan itu bukan sahaja melemahkan Palestin, malah membuka ruang untuk ditindas dengan lebih teruk secara lebih sistematik.
Trump memulakan pelan damai dengan ungkapan yang manis – Gaza bebas daripada ancaman pengganas, gencatan senjata serta-merta dan program pemulihan untuk rakyat. Prsoalannya siapakah yang menentukan definisi ‘pengganas’ yang disebutkan oleh Trump itu?
Baca di sini Israel serang Palestin:
https://kuseman.com/2023/10/09/palestin-serang-israel/
Apakah rakyat Gaza yang bangkit melawan pencerobohan Israel terhadap tanah air dilabel pengganas? Ironinya peluru berpandu Israel menghentam sekolah dan hospital pula dikatakan mempertahankan diri.
Trump menuntut supaya pembebasan tebusan dan pertukaran ribuan tahanan dalam masa 72 jam. Sementara syarat pengampunan Hamas pula mesti melucutkan senjata. Muslihat di sebalik tabir semua itu adalah menghapuskan Hamas dan menyelamatkan semua tahanan Israel daripada Hamas.
Trump turut menjanjikan bantuan segera berupa makanan, elektrik, air dan hospital. Bagaimanapun bantuan itu diletakkan bawah kawalan PBB serta badan antarabangsa yang dipimpin oleh kuasa besar. Secara tersirat bantuan kemanusiaan itu adalah alat kawalan politik, bukan demi kemanusiaan.
Keadaan yang sedemikian menjadikan Gaza tidak lagi memiliki hak terhadap sumber asas, tetapi dipaksa bergantung kepada belas ihsan kuasa luar. Kebergantungan itu adalah agenda Amerika supaya dapat mengekalkan kitaran krisis kemanusiaan yang tiada kesudahan.
Melalui pelan damai itu Trump mencadangkan pentadbiran Gaza dijalankan oleh teknokrat Palestin yang bebas politik. Bukan itu sahaja malah dengan pemantauan sebuah badan antarabangsa yang dipengerusi oleh Trump sendiri. Rakyat Gaza tidak diberikan peluang mentadbir tanah air sendiri apabila secara terancang dikawal oleh pentadbir dari Washington.
Keadaan itu menjadikan Gaza bukan lagi tanah air yang merdeka, tetapi tapak projek geopolitik dan ekonomi yang dikawal oleh kapitalis global. Model ‘pembangunan’ seperti itu cenderung berulangnya penjajahan baharu yang berselindung di sebalik retorik pembangunan Gaza.
Perkara yang dilakukan Trump melalui pelan damai itu bertepatan dengan ungkapan ‘accumulation by dispossion’ dalam penjajahan baharu yang diperkenalkan oleh David Harvey dalam bukunya, The New Imperialism (2003).
Harvey mengingatkan, sifat penjajahan baharu menggunakan taktik merampas tanah rakyat yang kemudiannya dialihkan kepada kelas ekit dan kapitalis. Dalam konteks Palestin, rampasan tanah dilakukan oleh proksi Amerika iaitu Israel. Memang sudah terbukti sempadan Palestin semakin mengecil sejak 1948.
Hal yang sama juga dengan pelan damai Trump. Istilah ‘pembangunan’ di Gaza yang dicadangkan Trump adalah merampas dengan cara yang penuh diplomasi dan lunak. Alasan pembangunan untuk rakyat Gaza menyembunyikan tujuan sebenar untuk merampas hak rakyat yang sah.
Malah lebih buruk lagi apabila ekonomi Gaza dirangka oleh panel pakar antarabangsa dan dijadikan zon ekonomi khas. Disitu jelas menunjukkan tujuan sebenar pelan damai Trump – Gaza sebagai tapak projek pembangunan yang dikawal kapitalis global.
Kalau diteliti, salah satu komponen pelan damai itu adalah dialog antara agama kononnya untuk memupuk sikap tolak ansur dalam kalangan rakyat. Hakikatnya, konflik Palestin-Israel bukan disebabkan isu agama. Konflik berpunca daripada penjarahan tanah milik rakyat Palestin oleh Israel.
Meletakkan konflik di Palestin dalam bingkai agama, dengan sendirinya menutup faktor penjajah dan politik yang menjadi akar permasalahan sebenar. Strategi itu boleh mengelirukan masyarakat antarabangsa yang sekali gus melemahkan naratif perjuangan Palestin di mata dunia.
Trumph menjanjikan kebebasan kepada rakyat Gaza keluar dan masuk, tetapi jangan lupa bahawa kunci di pintu sempadan masih dipegang Israel dan Mesir. Itu bukan kebebasan bergerak, tetapi izin keluar masuk yang boleh ditarik pada bila-bila masa.
Janji Trump bahawa Israel tidak akan menduduki Gaza adalah sandiwara yang lunak. Tetapi sejarah tidak pernah mati atau menipu. Lihat sahaja sejak 1948, janji itulah yang diulang-ulang. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Palestin menjadi semakin kecil dan hampir hilang di peta dunia.
Semua itu membuktikan bahawa pelan damai Trump bukan jalan keluar bagi Gaza. Sebaliknya menjadikan rakyat lebih menderitakan dengan syarat-syarat yang membawa maksud penyerahan, kebergantungan pada bantuan luar dan penghapusan identiti politik secara seluruhnya. – KAYANG POST