
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Dalam beberapa hari kebelakangan ini dunia menyaksikan ketegangan terbesar antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Kalau dulu ketegangan geopolitik hanya berbentuk ancaman diplomatik, tetapi kini AS dengan sekutunya Israel nekad melancarkan tindakan ketenteraan.
Iran menyerang balas beberapa pangkalan AS di negara Teluk termasuk Israel. Konflik ini bukan lagi tekanan politik, tetapi sudah bertukar menjadi perang terbuka yang mengubah secara drastik landskap geopolitik Asia Barat dan global.
AS sudah lama muncul sebagai kuasa dominan di Asia Barat melalui beberapa pangkalan tentera seperti di Qatar, Bahrin dan Kuwait atas alasan keselamatan di rantau Asia Barat. Sekalipun begitu langkah AS ‘menjaga’ keselamatan di Asia Barat ibarat menugaskan pontianak menjaga tabung darah.
Bagaimanapun tujuan utama menyerang Iran bukanlah atas alasan memastikan keselamatan di Asia Barat, sebaliknya untuk menguasai lubuk minyak di dunia terutama Iran. Serangan itu juga bertujuan menyekat kemaraan program nuklear Iran yang berkembang sekali gus menggugat AS.

Matlamat tersembunyi di sebalik alasan keselamatan berkait rapat dengan kepentingan menguasai minyak di Asia Barat dan memperkukuhkan strategi tenaga global. Iran menjadi nadi yang signifikan dalam menentukan kedudukan sistem tenaga dunia. Iran mempunyai Selat Hormuz yang menjadi laluan 20 peratus bekalan minyak global bersamaan 20 juta tong sehari sehari.
Tidak hairanlah awal-awal lagi Iran menutup laluan di Selat Hormuz yang sekali gus memutuskan aliran lebih satu perlima perdagangan minyak global setiap hari. Semua minyak dari Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar terpaksa melalui selat ini sebelum dipasarkan di Asia, Eropah dan AS.
Selat Hormuz memperlihatkan kuasa besar sangat memahami hubungan antara laut dan dominasi kuasa. Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, AS telah mengekalkan kehadiran ketenteraan secara tetap di Teluk Parsi. Armada kelima AS yang berpangkalan di Bahrin diadakan bertujuan memastikan laluan tenaga yang sangat penting itu tidak ditentukan oleh satu kuasa serantau sahaja.
Negara yang mempunyai maritim mempunyai kelebihan menguasai laluan laut yang strategik bukan sahaja untuk tujuan perdagangan, malah yang lebih utama untuk memberikan tekanan politik. Ancaman menutup atau mengganggu laluan sudah cukup untuk mempengaruhi kenaikan harga minyak global.
Itulah kelebihan geografi Iran yang berada di tebing selat. Disebabkan hal itu untuk mengimbangi kuasa dan pengaruh besar Iran, AS mewujudkan jaringan ketenteraan di negara-negara serantau menerusi pangkalan tentera. Hal itu sebenarnya yang menjadi faktor ketidaktenteraman geopolitik di Asia Barat.
Tanpa menundukkan Iran AS tidak mungkin dapat menguasai chokepoit Selat Hormuz yang menjadi arteri ekonomi global. Selat itu menjadi penentu kenaikan harga minyak global, peningkatan inflasi dan ketidaktentuan pasaran kewangan yang sekali gus menggoncang sistem kapitalisme AS.
Minyak telah menjadi desakan geopolitik utama selama lebih setengah abad dan bukan lagi hanya sebagai komoditi ekonomi, tetapi melebar sebagai senjata politik. Negara-negara Teluk adalah nadi pada bekalan hydrocarbon global dan sebarang sudah pasti menggoncang pasaran minyak dunia.
Serangan AS yang terbaru dilihat sebagai tindakan terdesak untuk mengawal perdagangan minyak dunia. Hal itu sangat berbeza berbanding serangan AS terhadap Iraq dalam Perang Teluk 1991. AS masih sempat menggunakan hujah retorik kononnya melindungi Kuwait yang berdaulat sebagai lesen menyerang dan menguasai minyak Iraq.

Berbeza serangan terhadap Iran di mana alasan keselamatan global yang disebabkan program nuklear Iran terlalu mentah. Presiden Donald Trump yang terkenal dengan gelagat peliknya mengambil langkah tergesa-gesa. Salah satunya disebabkan tidak menjangka reaksi balas Iran yang begitu strategik – mengempur pangkalan tentera AS di negara-negara proksi.
Sebenarnya semua presiden AS memang bercita-cita menyerang Iran kerana itulah janji kepada pelobi-pelobi Yahudi semasa kempen pilihan raya, presiden. Bagaimanapun semua mereka realistik apabila mengambil kira kapasiti ketenteraan, teknologi senjata dan jaringan dengan China dan Rusia. Akhirnya cita-cita untuk menyerang bertukar ugutan di peringkat diplomatik dan menyekat eksport minyak Iran.
Sekalipun eksport minyak Iran disekat menggunakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik menunjukkan jumlah eksport minyak sentiasa meningkat. Pada Oktober tahun lalu, Iran mengeksport 2.2 juta tong sehari – angka tertinggi sejak 2018.
Malah mencatatkan nilai eksport minyak sekitar AS$ 4.4 bilion sebulan dan 90 peratus dieksport ke China. Sekatan yang dikenakan sepanjang masa terhadap Iran tidak banyak menjejaskan eksport minyak disebabkan jaringan diplomatik Iran dengan dua musuh utama AS, China dan Rusia.
Sebagai presiden terburuk kelakuan dan hubungan antarabangsa dalam sejarah AS, Trump membelakangkan Kongres dalam keputusan menyerang Iran. Malah tidak menyangka berdepan tentangan paling sengit apabila semua pangkalan tentera di Asia Barat digempur peluru berpandu Iran.
Langkah pantas Iran berdepan serangan AS dilihat sangat strategik. Sekalipun peluru berpandu buatan Iran boleh sampai ke sasaran di New York tetapi setakat ini Iran tidak menyerang AS sebaliknya proksi yang membawa imej dan kuasa AS. Malah lebih nekad lagi menyerang Israel yang menjadi ‘anak angkat’ AS.
Israel menjadi satu-satunya negara yang tragedi menimpa negara itu disambut kegembiraan dari seluruh dunia. Kegembiraan yang merentas garis diplomatik, geografi, agama dan budaya. Semuanya disebabkan sentimen pembunuhan beramai-ramai oleh regim Israel di Gaza hampir dua tahun lalu.
Keadaan itu memberikan tamparan hebat kepada AS tambahan pula tindakan Trump menyerang Iran mendapat tentangan dalam kalangan rakyat AS sendiri.
Dari perspektif geopolitik, Iran mempunyai kuasa pencatur perdagangan minyak global melalui rizab minyak dan gas yang sangat besar selain mengawal Selat Hormuz. Ketidakstabilan harga minyak memberikan tekanan secara langsung pada ekonomi AS.
Ketegangan AS – Iran bukan sahaja memberi kesan pada dua negara malah menjadi pemangkin ketegangan geopolitik global. Bukan sahaja menambahkan konflik di Asia Barat, tetapi berkait secara langsung dengan dua kuasa besar lain, China dan Rusia yang menjadi sekutu Iran.
Daripda sudut geopolitik ketegangan AS-Iran adalah contoh klasik tentang kepentingan tenaga dan hegemoni kuasa antara satu dengan lain. Sekalipun retorik rasmi menekankan pada soal keselamatan, tetapi perlumbaan mendapatkan dan mempertahankan akses sumber tenaga yang strategik adalah faktor yang sebenar.
Ketegangan kali ini adalah catatan penting dalam sejarah di mana minyak, kuasa dan dominasi global memainkan peranan utama dalam menentukan tindakan negara-negara besar. Ketegangan di Asia Barat bukan sahaja membentuk arah aliran dan bentuk geopolitik serantau, tetapi juga memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dan politik global pada masa depan. – KAYANG POST