Derma RM2.6 bilion dan integriti UMNO
Mingguan Malaysia 9 Ogos 2015
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Pertama sekali saya mahu menegaskan bahawa tulisan ini tidak ada sesuatu yang baharu mengenai isu besar yang negara kita hadapi sekarang iaitu skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan kewujudan “tangan ghaib” yang didakwa mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semuanya perkara lapuk sebab sudah banyak diperkatakan sama ada di tepi-tepi jalan, warung mamak, restoran lima bintang mahupun dalam kalangan pemimpin.
Daripada perkara-perkara lapuk yang saya kutip di tepi jalan, dalam kalangan pemimpin malah wartawan-wartawan muda yang tidak taksub kepada politik kepartian, sebahagian besar daripada mereka tertanya-tanya kemampuan UMNO berhadapan dengan rakyat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU-14). Masanya sudah tidak lama, mungkin tiga tahun lagi. Kata mereka, kalau isu ini tidak diuruskan dengan bijak, kesannya UMNO akan kehabisan modal untuk bercakap mengenai integriti. Saya sangat setuju dengan kumpulan penganalisis senyap ini.
Dulu semasa pemecatan Anwar Ibrahim tercetus gelombang penentangan yang besar. Tetapi UMNO bertindak bijak dan bertanggungjawab untuk tidak menyekutukan parti dengan masalah moral pemimpinnya. UMNO dilihat tidak melindungi pemimpin yang mempunyai masalah moral. Syabas kepada UMNO.
Dalam situasi sekarang, seharusnya UMNO tidak melibatkan diri dalam isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Anggaplah itu milik peribadi dan UMNO seharusnya tahu batas-batas peribadi. Lagi pun sejak awal lagi The Wall Street Journal hanya mengatakan dalam akaun peribadi. Tetapi pelbagai lapisan pemimpin dalam UMNO menafikan “tuduhan” itu dan dianggap “tidak masuk akal”. Ironinya apabila SPRM mengesahkan, UMNO mengaku pula duit itu untuk parti.
Kalau UMNO mahu dilihat sebagai menjunjung integriti, berkerja kuatlah menjelaskan kepada rakyat bahawa derma itu bukan untuk UMNO. Jangan kelirukan rakyat antara derma dan dana politik. Sekarang sudah ada kecenderungan mengalih isu derma dalam akaun peribadi kepada istilah dana politik. Rakyat marhaen yang dunia mereka sebesar tempurung faham benar perbezaan antara kedua-duanya.
Ini kerana, dana politik disalurkan dalam akaun parti dan melalui proses pengauditan. Tetapi derma dalam akaun peribadi adalah hak peribadi penerima. Kata rakyat marhaen, UMNO janganlah pandai-pandai menganggap hak peribadi sebagai hak UMNO. Oleh yang demikian, UMNO perlu menegaskan bahawa derma RM2.6 bilion itu adalah hak peribadi. Jangan menganggap hak parti sedangkan pemimpin parti sendiri tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Pelik bukan?
Saya petik jawapan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Shahrir Samad terhadap soalan nombor empat anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled seperti yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Saya harap Utusan Malaysia tidak “salah taip” atau “salah lapor”.
Soal Akmal Saufi, jika duit itu adalah sumbangan kepada UMNO, adakah kepimpinan UMNO terutama Majlis Tertinggi mengetahui tentang derma itu?
Jawapan Shahrir: Selama saya dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri, soal derma tidak pernah dibangkit atau didedahkan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi dan perhubungan negeri.
Ini jelas menunjukkan derma itu bukan kepada UMNO. Maka penat lelah Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional (BN), Rahman Dahlan yang membina persepsi bahawa dana politik bukan suatu yang luar biasa sudah tidak relevan langsung. Kita bercakap tentang isu yang lain. Dalam laporan Astro Awani, Rahman berkata, dana politik yang diterima Perdana Menteri Najib Razak adalah satu perkara biasa yang sememangnya telah diamalkan pemimpin terdahulu lagi.
“Dari zaman Dr. Mahathir lagi, namun ketika itu dana dipegang oleh individu bukan ahli dan Dr. Mahathir pernah menyuarakan kekecewaannya kerana sukar mendapatkan kembali harta dan wang UMNO kerana dipegang oleh individu lain,” kata Rahman kepada Astro Awani. Tetapi minta maaf Yang Berhormat, ini sudah terkeluar tajuk. Kita bercakap tentang derma bukan dana politik.
Saya yakin UMNO mampu berhadapan dengan rakyat dengan syarat tidak melibatkan diri dengan derma itu. UMNO boleh mencari dana lain untuk membantu parti dan disalurkan mengikut prosedur yang betul, walaupun dana politik sebenarnya tidak berapa betul. Tetapi kerana pemimpin UMNO kata itu diamalkan di seluruh dunia, tidak mengapalah. Bagaimanapun keadaan sekarang diibaratkan hidung tidak mancung tetapi pipi UMNO tersorong-sorong kononnya duit sebanyak itu milik mereka.
Ini adalah salah sebuah rencana yang dimuatkan dalam buku saya ANEKDOT KU SEMAN. Rencana ini disiarkan di Mingguan Malaysia pada 9 Ogos 2015 dan mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada pihak tertentu. Untuk mendapatkan buku ANEKDOT KU SEMAN, boleh Whatsapp Ku Seman (0193974889)