Gambar hiasan (Utusan Malaysia)

Merokoklah sampai akhir hayat

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Anekdot ini dimulakan dengan kata-kata perangsang kepada perokok tegar, “teruslah merokok hingga akhir hayat.” Kata-kata ini tentu akan lebih dihayati kerana selari dengan tujuan merokok iaitu menikmati keseronokan yang sementara kemudian menderita selama-lamanya.

Memang benar statistik menunjukkan sekurang-kurang 20,000 rakyat negara ini meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berpunca daripada tabiat merokok. Tetapi jangan peduli dengan statistik itu, sekali merokok biar terus merokok sehingga mati. Ini adalah kata-kata perangsang sebagai menggantikan kata larangan “jangan” yang tidak disukai perokok.

Lima juta orang atau 22.8 peratus daripada populasi berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. Mereka membuat pilihan menjadi perokok selepas “khatam” semua nasihat dalam kempen anti merokok sejak negara mencapai kemerdekaan hingga ini. Semuanya berkata “jangan” kecuali tulisan ini yang dengan penuh sedar berkata, “sila teruskan.”

Jangan perkecilkan atau peremehkan sumbangan perokok kepada negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kehilangan berbilion ringgit kalau tidak ada perokok kerana mereka inilah salah satu penyumbang besar. Kalau tidak menyumbang pada KDNK,sudah lama rokok diharamkan.

Kerajaan memang hipokrit dalam bab rokok. Di Parlimen pun Yang Berhormat tidak boleh memberikan contoh baik kepada rakyat. Larangan merokok di kafe Parlimen pun dibantah oleh Yang Berhormat sendiri. Bagaimana hendak menjadi pemimpin kepada rakyat sedangkan diri sendiri tidak terpimpin? Semuanya kerana rokok.

Segala kempen anti merokok yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tidak lebih sebagai ritual, kononnya kerajaan beriltizam menghapus rokok. Semua itu sandiwara, sama seperti menaikkan cukai rokok, tujuannya bukan mengurang perokok tetapi menambahkan pendapatan negara.

Sejak negara mencapai kemerdekaan enam dekad dulu, kempen anti merokok tidak pernah mencapai kejayaan. Sebabnya tujuan berkempen tidak lebih sebagai ritual, sama seperti ritual sambutan ulang tahun kemerdekaan yang disambut dengan jiwa dan pemikiran yang terjajah.

Sudah begitu banyak wang rakyat digunakan untuk kempen anti merokok tetapi tidak ada kesannya, yakni angka perokok tidak berkurang. Yang untung mereka yang mendapat upah membuat kain rentang, billboard dan iklan dalam media cetak dan elektronik untuk kempen anti merokok.

Secara kasar seorang perokok membakar tidak kurang RM300 sebulan atau RM10 sehari. Ironinya mereka inilah juga yang terkinja-kinja dan terloncat-loncat memprotes apabila harga minyak petrol naik beberapa sen. Menindas rakyat, katanya. Hebat, berjuang untuk rakyat.

Padahal mereka yang merokok ini juga menindas rakyat (pembayar cukai) apabila kerajaan terpaksa menanggung belanja RM3.8 bilion setahun untuk rawatan penyakit jantung dan barah paru-paru akibat rokok. Kalau pesakit ini bukan perokok sudah tentu mereka adalah orang yang terdedah pada asap rokok atau environmental tobacco smoke (ETS). Inilah yang dikatakan hidup menyusahkan orang lain.

Merokok bagi sesetengah orang adalah gaya, keunggulan dan kemodenan. Tidak merokok bermakna tidak bergaya dan tidak moden. Kerana itu tidak hairanlah kalau jumlah perokok kita meningkat 49 peratus daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta tahun 2011. Sekarang sudah lima juta orang. Ini mengatasi kadar peningkatan negara maju seperti Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Tahniah. Kita memperlihatkan kehebatan mengatasi negara maju dalam bab rokok. Barat sendiri telah memperlihatkan kesedaran yang tinggi terhadap bahaya rokok, ironinya kita menjadi pejuang memanjangkan hayat kapitalis rokok yang ditolak di sana. Kita juara. Juara perokok.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *