Orang berbudi kita berbahasa (gambar Utusan)

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Sindir orang tua-tua kepada sesetengah orang Melayu, dagang lalu ditanakkan nasi, anak sendiri kelaparan, memagar nyiur yang condong buahnya jatuh di halaman orang, melepaskan anjing tersepit dan memberi susu dibalas tuba. Dagang menurut Kamus Dewan adalah orang yang tiada saudara mara.

Sindiran ini tidak sengaja diada-adakan tetapi bertujuan menjadi peringatan kerana yang dikatakan itu sudah berlaku dan akan berlaku tidak diambil iktibarnya. Ini kerana sesetengah tindakan orang Melayu merugikan anak cucu dalam jangka panjang.

Pengamatan generasi silam berabad-abad dulu hingga mereka melihat kesannya. Sebagai peringatan kepada anak cucu lahirlah bidalan yang menyimpulkan maksud dan tujuan. Generasi dulu berpemikiran tinggi dan jauh tingkahnya, kata dan pesan indah laras bahasanya.

Dagang lalu ditanakkan nasi menjadi salah satu pesanan dan peringatan yang sangat dalam maksudnya. Dagang selalunya di luar garisan geografi dan budaya setempat. Ada juga disebut anak dagang. Maka peribadi dan kejujuran tidak boleh dikenal pasti tujuan atau muslihatya.

Selalunya tujuan berdagang (merantau) kerana mahu mencari padang yang lebih hijau dan subur berbanding kampung halaman sendiri. Kalau kampung halamannya jauh lebih baik daripada tempat berdagang, lebih baik tinggal saja di kampung halaman. Jadi, tempat mereka berdagang ibarat gula. Bila ada gula berduyunlah semut mengerumuni yang entah dari mana datangnya.

Peringatan orang tua-tua supaya berwaspada dengan anak dagang kerana ada antaranya yang lupa diri dan seolah-olah menjadi tuan di kampung halaman orang. Apabila merasakan dirinya tuan dan tuan rumah pula menjadi dagang. Lebih buruk lagi apabila yang berdagang berumah tetapi tuan rumah merempat.

Bidalan menanakkan nasi kepada dagang yang lalu menyindir sikap sesetengah orang Melayu sendiri yang tidak arif membaca gerak orang luar yang “lalu di halaman.” Mereka kerap menjadi mangsa kebaikan yang tidak kena pada tempatnya. Sebenarnya banyak lagi bidalan dan peribahasa yang bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya sentiasa berwaspada, memerhati dan membaca manusia.

Advertisement

Ini kerana orang Melayu sangat kaya dengan sifat bertolak ansur yang kemudiannya kalau tidak disedarkan mereka akan ditolak beransur-ansur kerana mabuk dengan pujian dan kebendaan. Kebaikan yang tidak kena tempatnya akan memakan diri dan menyusahkan anak cucu pada masa depan.

Ketika ada pihak yang memperleceh dan mempertikaikan tuan rumah kononnya tidak berlaku adil kepada orang dagang , janganlah ulangi “Dagang lalu ditanakkan nasi, anak sendiri kelaparan.” Cukuplah dengan kesilapan yang telah berlaku dan kesannya berdekad-dekad lamanya.

Biarlah kita berbudi kepada yang berbahasa, memberi kepada yang menerima dengan ikhlasnya dan jangan lupa bagi orang Melayu rumah dan halaman itu miliknya. Berperangailah yang baik-baik apabila berada di halaman rumah orang Melayu. Sedar diri jauh lebih baik daripada lupa diri.

Orang dagang perlu menyelami maksud budi pantun tradisi yang berbunyi, pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Budi orang Melayu adalah hutang yang tidak dapat dibayar dan tidak minta dibayar. Cara membalasnya hanya dengan berpekerti mulia. Cara berperibadi mulia ialah jangan menyakitkan hati Melayu.

Dalam meredah kehidupan masa kini, orang Melayu janganlah angkuh menolak kebijaksanaan silam. Cukuplah berbangga melulu dapat memagar nyiur yang condong, buahnya jatuh ke halaman orang. Hendak faham, fahamlah. Kalau tidak hendak faham, suka hatilah.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *