Sebuah kereta diterbalikkan semasa rusuhan di Subang Jaya, Selangor.
Kerosakkan harta benda akibat rusuhan

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Rusuhan kerana mempertahankan pohon ara berusia 140 tahun dan sebuah kuil Hindu di tapak yang dimiliki oleh pihak lain adalah yang tidak bertamadun. Sepatutnya yang mempertahankan rumah ibadat terdiri daripada orang yang baik-baik dan dapat membezakan antara milik sendiri dan milik orang.

Mempertahankan rumah ibadat di tapak yang dimiliki orang lain adalah undang-undang rimba. Ini sama sekali tidak sesuai di negara ini yang rata-rata warganya bertamadun dan beradab dalam menyelesaikan sesuatu isu. Apatah lagi pemilik telah membayar pampasan dan menyediakan tapak untuk didirikan kuil.

Inilah tragedi yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya apabila kumpulan India merusuh sesama sendiri kerana tidak setuju dengan arahan pemindahan oleh pihak pemaju yang memiliki tapak kuil itu. Mereka ingkar perintah mahkamah dan membuat “mahkamah” sendiri.

Perusuh bertindak gila menyerang orang awam yang tidak ada kena mengena dengan pertikaian pemindahan kuil tersebut. Bagaimanapun ini bukan rusuhan kaum. Ini rusuhan sesama kaum tanpa melibatkan kaum lain.

V Ganabatirau ADUN Kota Kemuning, Selangor.

Tetapi ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau awal-awal lagi menyalahkan orang Melayu kononnya menjadi penyebab rusuhan tersebut. Tidak perlukan bermain api untuk kepentingan politik. Polis telah mengesahkan bahawa ini bukan rusuhan yang tercetus daripada sentimen perkauman. Samseng upahan tidak mewakili kaumnya. Ganabatirau kelihatan tergopoh gapah mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

Tidak ada kaum lain yang terlibat sebagai mewakili kaumnya. Apakah agenda Ginabatirau dengan cepat mengaitkan orang Melayu dalam rusuhan itu? Kalau ada sekalipun seorang dua orang Melayu terlibat dengan rusuhan berkenaan, itu ada kapasiti peribadi. Sama sekali tidak mewakili orang Melayu.Tidak semua yang dilakukan oleh individu mewakili kaumnya.

Begitu juga kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh seorang keturunan India, itu bukan mewakili kaum India tetapi atas kapasiti. Cuma apabila Ganabatirau seorang pemimpin politik (ADUN dan EXCO), kenyataannya bukan lagi atas kapasiti individu. Beliau pemimpin kaum India dan kenyataan itu boleh dilihat sebagai mewakili kaumnya. Ganabaturau mesti menarik balik kenyataannya tanpa syarat demi keharmonian dan keamanan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh polis, rusuhan di kuil itu yang menyebabkan kerosakkan harta benda dan kecederaan termasuk seorang anggota bomba yang kini berada dalam kritikal bukan rusuhan kaum. Bukan tercetus oleh sentimen rasis antara satu kaum dengan kaum lain. Penjelasan polis dengan sendirinya menjernihkan sekaligus menggagalkan provokasi pihak tertentu seolah-olah ini satu rusuhan kaum.

Advertisement

Tindakan pemimpin politik apa lagi keturunan India itu dilihat sengaja melibatkan orang Melayu. Ini Ibarat mencurahkan minyak ke unggun api. Sifat yang menjurus perkauman begini tidak boleh dimaafkan. Ternyata tuduhan itu bertentangan dengan penjelasan yang dibuat oleh polis.

Perlu ditekankan bahawa peranan pemimpin politik ialah menjernihkan yang keruh, menenangkan yang bergelora dan menyejukkan yang panas. Tidak perlulah menjadi batu api memercikkan api perkauman pada isu yang sama sekali bukan perkauman.

Sepatutnya pemimpin politik itu bertindak mewaraskan puak-puak yang merusuh supaya mereka lebih bertamadun, tidak mengambil tindakan sendiri dan menghormati undang-undang . Negara ini ada undang-undang dan undang-undang rimba di tangan mereka tidak diterima sama sekali.

Orang Melayu tidak ada apa-apa kepentingan dalam isu kuil yang hendak dirobohkan oleh pemaju itu. Tambahan pula tindakan pemaju itu adalah selari dengan perintah mahkamah supaya kuil itu dirobohkan dan diganti dengan satu tapak lain. Belajarlah menerima hakikat bahawa milik orang tidak boleh menjadi milik sendiri.

Institusi kuil perlu melahirkan masyarakat yang bertamadun. Sepatutnya tidak berlaku rusuhan di kuil kalau institusi kuil memainkan peranan melahirkan generasi yang berpekerti tinggi. Tentulah amat memalukan apabila pihak yang mempertahanan rumah ibadat (kononnya) melakukan rusuhan.

Untuk mengelakkan isu yang sama (kuil di tapak tidak sah) orang India beragama Hindu perlu mendirikan kuil di tapak milik sendiri atau diberikan oleh kerajaan sahaja. Tidak boleh lagi didirikan kuil di mana-mana yang disukai seperti sebelum ini.

Tetapi kalau melihat semula kronologi isu kuil tersebut, ia mula meletus sejak awal 1990-an lagi apabila pemilik tapak menuntut supaya kuil itu dipindahkan. Dari awal hingga rusuhan terbaru, di tengah-tengahnya telah berlaku beberapa protes daripada masyarakat India setempat kerana mempertahankan kuil tersebut.

Mereka juga telah beberapa kali mengingkari perintah mahkamah supaya mengosongkan tapak tersebut. Maknanya ia bukan berlaku kelmarin tetapi sudah lama. Jadi, di mana alasannya rusuhan terbaru ini dicetuskan oleh orang Melayu seperti yang didakwa oleh pemimpin politik itu?

Pihak berkuasa seperti polis mesti bertindak tegas, menangkap dan memburu hingga ke lubang cacing mereka yang melakukan angkara tersebut. Rakyat menunggu untuk melihat ketegasan polis bertindak, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan retorik di media. Jangan beri laluan pada “budaya” samseng dan ganas bertapak dan berakar tunjang di negara ini.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *