Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Pokok terbitan Balang Rimbun yang dipentaskan di DBP pada 7 hingga 16 Disember lalu adalah sebuah teater realisme. Ia menyorot kehidupan kelompok marginal pada latar geografi yang sengaja dikaburkan. Boleh jadi sini, di sana atau di mana-mana. Ada semacam kenyataan politik (political statement) yang juga dikaburkan misalnya keberadaan sebatang pokok dalam teater ini.
Pada bentuknya, teater Pokok berbeza dengan Kotaku Oh Kotaku atau Angin Kering tetapi tetap membicarakan isu kelas dan keazaman manusia menggapai peluang kedua. Pokok menyorot dan membentangkan kehidupan kelompok marginal yang penuh cabaran.
Naskhah Pokok ditulis oleh Johan Jaaffar dan diarahkan oleh U-Wei Haji Saari.
Kotaku Oh Kotaku dan Angin Kering antara dua naskhah teater eksperimental karya Johan pada awal tahun 1970-an. Malah tidak keterlaluan kalau beliau dianggap antara penggerak teater eksperimental pada dekad itu.
U-Wei adalah pengarah filem yang sebelum ini menulis dan mengarahkan teater Wangi jadi Saksi, sebuah interpretasi baru terhadap naskhah klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Pokok kelihatan lebih kepada wacana berbanding paparan realiti sosial atau mesejnya. Untuk melihat Pokok sebagai sebuah cerita, ada cerita dalamnya. Untuk mencari mesej juga ada dalamnya. Tetapi yang menarik wacana isu rakyat kehilangan penguasa, kelas dan keazaman manusia untuk untuk keluar dari lingkaran menjadikan teater ini menarik perhatian.
Pokok adalah karya terbaru Johan selepas 14 tahun menulis Asiah Samiah yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Bagaimanapun Asiah Samiah belum diangkat ke pentas.
Watak-watak naskhah Pokok diangkat ke pentas melalui kerja lakon Haliza Misbun (Mardiah), Ebby Saiful (Darwis), Buyung Zasdar (Amut) dan Rahim Jailani (Tok Kaya). Dengan konsep pentas yang minimalis – sebatang pokok, bangku, pondok buruk dan bilik mandi, U-Wei menghidupkan set kaku ini sebagai karakter dan ini melampaui peranan sebagai latar arahannya.
Dari naskhah kepada pentas, di tengah-tengahnya berlaku interpretasi. Mementaskan teater adalah proses interpretasi terhadap sesebuah naskhah. Yang terpancar pada teater ini adalah interpretasi U-Wei terhadap naskhah karya Johan dengan menyuntik tenaga visual – gerak manusia, prop dan pengadegan (mise en scene).
Johan tentunya sengaja menukilkan Pokok secara konvensional mengenai isu kelas, gelagat kapitalis dan keazaman manusia untuk berubah. Yang lebih kompleks dari naratif mudah ini adalah pokok. Adakah pokok tidak lebih sebagai pokok atau sebagai simbol yang membawa maksud lain?
Yang jelas, pokok boleh berdiri sebagai pokok untuk melengkapkan realisme latarnya berganding dengan pondok buruk. Tetapi kalau melihat selangkah ke depan, pokok adalah kuasa, sistem atau naungan yang berpengaruh terhadap rakyat.
Secara semiotik, pokok yang dahannya sudah reput mulai patah dan jatuh boleh dibaca sebagai naungan kuasa yang sudah tidak berkuasa. Dalam babak pertama lagi ditekankan dahan reputnya jatuh kemudian pada babak akhir Darwis menebang pokok itu.
Babak akhir ini memberitahu pokok dalam teater itu menghantar makna di luar realisme. Pokok bukan lagi pokok tetapi simbol kerosakan pada sistem sosial dan sistem politik. Sang idealis (Darwis) percaya pokok adalah pelindung tetapi sang realis (Mardiah) menganggap pokok sudah mengundang bahaya.
Mardiah mewakili golongan marginal, dia sudah terhukum di penjara tetapi kini telah bebas. Bagaimanapun status bekas banduan dibawanya ke mana-mana. Langkah pertama yang sumbang akan menyumbangkan langkah-langkah seterusnya. Bukan mudah untuk membetulkannya. Tetapi Mardiah berazam melakukannya.
Banyak kali Mardiah mengulangi – hanya Darwis yang kudung kaki sanggup memperisterikan dia. Darwis pula berulang kali menyakinkan Mardiah seorang isteri yang baik dan sejarah silam bukan ukuran masa depannya.
Menonton teater ini mengingatkan saya pada filem Unforgiven (1992) arahan Clint Eastwood. Watak utamanya lakonan Eastwood berazam menjadi baik. Peluang kedua dianugerahkan kepada semua orang tetapi sedikit yang menyedari dan memanfaatkannya. Seperti Mardiah, dia mahu menjadi putih selepas bergelumang dunia silam yang hitam.
Dari segi arahan, U-Wei memberikan pengenalan sebagai pengarah filem. U-Wei membawa penonton melihat pentas dari tiga sudut ‘kamera’ yang berbeza. Selalunya berlaku pertukaran set apabila bertukar babak. Tetapi U-Wei mengekalkan set yang sama dari sudut yang berbeza.
Menonton teater Pokok adalah melihat pengadegan dari lensa kamera yang dipandu oleh U-Wei. Dari sudut depan, belakang dan tepi pondok buruk itu adalah perubahan babak dalam teater tiga babak ini. Sebagai teater yang memilih set yang ringkas, teknik U-Wei memperkayakan visual pada set yang sedikit.
Dari sudut lakonan, Ebby Saiful memberikan lakonan yang baik walaupun sebelum ini tidak menonjol sebagai pelakon teater. Gerak lakon sebagai lelaki yang kudung kaki sangat terkawal dan menyakinkan. Kedaifan Darwis terpancar pada lakonannya. Ini ditambah dengan tatarias wajah dan kostum yang sepadan.
Buyung Zasdar sudah senama dengan teater Malaysia sejak 1970-an. Buyung sangat dirasakan kehadirannya walaupun pada banyak bahagian sebutan dialognya tidak begitu jelas. Tetapi gerak lakon menyelamatkan Buyung di pentas. Babak Amut dengan Tok Kaya dan Mardiah misalnya memberi ruang kepada Buyung menguasai pentas.
Keberadaan Buyung sebagai ‘tukang angguk’ kepada Tok Kaya sangat berwarna apabila menyanggah hasrat Tok Kaya hendak berkahwin dengan Mardiah. Watak sangat terkawal antara setia kepada ketua dan kawan. Dalam babak ini Amut memberikan kesan humor kepada situasi sangat tragis tatkala Tok Kaya menggila dan Mardiah yang pertahankan maruah, Amut ada di tengah-tengahnya.
Haliza memberikan lakonan yang baik tetapi dalam beberapa bahagian kelihatan tidak secocok dengan Mardiah, bekas banduan yang memilih keluar dari lorong hitam hidupnya. Mardiah agak liar dan Haliza gagal menjinakkan Mardiah seadanya. Mardiah perlu lebih jinak sekalipun ada sejarahnya yang liar.