Ebby Saiful dan Haliza Misbun dalam teater Pokok arahan U-Wei Haji Saari.


Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Pokok  terbitan Balang Rimbun  yang dipentaskan di DBP pada 7 hingga 16 Disember lalu  adalah sebuah teater realisme. Ia menyorot   kehidupan kelompok marginal  pada latar  geografi yang sengaja dikaburkan.  Boleh jadi sini, di sana atau di mana-mana. Ada  semacam kenyataan politik (political statement)  yang juga dikaburkan misalnya keberadaan sebatang pokok dalam teater ini.

Pada bentuknya, teater Pokok berbeza dengan Kotaku Oh Kotaku  atau Angin Kering tetapi  tetap membicarakan isu  kelas dan keazaman manusia menggapai peluang kedua. Pokok menyorot dan membentangkan kehidupan kelompok marginal yang penuh cabaran.

Naskhah Pokok ditulis oleh Johan Jaaffar dan diarahkan oleh U-Wei Haji Saari.

Kotaku Oh Kotaku dan Angin Kering antara dua naskhah teater eksperimental karya Johan pada awal tahun 1970-an. Malah tidak keterlaluan kalau  beliau dianggap antara penggerak teater eksperimental pada dekad itu. 

U-Wei adalah  pengarah filem yang sebelum ini menulis dan mengarahkan teater Wangi jadi Saksi,  sebuah interpretasi baru  terhadap naskhah klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Pokok kelihatan  lebih kepada wacana berbanding paparan realiti sosial atau mesejnya.  Untuk melihat Pokok sebagai sebuah cerita, ada cerita dalamnya.  Untuk mencari mesej juga ada dalamnya.  Tetapi yang menarik wacana  isu  rakyat kehilangan penguasa, kelas  dan keazaman manusia untuk  untuk keluar dari lingkaran menjadikan teater ini  menarik perhatian.

Buyung Zasdar dan Haliza Misbun dalam teater Pokok.

Pokok adalah karya terbaru Johan  selepas 14 tahun menulis Asiah Samiah yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).  Bagaimanapun Asiah Samiah belum diangkat ke pentas.

Watak-watak  naskhah Pokok diangkat ke pentas melalui kerja lakon Haliza Misbun (Mardiah), Ebby Saiful (Darwis),  Buyung Zasdar (Amut) dan Rahim Jailani (Tok Kaya). Dengan konsep pentas yang minimalis –  sebatang pokok, bangku,  pondok buruk dan bilik mandi,  U-Wei menghidupkan set kaku  ini sebagai karakter  dan ini melampaui peranan sebagai latar  arahannya.

Dari naskhah kepada pentas, di tengah-tengahnya berlaku interpretasi.  Mementaskan teater adalah proses interpretasi terhadap sesebuah naskhah. Yang terpancar pada teater ini adalah interpretasi U-Wei terhadap naskhah  karya Johan  dengan menyuntik tenaga visual –  gerak manusia, prop  dan  pengadegan (mise en scene).

Johan tentunya sengaja menukilkan Pokok secara konvensional mengenai isu kelas,  gelagat kapitalis  dan keazaman manusia untuk berubah. Yang lebih kompleks dari naratif mudah ini adalah  pokok. Adakah pokok  tidak lebih sebagai pokok atau  sebagai simbol yang membawa maksud lain?

Yang jelas, pokok boleh berdiri sebagai pokok untuk melengkapkan realisme latarnya berganding dengan pondok buruk.  Tetapi kalau melihat selangkah ke depan,  pokok adalah kuasa, sistem atau naungan yang berpengaruh terhadap rakyat.  

Secara semiotik, pokok  yang  dahannya sudah reput mulai patah dan jatuh boleh dibaca sebagai naungan kuasa yang sudah tidak berkuasa.  Dalam babak pertama lagi  ditekankan dahan reputnya jatuh  kemudian pada  babak akhir  Darwis menebang pokok itu. 

Babak akhir ini memberitahu pokok dalam teater itu  menghantar makna di luar realisme.  Pokok bukan lagi pokok tetapi  simbol kerosakan pada sistem sosial dan sistem politik.  Sang idealis (Darwis) percaya pokok adalah pelindung tetapi sang realis (Mardiah) menganggap pokok sudah mengundang bahaya. 

Mardiah  mewakili golongan marginal,   dia sudah  terhukum di penjara tetapi kini telah bebas.  Bagaimanapun status bekas banduan dibawanya  ke mana-mana. Langkah pertama yang sumbang akan menyumbangkan langkah-langkah seterusnya.  Bukan mudah untuk membetulkannya.  Tetapi Mardiah berazam melakukannya.

Banyak kali  Mardiah mengulangi – hanya Darwis yang kudung kaki sanggup memperisterikan dia.  Darwis pula berulang kali menyakinkan Mardiah seorang isteri yang baik dan sejarah silam  bukan ukuran masa depannya.

Menonton teater ini mengingatkan saya pada filem Unforgiven (1992) arahan Clint Eastwood. Watak utamanya  lakonan Eastwood berazam menjadi baik. Peluang kedua dianugerahkan kepada semua orang tetapi sedikit yang  menyedari dan memanfaatkannya.  Seperti Mardiah, dia  mahu menjadi putih selepas bergelumang dunia silam yang hitam.

Dari segi arahan, U-Wei memberikan pengenalan sebagai pengarah filem.  U-Wei membawa penonton melihat  pentas dari  tiga sudut ‘kamera’ yang berbeza.  Selalunya berlaku pertukaran set apabila bertukar babak. Tetapi U-Wei  mengekalkan set yang sama dari sudut yang berbeza.

Menonton teater Pokok adalah melihat  pengadegan dari lensa kamera yang dipandu oleh U-Wei.  Dari sudut depan, belakang dan tepi pondok buruk itu  adalah perubahan babak dalam teater tiga babak ini.  Sebagai teater yang memilih set yang ringkas,  teknik U-Wei memperkayakan  visual pada set yang  sedikit.

Advertisement

Dari sudut lakonan,  Ebby Saiful memberikan lakonan yang baik walaupun  sebelum ini tidak menonjol sebagai pelakon teater.  Gerak lakon sebagai lelaki yang kudung kaki sangat terkawal dan menyakinkan.  Kedaifan Darwis terpancar pada lakonannya.  Ini ditambah dengan tatarias  wajah dan kostum yang sepadan.

Buyung Zasdar sudah senama dengan teater Malaysia sejak 1970-an.  Buyung sangat dirasakan kehadirannya walaupun pada banyak bahagian sebutan dialognya tidak  begitu jelas. Tetapi gerak lakon menyelamatkan Buyung di pentas.  Babak Amut dengan Tok Kaya dan Mardiah  misalnya memberi ruang kepada Buyung menguasai pentas.

Keberadaan Buyung sebagai ‘tukang angguk’ kepada Tok Kaya sangat berwarna apabila menyanggah hasrat Tok Kaya hendak berkahwin dengan Mardiah.  Watak sangat terkawal  antara setia kepada ketua dan kawan.  Dalam babak ini Amut memberikan kesan  humor kepada situasi sangat tragis tatkala Tok Kaya menggila dan Mardiah yang pertahankan maruah, Amut  ada di tengah-tengahnya.

Haliza  memberikan lakonan yang baik tetapi dalam beberapa bahagian kelihatan  tidak secocok dengan Mardiah,  bekas banduan yang memilih keluar dari  lorong hitam hidupnya.  Mardiah agak liar dan Haliza gagal menjinakkan Mardiah seadanya.  Mardiah perlu lebih jinak sekalipun  ada sejarahnya yang  liar.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *