Yaakob Aziz dalam Lembayung Senja.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

“Benarlah seperti kata sang guru, sebahagian dari hidup kita ibarat api yang membakar besi sebelum menjadi sebilah keris yang indah lagi sakti. Waktu dunia ini sudah menunggu senja sebelum tibanya lembayung. Apakah kita sudah mempersiapkan jiwa mengadap Tuhan Yang Maha Esa.”

Demikiam suara batin Pak Aki yang menutup drama Lembayung Senja. Pak Aki pun longlai dan terduduk atas rumput di laman bengkel besi yang usang. Di depan Pak Aki ada cahaya lembayung dari belahan gunung yang memberikan sunyi yang hening. Lembayung mengiringi senja menghantar matahari pulang ke peraduan.

Saat itu seolah-olah nafas seluruh isi alam terhenti seketika. Pak Aki meninggalkan penonton dengan pertanyaan dari dalam, “Apakah kita mempersiapkan jiwa mengadap Tuhan Yang Maha Esa?” Penutup adalah permulaan yang baharu kepada penonton.

Lembayung Senja disiarkan di RTM sempena Maulidir Rasul yang baru berlalu. Pelakon -pelakon terdiri daripada Yaakob Aziz (Pak Aki), Khai Sabri (Zaki iaitu Pak Aki masa muda), Ku Farisah (Sukma) dan Sofi Jikan. Diarahkan oleh Zairol Fahmee Khairuddin dan skrip oleh Hairry Jalil.

Pak Aki bekas banduan pernah menjadi pembunuh upahan pada zaman muda. Dia memerlukan wang untuk menyelamatkan nyawa ibunya yang sedang dirawat. Selepas dibebaskan Pak Aki terus menetap di Kampung Hulu tempat berlakunya tragedi pembunuhan dan menjadi tukang menempa keris.

Pak Aki menanggung beban sejarah silam itu. Dia menerima hakikat tidak mampu mengubah masa silam, tetapi bertekad membentuk masa depan.

Khai Sabri dan Ku Farisah dalam Lembayung Senja.

Idea drama ini mungkin biasa – seorang yang terpesong kembali menjadi baik. Tetapi ini hal yang biasa kerana tidak semua karya besar bertolak daripada idea yang luar biasa. Banyak juga menjadi luar biasa disebabkan pembinaan naratif atau seni bercerita yang hebat.

Idea dan naratif adalah dua perkara berbeza. Idea adalah cetusan. Naratif pula seni kemahiran bercerita. Kemahiran membina naratif membuatkan khalayak tidak rasa dipaksa untuk larut dalam idea yang dibentangkan. Malah menjadi sebahagian daripada naratif itu.

Naratif Lembayung Senja mengalir lancar dan tidak terasa idea yang biasa itu berkembang dan merendang. Naratif menjadikan kisah orang yang insaf itu suatu yang berbekas di ingatan. Meninggalkan igauan dan bertapak dalam fikiran. Pengakhiran drama ini bukan menyimpulkan tetapi meninggalkan persoalan.

Kemahiran membina naratif itulah yang mendukung Lembayung Senja berbicara tentang rahmat Allah yang luas tidak bersempadan. Bahkan kepada seorang pembunuh pun anugerahkan rahmatNya selepas insaf dan berubah menjadi baik. Rahmat itulah menjadikan Pak Aki hidup tenang sekalipun ingatan pada dosa tidak terpadam.

Suatu yang boleh dipetik adalah tentang dosa . Biarpun dosa sebesar gunung, tetapi rahmat Allah itu lebih tinggi daripada langit. Insaf tidak terhenti pada pengakuan bersalah sahaja. Tetapi kedalaman rasa itu mesti dizahirkan dengan tindakan – meninggalkan kejahatan dan terus mencari kebaikan.

Laluan untuk mencari kebaikan selalunya tidak lurus dan penuh dengan rintangan.
Maka menempa dan membentuk semula jiwa yang runtuh dan rosak menuntut pengorbanan. Sama seperti besi yang dibakar api yang marak untuk dibentuk menjadi sebilah keris yang cantik. Keris itu adalah Pak Aki.

Pesan agama

Pesan agama dialirkan dengan rasa yang semula jadi. Tidak berlebihan hingga bertukar menjadi ceramah atau khutbah. Lembayung Senja sebuah karya yang sangat memujuk ke jalan kebaikan. Ia membentangkan jalan untuk dipilih.

Satu watak dalam dua diri -Khai Sabri (kiri) dan Yaakob Aziz.

Antara masalah besar sesetengah drama kita adalah teruja hendak mengajar penonton. Asal sahaja bercorak agama, penuhlah dengan ceramah dan syarah. Padahal karya seni bukan mengajar tetapi menyoal. Lembayung Senja tidak cenderung mengajar, tetapi memberikan cermin untuk melihat biasannya.

Saya selalu percaya drama yang baik tidak memaksa penonton supaya faham. Drama yang baik memujuk dan membawa penonton dalam alir naratif. Lembayung Senja bernasib baik kerana berada di tangan pengarah dan penulis yang faham tentang mengurus rasa dan memberi makna. Idea yang nampak biasa menjadi renungan yang dalam tentang manusia, masa silam, dosa dan keazaman memulakan hidup baharu.

Pengarah drama ini faham bahawa membina perasaan itu lebih penting daripada mencipta aksi yang berlebihan. Sebab itulah walaupun naratif Lembayung Senja bergerak perlahan tetapi menggetarkan. Setiap detik ada makna yang tidak dibazirkan.

Eksperimental

Daripada kerangka naratif yang menongkah aturan atau non linear, Lembayung Senja terasa agak eksperimental. Karya seperti ini selalunya mencabar penonton yang sudah biasa dengan struktur yang tersusun. Mungkin ada yang tersesat dalam cerita kalau menonton sambil mengunyah kauci.

Struktur naratifnya mencairkan semua sempadan masa. Masa silam dan masa kini dilebur menjadi satu. Watak masa silam hadir dalam bingkai masa kini.
Pengarah dengan berani meleburkan dua zaman dalam satu bingkai. Seolah-olah Pak Aki berdiri dan berbalas kata dengan dirinya pada zaman yang berbeza.

Itulah keindahan sekaligus keunikan yang agak jarang kita lihat dalam drama Melayu. Meleburkan masa silam dan masa kini secara tersiratnya mengingatkan kita bahawa yang silam itu bukanlah tertinggal di belakang. Tetapi terus mengekori, memburu, bahkan sering berdiri di sebelah bahu kita dan menjadi sebahagian daripada sejarah.

Perlambangan

Drama ini sarat dengan lambang-lambang yang perlu dibaca dengan pengalaman dan pemikiran yang kritis. Bengkel yang usang dan menempa keris tidak sahaja dihadirkan sebagai pelengkap perwatakan Pak Aki. Tetapi itulah perlambangan yang membawa maksud tempat membentuk jiwa yang rosak menjadi lebih baik.

Pada lapis pertama bengkel itu adalah tempat Pak Aki mencari rezeki. Pada lapis kedua, itulah ruang peribadi di mana Pak Aki membentuk kembali rupa jiwanya yang baharu. Sama seperti Pak Aki membentuk sebatang besi menjadi keris.

Nikmat menonton drama seperti ini bukan sahaja mengikuti aliran naratifnya . Tetapi penting juga membaca lambang-lambang yang mendukung naratif menjadi lebih berkesan. Lalu, semua yang diangkat – bengkel usang, keris malah lembayung waktu senja membawa makna tersirat yang mendalam.

Khai Sabri

Perlambangan itu menggerakkan naratif dengan lancar dan berseni. Mungkin menjadi berbeza sekiranya Pak Ali menjadi penarik beca dan bukan tukang menempa keris. Mungkin juga memberikan kesan berbeza sekiranya yang kerap dipegang Pak Aki adalah parang dan bukannya keris.

Lakonan

Yaakob Aziz memberikan lakonan yang memberangsangkan, renungan dan pancaran matanya memberikan rasa kepada penonton. Ketajaman renungan dalam sunyi tanpa kata menghidupkan watak lelaki tua yang pernah berdosa. Gejolak batin Pak Aki dirasakan melalui mata dan renungan.

Lakonan Yaakob Aziz juga bertimbal balik dengan Khai Sabri yang menjadi regu lakonnya. Mereka berpasangan dalam satu bingkai. Permainan kedua-duanya terkawal dengan tempo dan gerak yang selari. Sekalipun mata kedua-duanya jarang bertemu tetapi wujud pertautan yang erat.

Yaakob Aziz (kanan), Ku Farisah dan Khai Sabri dalam Lembayung Senja.

Kedua-dua, Yaakob Aziz dan Khai Sabri mencipta pertautan dengan segala prop dalam ruang bengkel usang. Hal itu menjadikan bengkel bukan latar tetapi ruang yang memberikan pantulan yang cukup bermakna pada lakonan.

Memang tempo lakon kedua-duanya perlahan, tetapi seiring sekalipun menggandingkan pelakon mapan dan pelakon baharu. Malah keseluruhan drama ini amat bergantung kepada kedua-duanya. Nasib baik mereka mempunyai stamina lakon yang tinggi – konsistensi dari awal hingga akhir.

Dialog yang amat minimalis menuntut kefahaman tentang bahasa badan dan ekspresi. Banyak juga dialog yang hanya sepatah sahaja dan kata itu diterjemahkan dengan baik pada lakonan. Dialog Lembayung Senja bukan tanya dan jawab, tetapi penyataan yang meninggalkan persoalan.

Kesimpulannya Lembayung Senja sebuah drama kecil – mungkin daripasa sudut prosuksi tetapi menjadi karya yang besar. Pengarah telah membina sebuah persembahan yang dianggap menarik dan berkesan. Didukung pula oleh pelakon yang sentiasa sedar masa dan ruang.

Nota: Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal Seni Malaya 1 November 2025.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *