Niezam Zaidi (kiri) dalam adegan drama Miselia (Gambar RTM)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

MATA saya tertancap pada imej shot jarak dekat (close up) cendawan yang menjadi latar ‘credit title’ pembukaan drama Miselia. Visual itu kelihatan dibina secara halus dan berseni untuk menyerlahkan makna penceritaan, sekali gus mendasari falsafah Miselia, drama khas yang disiarkan di TV1 sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 10 Oktober lalu.

Pada pertengahan drama dipaparkan pula bangsal cendawan. Beberapa kali juga sehingga penonton yang kurang teliti pun akan perasan kewujudannya. Bagaimanapun imej cendawan itu tidak terhubung secara ketara dengan naratif drama. Imej itu kelihatan tergantung dan terasing. Barangkali ada dalam kalangan penonton tertanya-tanya tentang cendawan itu. Sebenarnya itu suatu yang bagus dan menunjukkan penonton menghayati drama itu.

Bagaimanapun daripada sudut sistem tanda (semiotik) cendawan itu membawa makna yang besar, tetapi hanya disedari selepas drama berakhir. Ketika itu keberadaan imej cendawan menjadi suatu yang sangat berkait dengan drama itu; memberikan suatu makna yang tepat dengan persoalan yang diangkat dalam Miselia.

Miselia diarahkan oleh Nor Ashikin Zainal yang juga mencipta konsep visual drama itu sementara lakon layar ditulis oleh Che Li. Naskhah itu membentangkan hakikat kehidupan manusia yang terbina daripada dua sisi yang saling terhubung. Ia boleh diumpamakan sebagai cendawan yang boleh dilihat, manakala mycelium atau bebenang halus yang menjadi sebahagian daripada cendawan pula terlindung di sebalik permukaan tanah.

Seumpama kehidupan manusia, banyak perilaku yang terpamer pada mata zahir mempunyai hubungan dengan sesuatu yang terlindung di jiwanya. Falsafah mycelium dan cendawan dalam drama ini berkembang dan menyusuri sisi terlindung dalam diri watak utama, Ray (lakonan Niezam Zaidi). Sindrom Dissociative Identity Disorder (DID) yang dideritai Ray menjadikan dia tidak dapat membezakan antara realiti dan ilusi.

Miselia menceritakan tentang Ray yang diburu trauma zaman kanak-kanak. Dia dibenci oleh ayahnya, Andi (lakonan Azhar Sulaiman) dan hanya mengenal erti kasih-sayang melalui ibunya, Diana (lakonan Elli Suriaty. Ray membesar dalam keadaan yang sepi, terasing dan hilang keyakinan diri.

Niezam Zaidi dan Shiqin Kamal dalam drama Miselia (Gambar RTM)

Trauma itu menghasilkan luka yang dalam dan menatijahkan kegagalan dalam membezakan antara sesuatu yang berupa mimpi, trauma dan realiti. Keadaan yang melingkari hidup Ray sama seperti cendawan – luarannya nampak biasa tetapi jiwanya sentiasa berselirat – terlalu kompleks.

Pembentukan watak Ray sebagai anak muda memperlihatkan suatu yang menarik. Tidak hanya meminati puisi dan muzik, Ray juga sentiasa tenggelam dalam keasyikan menikmati buku-buku sastera. Puisi Sasterawan Negara Baha Zain dan penyair Mamu K Hasmy menjadi ruang eskapisme Ray. Malah bait-bait puisi itu juga selalu bergema di jiwa dan sesekali ada yang terucap tanpa sedar.

Kehadiran Maya (lakonan Shiqin Kamal) seperti membawa kunci yang membuka Ray pada kehidupan yang lebih luas. Maya berjaya membuat Ray menikmati hidup yang baharu, tetapi masa yang sama terbuka lapis demi lapis yang selama ini terlindung di jiwanya. Kehadiran Maya menjadikan permulaan Miselia digerakkan oleh kisah percintaan, tetapi berkembang hingga membongkar beberapa kejadian yang tragis.

Kekuatan pembinaan naratif drama ini terletak pada cara misteri diangkat secara berperingkat dan berlapis-lapis. Bermula penculikan Edi, kemudian kematian Maya, siasatan Emir sehinggalah muncul pelbagai watak dalam diri Ray. Perkembangan naratif itu telah memesongkan banyak tanggapan awal tentang Ray dan Maya.

Drama ini menyelitkan teknik naratif kitaran masa (time loop) yang pada tanggapan Ray bahawa Maya telah mati dibunuh. Kitaran itu berulang-ulang dan datang seperti mimpi. Ray berusaha mengubah keadaan bagi menghentikan kitaran itu supaya Maya tidak ‘mati.’ Antara penanda kitaran masa itu adalah dialog ibu Ray yang menyebut, “Sampah itu dah dua hari tidak dibuang.”

Kepada Ray, Maya ialah satu-satunya manusia yang faham dan sayang kepadanya. Bagaimanapun Ray terlupa bahawa tidak semua perkara dalam hidup bergerak pada garis yang lurus. Hakikatnya, Maya ialah pegawai polis yang menyamar sebagai kekasih untuk menyiasat kes pembunuhan yang dilakukan Ray. Kata-kata Ray, “Terima kasih kerana memori indah yang palsu” menjadi petikan dialog yang sangat bertenaga dalam drama ini.

Sinematografi

Daripada sudut sinematografi, gerbang sinematik Miselia dibuka melalui montaj yang sangat impresif – ‘close up’ tombol pintu, kasut tumit tinggi, wanita dipukul, dinding rumah waktu malam dan ‘close up’ mata yang terbuka. Gabungan shot pendek itu seolah-olah sengaja tidak mahu memberi ruang kepada penonton untuk bersedia.

Montaj itu menjadi pintu untuk memasuki lorong pengalaman dramatik yang menafikan semua jangkaan, bahkan memberi isyarat bahawa di sebalik imej-imej yang kelihatan terpisah itu ada sesuatu yang mengejutkan dan penuh tanda tanya. Kesan itu membuatkan kesan ‘thriller’ mulai terasa.

Montaj itu mengingatkan saya pada pandangan tokoh utama teori Soviet Montage, Sergei Eisenstein. Dalam eseinya, The Cinematographic Principle and the Ideogram, Eisenstein menganggap makna dua atau lebih imej berasingan yang digabungkan boleh mencipta makna yang baharu. Dalam Miselia montaj itu telah menunjukkan bentuk drama yang bercorak psycho thriller.

Nor Asikin Zainal (tengah) ketika mengarahkan drama Miselia. (Gambar RTM).

Pengarah, jurukamera (Jefri Rosli) dan penyunting telah menghasilkan visual yang membanggakan melalui montaj itu. Pengarah dan penyunting kelihatan memahami bahasa sinematik yang berseni untuk mencipta sesuatu yang luar jangkaan.

Jefri Rosli berjaya menterjemahkan kesunyian Ray melalui penghasilan shot jarak jauh yang meletakkan sosok kecil di tengah jalan lebar yang panjang. Alam hutan menghijau menjadikan naratif kesunyian begitu ketara. Komposisi ini membina gambaran tentang keterpinggiran dan kesunyian watak dalam menjalani hidup.

Pada beberapa adegan dalaman, pergerakan kamera terkepung. Kamera dalam ruang yang sempit – bilik tidur, ruang makan dan ruang tamu mencerminkan jiwa watak utama yang terkepung. Pergerakan watak ketika konflik berlegar dalam ruang yang terlindung menggambarkan satu sisi jiwa Ray yang tidak kelihatan pada zahirnya.

Non linear

Naratif non linear membawa penonton dalam alam fikir watak-watak. Hal itu bertepatan tentang hakikat bahawa fikiran manusia tidak bergerak lurus, tetapi merupakan fragmen-fragmen masa dan peristiwa yang terasing dan berselerak. Struktur itu memberikan lebih kejutan, bahkan memesongkan jangkaan, mempermain-mainkan emosi penonton dengan tempo yang sukar dibaca. Hal ini bertepatan dengan salah satu tujuan menonton drama atau filem – merangsang pemikiran melampaui sekadar mengikuti cerita.

Ini kerana naratif yang baik tidak menjawab persoalan tentang ‘apa’ atau ‘siapa,’ tetapi menjurus pada ‘bagaimana.’ Miselia bukan tentang apa yang berlaku atau siapa yang melakukan, tetapi ia menjawab tentang bagaimana atau kenapa sesuatu perkara berlaku. Ray membunuh orang yang dekat dengan hidupnya kerana dendam dan trauma yang berkembang hingga mengaburkan pertimbangan yang waras.

Drama atau filem yang baik tidak memuatkan semua visual ke dalam bingkai untuk disuguhkan kepada penonton. Menyunting adalah seni memilih antara visual yang perlu dipertontonkan atau diabaikan. Maka tidak hairanlah kalau Miselia terasa sangat padat hingga hampir tidak ada adegan yang boleh ditiadakan.

Dialog dalam Miselia juga sangat ekonomik. Setiap kata membawa makna, bahkan pada ruang jeda pun tetap membawa makna. Banyak adegan boleh berdiri sendiri tanpa dialog disebabkan kekuatan sinematik. Sebenarnya pengarah yang ‘kurang rajin’ sahaja yang selalu melambakkan dialog berjela-jela. Pengarah yang hebat sangat arif bahawa sesebuah filem atau drama boleh berdiri tanpa dialog.

Satu adegan drama Miselia. (Gambar RTM)

Drama ini didukung oleh pelakon yang sedikit tetapi memberikan lakonan yang hebat. Watak utama yang ditangani Niezam Zaidi dibangunkan dengan begitu cemerlang. Kefahamannya tentang watak menjadikan lakonannya meninggalkan kesan di jiwa.
Ini kerana Ray adalah watak yang sukar – perwatakannya lebih banyak terpendam berbanding yang diperlihatkan kepada penonton. Niezam bijak menguasai indera lakonnya sebagai anak muda dalam kecelaruan jiwa. Beberapa adegan bersama Maya di hutan sudah membuktikan kekuatan lakonan Niezam.

Shiqin Kamal berjaya menyembunyikan watak sebenar Maya daripada penonton. Kemunculan Maya agak misteri – di tengah hutan. Misteri itu hampir dilupakan kerana Maya menyimpan tujuan yang sebenar ke hutan itu. Perubahan Maya daripada kekasih dan pegawai polis – antara penyamaran dan realiti telah dihasilkan dengan baik.

Kesimpulannya, Miselia mengingatkan bahawa kehidupan manusia tidak selalunya tumbuh dalam ruang yang terang. Ada yang berakar dalam kegelapan dan rahsia yang tidak mudah difahami. Seperti mycelium yang menjalar di bawah permukaan tanah, menghubungkan kehidupan yang kelihatan dan tersembunyi. Menghubungkan pengalaman masa lalu dan masa ini.

Bukan semua perkara yang berada di ingatan itu adalah suatu yang kekal dan benar. Dalam keadaan tertentu pengalaman yang menyakitkan boleh mempengaruhi cara seseorang mengingati, mentafsir dan memahami sesuatu peristiwa. Dalam keadaan tertentu itulah fikiran sendiri boleh berubah menjadi penjara. – KAYANG POST

Nota: Drama Miselia di RTM Klik
https://rtmklik.rtm.gov.my/play/movie/miselia

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *