
Oleh Ku Seman Ku Hussain
CAMAR POELANG memperihalkan falsafah perjalanan pulang pada fitrah diri selepas merentas terpaan badai dan mengukur kedalaman ombak kehidupan. Dalam lelah memikul dendam, karya ini mengingatkan bahawa memberi maaf adalah pintu yang membuka lorong ketenangn jiwa sepanjang hayat.
Perjalanan yang paling jauh pada akhirnya adalah perjalanan pulang — pulang menilik diri. Camar Poelang tidak membawa kita ke destinasi yang asing, tetapi kembara mencari fitrah yang hilang oleh amukan amarah yang merasuk diri. Nafsu sentiasa memesongkan fitrah manusia. Membuang dendam dan memaafkan adalah keberanian memancung angkuh demi ketenangan hidup masa depan.
Camar Poelang diarahkan oleh Zairol Fahmee Khairuddin disiarkan dalam slot Panggung RTM pada 20 Jun 2026 yang lalu di TV1. Penerbitan drama ini turut dibantu oleh penolong pengarah – Siti Norbaya Mohd Apandi dan Iqbal Arif Yaakob, pengarah seni Mustafa Afifi Muhammad Dahlan, pengarah sinematografi Butock Fairuz dan pereka set Saufi Kuntum dan Nurhafizah Hussain. Penulis skrip Ares Bahar.
Menyebut nama-nama karyawan di belakang pengarah adalah tanda apresiasi terhadap kerja berpasukan dalam menghasilkan sebuah karya yang baik. Sama ada kecil atau besar, semuanya ada peranan dalam mendirikan Camar Poelang yang menambah senarai karya yang baik daripada Unit Drama RTM dalam lambakan drama yang banyak merosakkan pemikiran masyarakat mutakhir ini.

Zairol adalah legasi kecemerlangan pengarah drama yang RTM terdahulu seperti Hasiah Ariffin, Zohara Gani Batusya (Lola), Abdullah Zainol, Adman Salleh, Yusof Mohamad, Yusof Osman dan banyak lagi.
Pelakon-pelakon ialah Wan Raja, Yaakob Aziz, Arielganu, Ku Farisah, Faha Azhar, Rzzuan Rosli dan Azizah Mahzan. Lokasi penggambaran di perkampungan nelayan pantai Jambu Bongkok, Terengganu. Lokasi ini sengaja disebut kerana bukan sahaja menjadi pentas, tetapi yang lebih utama adalah karakter yang mendukung drama ini.
Daripada sudut naratif, sebagai sebuah karya yang sarat falsafah Camar Poelang tidak menghamparkan jawapan yang mudah. Sebaliknya meninggalkan persoalan-persoalan yang terus mencabar minda dalam jangka masa yang panjang dan lama selepas drama berakhir. Karya besar yang membawa ketinggian makna tidak memberikan jawapan, tetapi meninggalkan persoalan.
Karya-karya seperti ini selalunya adalah sebuah kembara jiwa yang sangat mengujakan dan tidak mudah ditelan zaman. Semakin dalam kita menyelam semakin banyak mutiara ilmu ditemui; dan semakin kecil pula kefahaman kita tentang hidup yang luas.
Camar Poelang berkisarkan tentang seorang penulis, Zahir (lakonan Wan Raja) yang mengalami trauma zaman kanak-kanak (childhood trauma). Jiwanya terdera oleh dendam yang panjang kepada ibu yang didakwa tidak menjaganya sejak kecil. Dendam, marah dan benci menjadi beban yang tanpa disedari telah merampas ruang untuk hidup tenang.
Disebabkan satu insiden kereta rosak, Zahir tersadai di sebuah kampung nelayan di Terengganu. Alam dan manusia di tempat baharu yang selalu diungkap sebagai ‘sangat mendamaikan’ menjadi bibit mula perjalanan pulangnya kepada fitrah diri. Dia akhirnya meruntuhkan tembok kebencian dan dendam yang tidak sepadan dengan prasangka terhadap ibu.
Saya terkesan pada dua adegan kecil yang memberikan isyarat besar dalam drama ini. Pertama, ketika Zahir menerima panggilan ibunya yang penuh rindu. Bagaimanapun dibalas dengan kelembutan yang terselit duri dan menggoreskan. Belum pun habis ibunya habis berkata-kata, Zahir terus mematikan telefon.
Ruang katarsis
Serentak itu keretanya tiba-tiba rosak dan terhenti. Adegan kecil ini bukan ‘biasa-biasa’ dan sama sekali bukan klise. Itu adalah ketelitian pengarah menghantar makna awal pada adegan yang terkait pada seluruh drama itu. Ia memberi gambaran sikap derhaka terhadap ibu terbalas serta merta. Selangkah ke depan, adegan itu adalah pintu yang memlorongkan Zahir ke ruang katarsis.

Falsafah yang memberikan makna mendalam pada sesebuah karya menjadi satu pengalaman rohani dan intelektual kepada khalayak. Hal yang demikian mampu mengubah sudut pandangan khalayak terhadap kehidupan.
Banyak karya besar tidak memberikan jawapan yang mudah pada setiap persoalan yang diangkat, tetapi membawa khalayak merenung dan mengutip maknanya. Malah keindahan sebuah karya seni bukanlah pada jawapan, tetapi persoalan yang memungkinkan berbagai-bagai makna daripadanya.
Sudah semestinya semua itu menuntut keupayaan yang terbina daripada pengalaman hidup, ilmu dan iltizam menyusur lapis demi lapis yang menyimpan makna dan rahsia. Hal itu bertepatan dengan matlamat karya seni sebagai sebuah kembara mencari makna.
Camar Poelang membawa penonton memahami lapisan nafsu dalam diri manusia yang perlu dirawat supaya fitrah diri dapat dikembalikan, seterusnya merawat trauma hidup yang menghalang kebahagiaan hidup Zahir. Persoalan penyakit jiwa yang dialami Zahir ini digarap melalui seni naratif yang teratur dan halus sekalipun berbentuk non linear.

Sebagai karya yang menjurus sebuah ruang katarsis, Camar Poelang mengangkat satu tindakan kecil dengan penuh sedar mampu membebaskan belenggu batin yang panjang. Memaafkan adalah tindakan kecil yang memberikan kesan ketenangan yang besar dan bebas kepada manusia yang melepaskan angkuhnya.
Malah mengingatkan bahawa manusia tiada upaya membetulkan sesuatu yang telah lalu, tetapi yang adilnya sentiasa diberi peluang mencorakkan lorong kehidupan pada hari ini dan masa depan. Falsafah manusia yang kembali mengenal diri dalam Camar Poelang adalah jambatan menghubungkan antara luka masa lalu dan hidup pada masa ini.
Pertemuan tanpa duga dengan nelayan tua, Pok Soh (lakonan Yaakob Aziz) telah membuka dimensi jiwa Zahir yang tersembunyi. Zahir akhirnya berdamai dengan aturan takdir – ditinggalkan ibu ketika masih ketika belum mengenal siang dan malam. Zahir belajar menerima takdir apabila melihat Akil (lakonan Faha Azhar) remaja cacat anggota reda dan kehilangan ibu tetapi tidak pernah menyalahkan takdir.
Ironinya Zahir yang sempurna tubuh badan dan masih mempunyai ibu pula ‘cacat’ jiwanya – tidak bersyukur pada anugerah itu dan masih terperangkap dengan nafsu yang rendah apabila gagal memahami persoalan qada dan qadar.
Kapal terbang kayu
Di tepi laut yang saujana dan bawah langit yang terang garang, alam kampung yang damai itu menjadi guru mengajar manusia tentang kekerdilan dan kelemahan. Zahir beberapa kali mengungkapkan kampung itu sebagai ‘tenang dan damai.’ Alam dan manusia secara tanpa sedar mempengaruhi Zahir menilik diri yang pada hakikatnya diciptakan indah.
Zairol mengungkapkan falsafah kembali pada fitrah melalui prop sebuah miniatur kapal terbang kayu yang diraut oleh Pok Soh. Kata-kata Pok Soh kepada Zahir mengenai kayu itu dianggap kapsyen pada adegan yang menggerakkan Camar Poelang ke kemuncak.
“Sebahagian daripada kayu itu dibuang bukan kerana ia jahat, tetapi tidak sesuai dengan bentuk terakhir yang aku kehendaki.” Sebuah lagi petikan dialog, “Kayu itu nampak keras bukan kerana ia kuat, tapi sebab ia menyimpan luka yang perit di dalamnya.” Ia menjadi lebih bermakna apabila kapal terbang itu hulurkan kepada Zahir.
Prop kapal terbang kayu itu mendukung falsafah manusia akan terbang tinggi dan bebas di cakerawala kebahagiaan setelah berjaya membakar segala kejahatan dan keburukan diri. Ia melambangkan ketinggian jiwa manusia yang sanggup melepaskan beban dendam dan berdamai dengan aturan takdir.

Pereka set, Saufi Kuntum memahami makna ketinggian jiwa Zahir yang diwakilkan pada prop kapal terbang kayu itu. Kerana itulah Pok Soh memilih kapal terbang berbanding sebuah perahu yang mewakili sebahagian besar hidup nelayan.
Ketika kapal terbang yang bertukar tangan, itu adalah titik peralihan (turning point) yang besar dalam hidup Zahir. Biarpun tanpa ucap, air matanya menandakan dia telah melepaskan dendam dan memaafkan ibunya. Jiwanya bebas dan terbang tinggi dalan perjalanan pulang pada fitrah diri.
Sebagai karya yang sarat falsafah, Camar Poelang bukan sahaja tidak memaksa penonton menerima makna yang mutlak, bahkan membuka ruang tafsiran seluas-luasnya. Pengalaman hidup, tahap intelektual, latar budaya dan pandangan dunia masing-masing memberikan pemahaman berbeza-beza pada sebuah karya yang sama.
Persekitaran sosial
Apabila pasukan kreatif Camar Poelang memilih pantai Jambu Bongkok di Terengganu sebagai pentas utama, lokasi itu secara langsung telah dipilih sebagai antara salah satu karakter. Maknanya persekitaran sosial (milieu) orang kampung perlu diambil kira supaya tidak canggung dengan keadaan sebenar.
Ada yang berpandangan, karya mempunyai lesen kreatif (poetic license) yang boleh mengubah persekitaran sosial di sesebuah lokasi menjadi berbeza dan asing. Pandangan itu benar. Sekalipun begitu, tentulah lebih menarik sekiranya meminjam karakter sekali gus persekitaran sosial yang ada.

Daripada sudut itu pemakaian kostum Orked yang agak janggal bagi masyarakat Terengganu. Lebih elok kalau Orked dikenakan penutup kepala seperti selendang atau tudung seperti dalam Lembayung Senja. Tambahan pula Orked seorang yang berjiwa seni dan menjadi pencanting batik.
Seperkara lagi aksi pergaulan Orked dan Akil boleh diolah supaya tidak terlalu mesra disebabkan kedua-duanya berusia remaja. Hal sedemikian menjadi janggal daripada pandangan masyarakat, apa lagi pada persekitaran sosial perkampungan berkenaan.
Sekali lagi, hal ini bukan daripada sudut kebebasan kreatif. Tetapi sekadar mengambil kira keselesaan masyarakat terhadap gambaran yang muncul dalam drama. Lagi pula penambahbaikan itu bukan suatu yang membebankan, sebaliknya lebih mengindahkan.
Naratif non linear
Drama pertama arahan Zairol, Lembayung Senja yang disiarkan di RTM tahun lalu mengemukakan struktur naratif yang non linear. Bukan sahaja masa kini dan masa lalu seorang bekas banduan bercampur baur, bahkah watak utama Pak Aki bercakap dengan dirinya sendiri ketika masih muda.
Teknik naratif seperti ini bukan sahaja mencabar pengarah dan pelakon, malah penonton juga mungkin tersesat dalam pergerakan plot yang menongkah kronologi. Antara realiti dalam drama dan novel yang sedang dihasilkan hanya dalam Camar Poelang hanya dipisahkan oleh garis yang sangat nipis – hampir tidak kelihatan.
Maka yang tertera di layar adalah gabung jalin dan sulam seli antara realiti dalam drama dan plot novel yang sedang ditulis oleh Zahir. Dua plot bergerak selari – dalam drama dan dalam novel dan seolah-olah terhubung antara satu dengan lain. Penonton perlu menyusun peristiwa dan sebab akibat untuk mendapat kronologi.
Bagaimanapun dalam satu kajian psikologi kognitif menunjukkan naratif non linear cenderung lebih kekal lama dalam ingatan berbanding struktur yang linear atau menurut kronologi. Sebenarnya teknik non linear adalah selari dengan manusia yang jarang mengingati peristiwa secara kronologi. Ingatan hanya muncul dalam bentuk perca atau serpihan peristiwa yang tidak tersusun.
Maknanya dalam Camar Poelang perkara penting bukan lagi siapa terbakar dan siapa yang mati. Bagi penonton yag mencari cerita, drama ini mungkin sedikit mengelirukan. Bagaimanapun penonton perlu membiasakan diri keluar daripada bentuk yang biasa kepada bentuk yang lebih mencabar dan mengandungi wacana. Camar Poelang mungkin menjadi permulaan yang baik untuk menikmati drama non linear.
Nota akhir pengarah
Dalam banyak filem pengarah mengambil pendekatan menamatkan filem sebaik sahaja ia mencapai titik kemuncak. Di situ ada kesan yang dramatik, penamat itu menyentak, terasa masa terlalu singkat dan tidak memberikan ruang bernafas kepada penonton.

Camar Poelang diakhiri dengan adegan semua pelakon berdiri atas pondok dan melambai kepada Zahir yang berdiri di sisi kereta. Untuk adegan ini Zairol kelihatan meminjam tradisi ‘curtain call’ selepas pementasan teater berakhir.
Tentu ada yang bertanya kenapa Zahir tidak bersalam dengan semua pelakon di atas pondok itu? Sebenarnya itu adalah watak-watak novelnya dan drama belum berakhir. Zairol memilih menutup Camar Poelang dengan adegan Zahir sedang memandu – sama seperti pada pembukaan.
Bagaimanapun mood adegannya sangat berbeza – dalam getar suara yang tersimpan di kerongkong Zahir menelefon ibu dan memohon maaf. Sebuah kembara yang bermanfaat di mana dia menemui semula fitrah dirinya. Wan Raja memberikan persembahan terbaik untuk adegan pendek ini. Tidak semua pelakon mampu memagut perasaan penonton daripada adegan memandu kereta.
Adegan penamat diwujudkan melintas titik kemuncak atau dalam istilah filem disebut ‘coda’, iaitu nota akhir sang pengarah yang memberi ruang penonton bernafas dan melepaskan tekanan.
Camar Poelang adalah ruang katarsis dalam perjalanan pulang pada fitrah diri. Bagaimanapun Camar Poelang belum benar-benar berakhir, malah terus menganggu dengan persoalan-persoalan yang belum ditemukan jawapan.-KAYANG POST
Nota: Drama Camar Poelang dan Lembayung Senja boleh ditonton melalui aplikasi pengstriman RTM KLIK secara percuma.