
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Tahun ini genap 50 tahun filem Dersu Uzala arahan Akira Kurosawa. Filem yang diterbitkan pada 1975 itu bukanlah karya terbaik pengarah Asia bertaraf dunia itu. Sekalipun begitu Dersu Uzala adalah filem penting yang berada pada garis cemerlang kepengarahan Kurosawa.
Dersu Uzala melebarkan jalur kepengarahan Kurosawa yang sebelumnya amat sebati dengan epik samurai bertunjangkan budaya dan tradisi Jepun. Malah filem-filem epik samurai juga yang membawa nama Kurosawa merentas benua hingga ke persada antarabangsa.
Tanpa menafikan filem-filem agungnya yang banyak diperkatakan, Dersu Uzala tidak kurang pentingnya kepada Kurosawa. Filem itu membawa Kurosawa meneroka subjek dan budaya yang berbeza pada latar geopolitik dekad pertama abad ke 20 yang mengelegak.
Berlatarkan hutan belantara Siberia yang menakjubkan, Dersu Uzala meneroka tentang persahabatan, hubungan manusia dengan alam dan pertembungan budaya – antara tradisi dan moden. Kurosawa menangkap keindahan di sebalik alam hutan Siberia yang jauh dari permodenan.
Awal abad ke-20 adalah dekad penuh konflik dalam sejarah dunia. Ditandai dengan perubahan geopolitik ketara akibat perebutan kuasa yang membentuk perjalanan peristiwa beberapa dekad seterusnya. Dengan latar zaman itu, Dersu Uzala membentang tentang persahabatan, kelangsungan hidup, dan pertembungan tamadun yang pentasnya adalah hutan Siberia.
Pada garis masa itu landskap geopolitik diboloti kuasa besar yang bersaing mendapatkan pengaruh atas wilayah yang luas. Hal itu serentak dengan zaman kejatuhan empayar Uthmaniyyah dan kebangkitan empayar baharu di Eropah dan Asia mewujudkan pakatan dan persaingan yang baharu.
Keadaan geopolitik itu menjadi pentas meletusnya perang Rusia – Jepun yang bersaing mempertahankan kawalan atas Siberia yang luas telah menambah satu lagi lapisan kacau bilau yang sudah tidak menentu.
Pada latar zaman itu Dersu Uzala memetik fragmen persahabatan yang tidak terjangka antara penjelajah tentera Rusia, Kapten Vladmir Arsenyev dengan pemburu daripada suku asli Siberia bernama Dersu Uzala. Filem itu meneroka isu salah faham budaya, cabaran kelangsungan hidup dan magisnya kuasa persahabatan yang merentas garis bangsa dan negara.
Malah persahabatan juga memainkan peranan penting membantu kedua-duanya dalam menghadapi cabaran dan rintangan geografi Siberia yang sukar, ganas dan tidak terjangkau.
Filem itu menegaskan bahawa persahabatan yang ditunjangi kemanusiaan berdaya menyatukan perpecahan yang tercipta daripada pertembungan ideologi. Hutan Siberia yang penuh cabaran itu menawarkan sekilas harapan yang terkoyak akibat perang dan sengketa yang panjang.

Perang Rusia – Jepun pada 1904 hingga 1905 adalah peristiwa sejarah yang membentuk dan menghidupkan watak-watak seperti Dersu dan Arsenyev. Filem Dersu Uzala mempertemukan tradisi nomadik suku asli dengan pengaruh pencerobohan tamadun moden.
Watak Dersu meraikan pengalaman dan kebijaksanaan yang dikutip daripada kehidupan. Pengamatan mendalam pada hutan Siberia itu bertentangan dengan matlamat kemajuan teknologi dan cita-cita ketenteraan yang mendorong ketegangan geopolitik pada masa itu.
Melalui Arsenyev, Kurosawa menyusun sudut pandangan yang berbeza mengenai alam dan kemanusiaan. Keraguan Arsenyev terhadap kehidupan primitif Dersu secara beransur -ansur bertukar menjadi penghormatan dan kekaguman. Kurosawa menyuntik dimensi rohani dan etika manusia menentang konflik politik yang memanipulasi dan mengawal dunia yang semulajadi.
Landskap Siberia adalah metafora geopolitik yang lebih besar di luar alam semula jadi itu. Kurosawa diberi keistimewaan membuat penggambaran filem itu di Siberia, latar sebenar dalam memoir Arsenyev. Hal itu kerana Siberia melampaui lokasi penggambaran, tetapi sebahagian perwatakan alam pada filem itu.
Kurosawa amat diraikan oleh pihak produksi. Salah satunya menggunakan filem format 70 mm untuk Dersu Uzala. Format 70 mm itu memberi kelebihan kepada Kurosawa untuk menghasilkan persembahan visual yang menarik. Tambahan pula format filem yang digunakan itu berkeupayaan menangkap landskap luas dan membangkitkan rasa kagum pada alam semula jadi.

Salah satu shot ikonik dalam Dersu Uzala adalah ketika Dersu dan Arseyev di puncak bukit pada waktu senja dalam bentuk siluet. Pada sebelah kanan bingkai ada matahari dan sebelah kiri ada bulan. Hutan Siberia dilihat dari sudut tinggi itu mengabungkan alam semula jadi dengan alam cakerawala.
Dersu Uzala meninggalkan kesan yang berpanjangan serta mengundang renungan tentang kerapuhan dan daya tahan manusia dalam menghadapi cabaran alam semula jadi. Masa yang sama melihat kesan geopolitik yang terpercik kepada penghuni di belantara yang jauh daripada permodenan.
Memoir tentera Rusia
Dersu Uzala diadaptasi daripada memoir Kapten Vladmir Arsenyev ketika memimpin platunnya menjelajah hutan Siberia. Mereka membuat kerja-kerja pemetaan sempadan Rusia dan Manchuria pada tahun 1902 hingga 1907. Kerja pemetaan itu sebagai persediaan menghadapi perang Rusia – Jepun.
Memoir yang diterbitkan pada 1923 itu tidak sahaja memperincikan penjelajahan yang luar biasa di hutan Siberia, tetapi tentang Dersu Uzala, seorang pemburu suku asli yang luar biasa hubungannya dengan alam di sekeliling. Dersu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang keras berbekalkan kemahiran dan daya tahan yang tinggi.
Dersu ditawarkan menjadi pembantu Arsenyev kerana mahir tentang alam hutan.
Buat pertama kali Arsenyev diberitahu bahawa unsur-unsur alam iaitu tanah, air, api dan angin adalah benda hidup yang ada perasaan marah. Ketika mendengar kata-kata Dersu itu, Arsenyev dan platun menganggap suatu yang mengarut, tetapi Dersu diam tanpa reaksi.
Akhirya semua anggota platun itu mengakui kata-kata Dersu apabila suatu malam selepas Dersu melakukan ritualnya secara tiba-tiba angin meluru dengan deras membelah hutan di sekitar khemah platun itu.
Memoir itu adalah pengakuan Arsenyev tentang daya tahan dan kebijaksanaan suku asal Siberia yang mendiami alam yang asing itu. Kemahiran Dersu memahami bahasa alam dan menjinakkan angin liar yang membelah hutan adalah titik balas pada keangkuhan dan kebodohan kuasa empayar di sekelilingnya, termasuk Arsenyev.
Karya-karya terulung Kuroswa
Kurosawa ternyata amat dikagumi dengan karya-karya yang dihasilkan pada dekad 1950-an dan 1960-an. Ketika itulah lahirnya filem-filem yang meletakkan nama Kurosawa sebaris pengarah besar dunia. Antara yang cukup tertampil itu adalah Rashomon (1950), Seven Samurai (1954), Throne of Blood (1957) dan Yojimbo (1961) dan beberapa filem lain.

Filem Throne of Blood sebuah adaptasi daripada naskhah Macbeth karya William Shakespeare juga menjadi epik samurai berlatarkan zaman feudal Jepun. Hampir semua karya itu tercorak daripada semangat samurai dan berakar tunjang budaya dan tradisi Jepun.
Seorang sarjana, J. Blumenthal dalam buku Film Theory and Criticsm menganggap filem Throne of Blood sebagai satu-satunya adaptasi yang lengkap dan sempurna pernah dihasilkan daripada karya asal Shakespeare.
Kurosawa memacakkan nama di persada antarabangsa tidak sampai satu dekad selepas Jepun hancur dan lebur. Bom atom yang digugurkan oleh tentera Bersekutu menghancurkan dua bandar utama – Nagasaki dan Hiroshima. Teknologi pembunuh manusia yang paling hebat ketika itu membawa pada kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Daripada filem-filem dekad 1950-an dan 1960-an yang dihasilkan Kurosawa, Jepun tidak sahaja bangkit sebagai negara industri yang paling pesat pada zamannya. Malah bangkit dengan semangat dan jati diri melalui filem-filem bertaraf dunia.
Bahkan Barat turut mengadaptasi filem Seven Samurai (1954) arahan Kurosawa menjadi The Magnificient Seven (1960) dan Yojimbo (1961) pula menjadi ilham filem A Fistful of Dollars (1964). Kedua-dua filem genre western itu berlatarkan zaman Old West.
Memang benar Dersu Uzala tidak ada ciri-ciri Jepun yang menjadi tanda pengenalan pada filem-filem Kurosawa sebelumnya. Sekalipun begitu Dersu Uzala mempunyai sisi lain yang luar biasa, sekaligus menjadi titik perubahan penting dalam kepengarahan Kurosawa.
Melalui Dersu Uzala, Kurosawa dengan penuh sedar mengalirkan kesan pertentangan geopolitik yang tegang di luar hutan Siberia. Hal itu ditegaskan melalui paparan angka 1902 dan 1907 di layar. Ia membawa maksud perang Rusia – Jepun pada Februari 1904 hingga September 1905 merebut Manchuria, sebuah wilayah China. Angka yang terpampang di layar itu penting difahami dalam konteks latar sejarahnya.
Kritik berat sebelah
Malangnya hal-hal luar biasa Dersu Uzala tidak banyak disingkap pada dekad-dekad awal dihasilkan. Dalam kalangan sarjana dan pengkritik semacam wujud persepsi yang berat sebelah apabila memperkatakan Dersu Uzala. Banyak yang tidak dapat melihat Kurosawa dalam filem yang berbeza dengan zaman gemilang dekad 1950-an dan 1960-an.
Dersu Uzala menjadi ‘filem baharu’ yang dilihat dengan penuh pesimis, apa lagi terputus dari akar tradisi filem sebelumnya. Dalam keadaan tertentu, dalam kalangan sarjana, pengkritik malah rakan-rakan karyawan filem Jepun agak kurang jujur dalam memperkatakan filem itu.

Kurosawa seolah-olah diikat supaya tidak berubah daripada bentuk filem-filem agungnya dan tidak boleh keluar jauh dari bingkai tradisi pada latar geopolitik yang lebih luas. Latar zaman Dersu Uzala terbingkai dengan konflik geopolitik dan Kurosawa mementaskan pertembungan tamadun dan hubungan manusia dan alam dengan baiknya.
Luka perang Rusia – Jepun meninggalkan parut besar dan pedih yang panjang. Sekalipun hampir tujuh dekad, kelukaan akibat perang dirasakan baru sahaja berlalu. Maka bertambah pedih apabila tahun 1975 pengarah besar Jepun mengarah filem yang diterbitkan oleh produksi Rusia.
Sempena 50 tahun Dersu Uzala, filem itu perlu dilihat semula sebagai sebuah karya besar yang pernah dihasilkan oleh antara pengarah terbaik Asia. Itu adalah satu-satunya filem Kurosawa yang tidak berjejak pada akar tradisi dan persoalan tentang bangsanya.
Ilham memilemkan memoir itu sebenarnya tercetus 30 tahun lebih awal, iaitu ketika kali pertama Kurosawa membaca memoir yang diterjemah ke bahasa Jepun pada 1938. Pada awal 1940-an beliau menulis lakon layar dan merancang penggambaran dibuat di Pulau Hokkaido menggunakan pelakon Jepun.
Bagaimanapun rancangan itu terhalang akibat kacau bilau Perang Dunia Kedua yang melibatkan Jepun dan Bersekutu diterajui Amerika Syarikat dan Britain. Apa lagi dengan sentimen anti Rusia yang masih tebal tidak memungkinkan memoir tulisan tentera Rusia itu diadaptasi di Jepun.
Dersu Uzala Lanjutkan usia Kurosawa
Lebih jauh daripada itu, Dersu Uzala dianggap memanjangkan hayat Kurosawa yang hampir mati selepas melalui zaman kejatuhan dekad 1970-an. Pengarah besar itu teruk menderita tekanan perasaan apabila berada pada zaman yang berbeza. Beliau terbuang dari dunia yang digelumangi lebih setengah abad sebelum itu.
Kemuncak kejatuhannya apabila digugurkan sebagai pengarah filem Tora Tora Tora (1970) oleh sebuah produksi Amerika Syarikat. Tora,Tora,Tora sebuah epik yang diilhamkan daripada peristiwa serangan tentera Jepun ke pangkalan tentera Bersekutu di Pearl Harbour tahun 1941. Tora Tora Tora akhirnya diarahkan bersama oleh Richard Fleischer, Toshiro Masuda dan Kinji Fukasaku.
Itulah kemuncak daripada rentetan peminggiran Kurosawa yang bertolak daripada kegagalan beberapa filemnya mencatatkan keuntungan. Beliau tidak pernah terbayang mengalami pengalaman yang seburuk itu selepas nama dan filemnya mendunia pada dekad 1950-an dan 1960-an.
Hukuman paling berat kepada seorang pengarah yang memberikan seluruh jiwa pada filem adalah terhalang daripada berkarya. Itulah kematian pertama yang amat menyakitkan. Kurosawa yang tidak mampu melawan keadaan itu nekad memilih jalan singkat menamatkan nyawanya.
Bagaimanapun usianya panjang apabila sebuah produksi dari Rusia melamar Kurosawa mengarah Dersu Uzala pada awal 1973. Semua pelakon dan pekerja produksi terdiri daripada karyawan Rusia. Impiannya mengadaptasi memoir itu terlaksana sekalipun bukan dalam budaya Jepun.
Selepas Dersu Uzala, Kurosawa menghasilkan Kagemusha (1980), Ran (1985), Dream (1990), Rhapsody in August (1991) dan Madadayo (1993). Kurosawa meninggal dunia pada 6 September 1998 pada usia 88 tahun.
Nota: Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal Seni Malaya. Boleh baca di pautan di bawah ini.
https://senimalaya.com/retrospektif-dersu-uzala-selepas-setengah-abad/