
Oleh Ku Seman Ku Hussain
SAYA menonton filem In The Mood For Love arahan Wong Kar Wai tahun 2000 – 25 tahun lalu ketika titik di garis masa melintas abad ke 21. Filem ini antara karya unik yang boleh dilihat daripada dua sudut yang berbeza – kisah cinta dan reaksi terhadap landskap politik.
Filem ini dihasilkan pada 1998 ketika landskap politik bergolak dengan pemulangan Hong Kong kepada China pada 1 Julai 1997. Hal yang sedemikian amat mempengaruhi karyawan filem, salah seorang daripadanya adalah Wong Kar Wai.
Selepas 150 tahun Hong Kong menjadi tanah jajahan British, dipulangkan kepada China telah mencetuskan perubahan landskap politik, sosial, budaya malah daripada kapitalisme kepada komunisme.
Pada sisi pertama, In The Mood For Love amat berjaya sebagai filem bertemakan cinta yang digarap dengan pendekatan berbeza – baik di segi tema dan juga sinematik.
Ketika banyak filem lainnya, tidak terkecuali karya dari negara ini yang menyapu lapisan paling atas, In The Mood For Love menjadi karya sinematik yang lebih terancang dan mendalam.
Dialog ikonik, “Kalau ada tiket ekstra adakah saya hendak dibawa bersama?” (diucap dalam dialek Kantonis yang diberi sarikata bahasa Inggeris) juga menjadi fenomena. Dialog itu diucapkan dengan perlahan dan lembut oleh Su Li (lakonan Maggie Cheung) kepada Chow (Tony Leung).
Dialog ini boleh difahami dengan berbagai-bagai tafsiran, tidak sahaja daripada pada sudut cinta, malah ungkapan penuh perlambangan yang berkaitan dengan kedudukan Hong Kong pada abad ke 21. Banyak juga karyawan filem Hong Kong telah berhijrah ke beberapa negara di Eropah untuk mencari ladang berkarya yang baharu.
Pada sisi kedua, filem ini dilihat sebagai reaksi seorang karyawan filem tentang peristiwa yang melibatkan masa depan rakyat seluruhnya. Sistem dan dasar komunis China yang tidak terbuka (ketika itu) adalah satu kejutan budaya yang bukan kecil.
Satu negara dua sistem
China memberikan status ‘satu negara dua sistem’ yang antara lain melangsungkan keadaan seperti sebelum 1997 – dasar kapitalis dan menikmati keterbukaan yang lebih berbanding rakyat di tanah besar. Bagaimanapun status itu hanya 50 tahun selepas 1997. Selepas itu nasib Hong Kong sepenuhnya ditentukan oleh China.
Peristiwa itu melampaui perubahan landskap politik dan diplomatik. Malah hal itu juga mencetuskan isu psikologi, budaya dan sosial yang besar. Hal yang demikian mencetuskan keadaan masa depan Hong Kong yang samar-samar.

Wong Kar Wai mengalirkan perasaan dan pemikiran mengenai pulangnya Hong Kong kepada China secara tersirat dalam filem yang dibaluti warna percintaan. Maka penonton yang melihat In The Mood For Love sebagai filem cinta boleh menikmati dengan sepenuhnya.
Begitu juga kepada penonton yang mahu anjak selangkah ke depan melihat keadaan Hong Kong sebagai subjek yang membangkitkan kerinduan sekaligus kebimbangan.
Dua watak utama filem ini, Su Li dan Chow hidup dalam ruang fizikal yang sempit dan perasaan yang terkepung. Kedua-duanya memendam perasaan yang terhalang oleh konvensyen sosial. Kalau melihat pada sisi yang kedua, hal itu melampaui kisah cinta tidak kesampaian dan tidak terungkap.
Masa yang sama hal itu juga boleh difahami sebagai keadaan Hong Kong sendiri – sebuah kota metropolitan yang menyimpan keinginan untuk bangkit, tetapi tidak mempunyai kuasa menentukan masa depan.
Supaya lebih memahami keterkaitan In The Mood For Love dengan peristiwa 1997, disaran menonton filem 2046 juga arahan Wong Kar Wai yang diterbitkan tahun 2004. Filem yang dianggap sekuel tidak rasmi In The Mood For Love, tetapi lebih eksperimental dan futuristik sifatnya. Tahun 2046 adalah setahun sebelum berakhirnya status ‘satu negara dua sistem.’
Filem bercorak politik
Sekalipun bukan sebuah filem bercorak politik, tetapi tetap memberikan cerminan yang dalam mengenai realiti politik . Wong Kar Wai tidak menyentuh hal yang berkaitan dasar tetapi menyusur secara mendalam daripada sudut psikologi rakyat.
Menerusi In The Mood For Love dan 2046 kita dapat melihat kembalinya Hong Kong kepada China mewujudkan rasa kekosongan dan kerinduan yang tidak dapat diungkap dengan kata. Perihal kerinduan dan kekosongan itu juga dapat dirasakan dengan jelas sekiranya In The Mood For Love dilihat sebagai sebuah filem percintaan.
In The Mood For Love adalah eksplorasi tentang cinta dan harapan yang tidak terucap. Semuanya berakhir bagai aroma parfum yang bertebaran di udara – hilang dan yang tinggal hanya gugusan kenangan. Filem ini tidak menawarkan jawapan yang mudah atau menghamparkan penutup yang manis.

Berlatarkan Hong Kong tahun 1960-an, In The Mood For Love mengangkat persoalan suasana perasaan dua watak utama, Chow dan Su Li yang tinggal berjiran. Kedua-dua mereka dikhianati oleh pasangan yang menjalin hubungan gelap dan penuh rahsia.
Bagaimanapun rahsia itu tersingkap satu demi satu. Chow menyedari hal itu apabila isterinya mempunyai beg tangan mewah yang hanya ada di luar negara dan sama seperti beg milik Su Li. Sementara Su Li ingin tahu perihal tali leher suaminya sama dengan Chow. Beg tangan dan tali leher telah membuka hubungan gelap suami Su Li dengan isteri Chow.
Wong Kar Wai memberikan pendekatan yang berbeza, tidak ada ratap tangis atau konfrontasi fizikal. In The Mood Fpr Love terus hening. Keberadaan dua watak yang melakukan pengkhianatan itu hanya ditandai dengan suara yang samar-samar di sebalik daun pintu. Itu pun hanya dua atau tiga kali dan singkat pula.
Titik mula dikhianati
Su Li dan Chow ‘mengulang lakon’ untuk menjejak detik-detik yang dipercayai menjadi titik mula mereka dikhianati. Pertemuan itu berkembang menjadi hubungan yang mendalam dan cinta pun datang tanpa isyarat dan syarat. Sekalipun begitu kedua-duanya sudah berjanji – keburukan tidak dibalas dengan keburukan yang baharu.
Wong Kar Wai menggerakkan naratif selangkah di depan – menyusuri perihal hati yang terluka dan dilema cinta datang tanpa diduga serta berdepan konvensyen sosial.
Selepas kali pertama menonton pada tahun 2000 In The Mood for Love sentiasa mengusik saya, sama ada sebagai filem bercitra politik atau percintaan. Selepas 25 tahun saya menziarah semula filem itu di platform pengstriman MUBI.
Cuma yang berbeza adalah tahap kedalaman saya ‘membaca’ filem ini suatu waktu dulu. Kali ini saya menemukan lapis-lapis naratif yang dulunya terlindung disebabkan keterbatasan upaya dalam membaca tanda-tanda (semiotik).
Sebelum In The Mood For Love, Wong Kar Wai menghasilkan beberapa filem antaranya Days of Being Wild (1990), Chungking Express (1994), Fallen Angels (1995), Happy Together (1997) dan filem 2046.
Kehebatan Wong Kar Wai adalah keupayaan menyusun lapis-lapis naratif pada visual (sinematografi), bunyi (muzik) dan bahasa tubuh watak-watak yang dibina dengan amat berhati-hati. Pelakon yang serasi dengannya seperti Tony Leung dan Maggie Cheung menjadi tunggak penting dan mereka tidak bertenggek pada baris-baris dialog. Mereka berlakon dengan seluruh indera.
Disebabkan hal itu, kalau dipadamkan semua dialog sekalipun, In The Mood For Love tetap membawa suasana perasaan yang sama. Tetap boleh difahami dan dirasakan perasaan dalamnya kerana setiap shot, bingkai (framing), cahaya malah tetes hujan juga menjadi sebahagian daripada naratif.
Wong Kar Wai menciptakan sebuah dunia yang kaya dengan suasana yang mengocak perasaan. Kita tidak sahaja menonton tetapi turut menghuni dan bernafas dalam bingkai yang ketat (tight shot). Penonton dibawa mengintai dari jendela, di sebalik daun pintu atau di tengah-tengah keriuhan untuk menghuni suasana perasaan yang hening.
Cinta tidak terungkap
Tony Leung dan Maggie Cheung menyampaikan ekspresi halus mengambarkan perasaan cinta yang tidak terungkap. Pergolakan dalam diri terpancar pada setiap ruang yang dilewati – pada dinding yang kusam menggelupas atau lorong apartmen yang usang dan sempit.
Tony Leung membina watak dengan bahasa tubuh. Dia menyampaikan perasaan bergolak dengan gerak yang kecil – matanya yang penuh renungan, kerutan di dahi, gaya menyalakan rokok dan mengetuk jari di meja.
Maggie Cheung memperkukuhkan watak dengan bahasa tubuh – cara memegang beg tangan, menunduk ketika selisih Chow atau berjalan perlahan di lorong sempit, malah sering melihat di kejauhan dengan pandangan yang kosong. Sekalipun gerak itu kecil tetapi kesannya besar kepada watak.
Dialog dalam In The Mood For Love amat minimalis. Ada kalanya hanya bibir yang bergetar, kata-kata tertinggal jauh di keroongkong. Banyak juga seolah-olah berbisik dengan kata-kata yang samar. Kesempatan Chow dan Su Li bercakap juga bagai disukat-sukat dan di tempat yang asing – di balik pintu yang separuh terbuka, di sebalik jeriji dan dalam teksi.

Sinematografer Christopher Doyle amat memahami gaya visual kegemaran Wong Kar Wai. Penggunaan teknik gerak perlahan (slow motion) ketika Su Li berjalan menyusuri lorong, menuruni tangga atau membeli mi lebih membawa maksud watak yang terperangkap dengan masa (zaman).
Realiti sosial pada zaman itu yang memerangkap watak daripada menzahirkan perasaan dengan bebas. Gerak perlahan adalah memperlahankan waktu untuk menemukan satu ungkapan. Wong Kar War amat gemar dengan keadaan yang samar-samar dan penuh ketidakpastian.
Banyak adegan dalaman hanya diterangi sumber cahaya tunggal yang redup untuk mencipta bayang yang panjang, dramatik dan sering melindungi separuh daripada wajah. Cahaya itu menyampaikan makna tentang suasana perasaan yang penuh rahsia dan setengah terungkap.
Dengan komposisi bingkai yang ketat, gerak kamera menangkap cahaya dan bayang dengan cukup dramatik. Bingkai itu secara visual adalah perasaan watak yang terperangkap dalam perkahwinan yang tidak bahagia, terhalang oleh konvensyen sosial dan terpenjara dalam perasaan sendiri.
Naratif kerinduan
Muzik juga berperanan sebagai naratif yang membangkitkan suasana perasaan dalam filem ini. Muzik ciptaan Shigeru Umebayashi ternyata sangat mendominasi perasaan. Apa lagi dengan gesekan biola solo yang mendayu-dayu dan berulang-ulang dan disambut lagu Latin nyanyian Nat King Cole, Quizas Quizas Quizas yang sayup-sayup. Semua hal itu mencipta naratif kerinduan dan ketidakpastian.
Keseluruhannya In The Mood For Love sebuah filem yang amat dekat dengan jiwa Wong Kar Wai yang dilahirkan si Shanghai, China tetapi membesar di Hong Kong pada dekad 1960-an. Malah Hong Kong amat dekat dengan zaman kanak-kanaknya.
Menerusi filem ini Wong Kar Wai mengutip dan menampal kembali perca-perca kenangan pada layar secara cermat, amat tertib dan penuh jiwa. Kita ikut terasa sesak dan lemas menyusur lorong sempit, tangga berliku dan warung mi waktu malam disinari lampu yang redup. Homg Kong dekad 1960-an adalah sebahagian dunianya yang hilang. Pada 1997 dia sekali lagi kehilangan Hong Kongnya yang dulu.
NOTA: Tulisan ini kali pertama disiarkan di portal Seni Malaya 2 Ogos 2025. Boleh baca di pautan di bawah ini:
https://senimalaya.com/melihat-dua-sisi-in-the-mood-for-love-arahan-wong-kar-wai/