Oleh: Ku Seman Ku Hussain (5.04 pm 24 Jan 2019)

Dr Mujahid Yusof (Gambar NST)

Sehingga kini Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof tidak memberikan jawapan yang konkrit, tegas lagi menyakinkan  dalam isu salib gergasi di Grace Residence di Pulau Pinang. Mujahid  kelihatan cuba ‘menari’  dan ‘bersilat’ daripada membuat penegasan bahawa tindakan memaparkan imej salib itu suatu yang melampau.

Sebaliknya Dr Mujahid   cuba mewaraskan persoalan salib dengan hujah,   kalau kita mendepa kedua-dua tangan juga kelihatan seperti salib.  Jawapan ini kelihatan mewajarkan pihak yang memaparkan imej salib.  

Tetapi berbeza dengan agamawan Kristian,  Jason Leong  misalnya yang dengan tegas menganggap memaparkan imej salib  gergasi itu perbuatan melampau  dan tidak perlu sama sekali.  Beliau yang juga Penasihat Association of NextGen Christian of Malaysia (ANCOM), menambah,  “Di Malaysia, kami memang tahu sensitiviti bangsa dan kaum yang lain. Kami  peka  dan kami tidak akan membuat perkara sedemikian.”

Jason Leong

Penegasan Jason Leong memperlihatkan beliau  antara yang lebih memahami adab susila dalam negara pelbagai agama di mana Islam diangkat sebagai agama Persekutuan.  Beliau memelihara kesucian agamanya dengan  menolak perkara-perkara melampau yang boleh mendatangkan rasa kurang senang terhadap penganut agama lain.

Jason Leong seterusnya menekankan,  “Perlukah saya membuat salib sedemikian besar? Kalau tak perlu dan tak membantu iman saya menjadi lebih teguh, maka tidak perlulah.” Beliau berkata demikian dalam program Sila Duduk Jangan Lari di TV AlHijrah baru-baru ini.

Sensitif sangatkah penegasan Dr Mujahid misalnya berkata, “Ini sudah melampau” kepada pihak yang sengaja mengadakan imej salib gergasi itu? Memang melampau pun dan ini juga kurang disenangi  agamawan Kristian sendiri. Peliknya itu tidak keluar dari mulut birokrat agama Islam.

Kenapa birokrat agama begitu apologetik hingga terpaksa mewaraskan dengan imej depa tangan supaya umat Islam menerima imej salib gergasi itu suatu yang biasa,  sedangkan agamawan Kristian sendiri  mengatakan tidak perlu kerana faktor sensitiviti agama?

Persoalannya apakah birokrat agama tidak sentitif dan dia hilang  prasangka terhadap sesuatu yang bermula dengan imej kemudian membawa makna penguasaan di sesuatu tempat.  Mempunyai prasangka dan kecurigaan terhadap usaha ‘memacak’ panji Kristian  di Pulau Pinang bukan paranoid,  jauh sekali tindakan remeh.

Kalau benar sesetengah orang Islam paranoid, tidak adalah gereja  Kristian dan kuil  Hindu yang berselerak  di sebuah negara Islam ini.  Tidaklah mereka pergi ke negara bukan Islam yang  lebih banyak salibnya.  Tetapi dalam konteks Malaysia,  salib gergasi itu membawa makna yang lain. Belajarlah anjakan makna.

Kita semua yang waras sangat setuju dengan dasar kerajaan yang menekankan keharmonian  dalam berbeza agama.  Orang Islam sangat menjaga tatatertib itu. Tetapi penegasan keharmonian itu tidak bolehlah  ditujukan kepada orang Islam sahaja.  Pihak yang memaparkan imej salib itu juga  perlu sensitif dalam konteks keharmonian  dalam doktrin Islam Rahmatan Lil Alamin.

Salib gergasi di Grace Residence di Pulau Pinang

Kecurigaan umat Islam tentang agenda Kristianisasi memang kena pada tempatnya.  Malah kecurigaan seperti itu sangat dituntut dalam keadaan  sesetengah birokrat agama Islam apologetik dalam isu yang menyentuh Islam.  Mudah mengalah dan tidak berani bertegas demi menjaga hati pihak tertentu.

Ini bukan paranoid. Ini satu kecurigaan terhadap tujuan sebenar salib gergasi itu direka. Malah ada jawapan mengatakan imej itu bukan salib tetapi aksara Cina. Ini juga sangat melampau kerana Pulau Pinang bukan Hong Kong. Pulau Pinang sebahagian dari Malaysia.   Kenapa menggunakan aksara Cina di Malaysia?  Bukankah ini biadab namanya?

Dalam konteks  kejadian ini,  salib itu telah berubah maknanya.  Ia bukan lagi salib tetapi  sebagai syiar agama Kristian.  Salib bermakna panji yang menandakan sesuatu kawasan atau wilayah itu telah dikuasai.  Maka penentangan umat Islam terhadap salib itu kerana ia membawa lambang penegakan syiar agama Kristian.  Ini  boleh saja mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

Oleh demikian birokrat agama  janganlah memperemehkan penentangan terhadap salib gergasi ini kononnya  ada orang Islam takut pada huruf ‘t’  atau bingkai tingkap yang ada palang seperti salib. Mereka bukan paranoid tahap gila tetapi curiga dengan agenda salib di bangunan yang saiznya sengaja dibesarkan.

Kalau ditelaah kembali sejarah peperangan  tentera Islam untuk menawan kota terkebal Kristian,  Constantinnople dulu,  panglima Islam Ulubath Hassan sanggup mengorbankan dirinya bagi memacak panji   yang berupa bendera Ottoman  di puncak kota itu.  Berjaya memacak panji bermakna kawasan itu sudah ditawan.

Oleh kerana itu salib gergasi itu  lebih merupakan isyarat  kepada Evangelis seluruh dunia bahawa  Kristian sudah berjaya memacakkan bendera pasukannya di negara Islam.  Memanglah ada sesetengah sarjana pengajian Islam dari luar negara, Jordan umpamanya menganggap  salib gergasi itu tidak menjejaskan akidah  penganut Islam.  

Hakikatnya tidak ada siapa yang mengatakan salib itu menggugat akidah Islam.  Mereka ini selepas balik  ke tanah air, bukan semua menjadi sarjana Islam tulen tetapi ada juga yang melencong menjadi  liberalis. Pandangan puak-puak begini tidak boleh dipegang walaupun mereka ada lesen (ijazah sarjana) untuk bercakap tentang Islam.

Birokrat agama  mesti melihat isu ini melampaui keharmonian kaum semata-mata. Ini kerana  yang mengocak keharmonian kaum ialah pihak yang memperagakan salib sebesar itu yang boleh dilihat dari jauh.  Bukannya kepada pihak yang mempersoalkan  apakah tujuannya salib itu. 

Kita tidak mendesak birokrat agama berat sebelah kepada Islam tetapi perlu memberi keadilan terhadap perkara-perkara yang  menjurus pada pemaparan imej agama lain yang melampau.  Orang Islam yang waras tidak membuat bising  terhadap wujudnya salib malah gereja sekali pun.  Tetapi salib gergasi ini bukan di gereja.  Apakah ertinya itu?

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *