Birth of Nation

Oleh: Ku Seman Ku Hussain (11.13 am 3 Feb 2019)

Kalau D.W Griffith (1875-1948) masih hidup tentunya dia mengakui filem jauh lebih pantas berkembang daripada yang diramalkan satu abad lalu. Griffith adalah pelopor teknik suntingan dan merupakan karyawan besar dalam sejarah filem Amerika. Dia   digelar bapa seni sinematografi.

Griffith menghasilkan filem Birth of Nation (1915) yang  diadaptasi daripada novel The Clansman karya Thomas Dixon Jr (1905). Filem itu  mendapat sambutan hebat, tetapi pada masa yang sama sangat kontroversial kerana  pemaparan isu penghambaan, Ku Klux Klan dan perkauman di Amerika.  

Dalam majalah Collier edisi 3 Mei 1924,  menerusi satu rencana tulisannya Griffith telah meramalkan bahawa  peranan filem pada  100 tahun akan datang sangat besar. Filem bukan sahaja menjengah teknik dan teknologi yang baru malah sangat berpengaruh. Rencana ini disiarkan semula dalam buku Film Makers On Film Making.

D.W Griffith

Griffith percaya pada tahun 2024 filem menjadi medium penting untuk membina nilai-nilai murni masyarakat di dunia. Filem, kata Griffith lagi, akan menjengah satu era teknologi dan karyawan filem banyak dilahirkan dari sekolah-sekolah filem yang tersohor di dunia.  

Griffith, menerusi rencana itu meramalkan era emas filem bisu ketika itu akan menjadi sejarah apabila teknologi yang lebih canggih ditemui dan mampu mengadun visual dan suara.  Tetapi sebelum Griffith meninggal dunia tahun 1948,  filem bisu sudah menjadi sejarah apabila filem bersuara muncul dan tidak lama selepas itu era filem warna.

Ternyata banyak ramalan Griffith menjadi kenyataan seperti teknologi canggih dalam pembikinan filem serta pengaruh filem yang cukup luar biasa masa kini. Sepuluh tahun lalu, pastinya tidak banyak yang menjangka studio filem terbesar dan tercanggih di dunia  tidak lagi memerlukan seniman seperti Griffith tetapi jurutera komputer. 

Filem telah lama berubah dari bahan asalnya seloluid kepada digital.  Walaupun ada yang masih menggunakan seloluid tetapi teknologi digital telah menjadi tumpuan industri.  Seloluid barang kali sekadar mengekalkan bentuk filem yang tradisional tetapi penciptaan imej dan bunyi banyak ditentukan oleh teknologi digital. 

Advertisement

Filem menemi penonton dalam bentuk baru dengan penembusan Internet yang tinggi di sebahagian besar negara di dunia.  Walaupun panggung masih wujud tetapi  saluran yang menyediakan  beribu filem seperti Netflix menjadi saingan kepada panggung dan juga stesen televisyen. Bauaran pula pada relatifnya rendah berbanding di panggung.

Griffith pasti terkejut kalau menyaksikan  filem-filem yang diniba dengan kesan khas oleh teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) seperti Independent Day, Twister atau Toys Story sebelum 2024. Filem hari ini boleh menggambarkan apa sahaja yang tidak pernah dibayangkan dalam bentuk yang nyata.

Dan seperkara lagi yang tidak pernah dibayangkan oleh Griffith ialah wujud kilang filem di Hollywood yang menghidangkan menu sosial kepada masyarakat seluruh dunia. Filem Hollywood telah mempengaruhi cara berfikir dan berbudaya masyarakat di seluruh dunia dengan munculnya industri kandungan kreatif yang menjana berbilion ringgit.

Tetapi selepas menyaksikan Perang Dunia Kedua yang melibatkan Amerika di mana filem telah menjadi alat penting Amerika berperang dengan negara-negara dunia ketiga,  nilai murni yang diramalkan tidak menjadi kenyataan. Menerusi kilang filem di Hollywood, filem Amerika tidak lagi sejujur Birth of Nation atau Broken Blossom yang dihasilkan oleh Griffith. 

Griffith juga mungkin sedih apabila Hollywood  bukan lagi tempat seniman berkarya. Hollywood penuh dengan jurutera CGI  dan jengkaut yang dengan rakus mengaut kekayaan daripada filem. Bagi Hollywood filem adalah komiditi industri. Oleh kerana itu filem-filem yang hebat  kini banyak berada di luar Amerika.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *