Florence Nightingale pengasas bidang kejururawatan.

OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (6.15 am 13 Mei 2019)

PASTI tidak banyak  dalam kalangan kita sedar atau perasan bahawa pada 12 Mei setiap tahun adalah hari memperingati sumbangan 11 juta orang yang bergelumang dalam kerjaya kejururawatan. Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei kerap berlalu tanpa banyak yang memberikan penghargaan terhadap kerjaya yang mulia ini. Hari Jururawat Sedunia selalu ditenggelamkan oleh sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Hari Ibu pada Ahad minggu kedua setiap Mei dan Hari Guru pada 16 Mei.

Hari Jururawat Sedunia terselit di tengah-tengahnya. Kerjaya jururawat bagi sebahagiandaripada  kita adalah sama dengan kerjaya lain. Kita selalu menganggap mereka bekerja makan gaji. Kita jarang melihat kerjaya ini melampaui garis biasa daripada sudut pandangan umum. Sebenarnya jururawat bukan satu kerjaya biasa.

Dalam lain perkataan masyarakat jarang diasuh untuk melihat kerjaya-kerjaya yang melampaui sekadar makan gaji seperti ini.  Selain makan gaji kerjaya ini memberikan khidmat kemanusiaan yang bukan kecil nilainya. Khidmat menjaga orang yang sakit.

Gambar hiasan (Astro Awani Online)

Bukan semua orang boleh menjaga dan merawat orang sakit yang pelbagai ragam. Hanya yang mempunyai minat dan bersedia bekerja dalam tekanan saja yang mampu melakukan kerja-kerja ini. Kerana itu kerja yang dilakukan oleh jururawat tidak boleh diambil alih oleh robot. Ini membuktikan antara jururawat dengan pesakit harus wujud sentuhan kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada penawarnya.

Sama sedar atau tidak, kita sebenarnya  terhutang budi kepada mereka yang bergelar jururawat. Kalau bukan kita sendiri yang menjadi penghuni katil hospital, adik-beradik atau saudara-mara tentu pernah menjadi tetamu jururawat di hospital.

Tidak semua orang mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa yang perlu dimiliki oleh seorang jururawat. Malah tidak semua orang juga yang mampu mempamerkan wajah dan kata-kata yang sentiasa menjanjikan masa depan kepada pesakit biar seteruk mana sekalipun keadaan mereka. 

Ubat yang dibekalkan setiap pagi dan petang serta kaedah rawatan hanya sebahagian daripada proses merawat orang sakit. Selebihnya penawar itu ada kepada setiap jururawat yang sentiasa memberikan harapan bahawa esok masih ada kepada semua orang.

Hari Jururawat Sedunia adalah memperingati pengasas kerjaya kejururawatan, Lady Florence Nightingale (Lady of the Lamp) sejak awal abad ke-19 lalu. Tarikh 12 Mei adalah hari lahir Florence Nightingale. Suatu yang perlu kita mengakui ialah pendekatan penjagaan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa penglibatan jururawat.

Menurut statistik  Majlis Jururawat Antarabangsa, 80 peratus perkhidmatan kesihatan peringkat asas dilakukan oleh jururawat. Pada tahun lima tahun lalu Kementerian Kesihatan  mengisi 90,961 daripada 111,812 jawatan. Sebanyak 42,090 daripada jawatan yang diisi itu adalah jururawat. 

Statistik juga menunjukkan negara ini mempunyai lebih kurang 43,969 jururawat termasuk 8,700 yang berkhidmat di sektor swasta. Ini menunjukkan 43,969 jururawat memberi khidmat kepada 27 juta rakyat negara ini. Dalam kata lain nisbahnya ialah seorang jururawat untuk 500 orang. Nisbah ini sebenarnya satu perkembangan menarik kalau dibandingkan statistik tahun 1999 iaitu seorang jururawat untuk 1,055 orang.

Ini menunjukkan pertambahan jumlah jururawat antara faktor penting  memastikan pendekatan dan peningkatan kesedaran tentang kesihatan. Bayangkan daripada 1,055 orang menjadi 500 orang bagi seorang jururawat.

Nisbah ini juga menunjukkan kerjaya jururawat adalah satu yang penting kepada negara untuk memastikan tahap kesihatan rakyat berada pada tahap yang sewajarnya. Malah kerjaya ini bukan tersisih dan jururawat bukan pilihan terakhir setelah gagal memasuki kerjaya lain.

Mereka yang memilih untuk menjadi jururawat bukan kerana tidak berjaya dalam kerjaya lain. Dengan tahap akademik, mereka boleh memilih kerjaya lain yang tidak begitu mencabar dan tidak perlu bersusah payah menjaga orang sakit. Sebaliknya pilihan sebagai jururawat dilihat sebagai satu kesedaran terhadap keperluan kepada manusia lain.

Kerana itu kita harus bersyukur kerana ada yang memilih kerjaya yang unik ini dan menjadi perantara yang cukup humanis antara peralatan rawaan yang canggih, kepakaran para doktor dan pesakit terutama yang kronik. 

Cabaran jururawat adalah masa. Mereka tidak boleh memberi alasan untuk berlengah sesaat pun demi nyawa pesakit. Ini berbeza dengan kerjaya lain dalam sektor awam yang boleh menangguhkan kerja untuk beberapa jam, hari atau minggu berikutnya.

Jururawat harus bertindak pantas, teratur dan tidak panik berdepan keadaan pesakit yang genting. Kita juga wajar berbangga kerana mempunyai jururawat yang terlatih dalam bidang kejururawatan. 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *