Khoo Kay Kim bersama-sama isteri, Rathi dan anak-anak; Eddin, Rubin dan Mavin. Gambar kanan perkahwinan Khoo Kay Kim dan Rathi di Ipoh tahun 1966. (Gambar: Koleksi Khoo Kay Kim)

OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN

Sejarawan terhormat Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim  telah pergi. Beliau pergi meninggalkan kita dalam keadaan celaru di mana sejarah ditafsirkan mengikut lenggok ethnopolitic. Sejarah negara bangsa telah menjadi perkakas   puak dan etnik  membuat tafsiran menjurus kepentingan politik.

Demi kepentingan ethnopolitic jugalah sejarah ‘dibaca’ dan ditafsirkan sesuka hati. Ini bertujuan menghalalkan sejarah tafsiran baru yang diangkat sebagai asas sejarah tanah air. Tafsiran baru yang menjurus pada kepuakan dan kaum ini mempunyai agenda menafikan hak orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Khoo Kay Kim meninggalkan kita dengan penuh maruah sebagai sejarawan ulung. Beliau berbakti kepada negara memahamkan semua warga terhadap sejarah negara bangsa.  Malah  sentiasa berpegang pada Perlembagaan tanpa ada rasa takut dan condong kepada mana-mana pihak. 

Kerana berpegang teguh pada fakta sejarah dan Perlembagaan, beliau dengan tegas tidak setuju misalnya wujudnya sekolah vernakular  selepas merdeka dan UEC. Ironinya ada parti politik kaum tertentu meletakkan perkara ini sebagai antara matlamat perjuangan politik mereka.

Khoo Kay Kim bersama-sama isteri, Rathi dan anaknya Eddin. (Gambar koleksi Khoo Kay Kim)

Khoo Kay Kim bukan orang politik tetapi beliau memahami permainan dalam dunia politik.  Sejarah mempunyai nilai komersial apabila diberikan tafsiran baru yang selari dengan kepentingan politik  pihak tertentu. Inilah hakikat yang kita hadapi,  sejarah bukan lagi difahami dalam keranga pembinaan negara bangsa. Sejarah menjadi alat dan semasa hayatnya Khoo Kay Kim kerap menyanggahnya.

Beliau sangat keras menentang usaha-usaha menulis semula sejarah mengikut kepentingan ethnopolitic ini.  Kerana ketegasan itu sesetengah pihak tidak suka kepada beliau.  Malah dalam kalangan kaum Cina yang tebal sifat caivinis dan rasis menganggap Khoo Kay Kim sebagai pembelot.

Bagi Khoo Kay Kim tidak ada sejarah alternatif.  Sejarah adalah sejarah yang  asas dan faktanya tidak berubah sampai bila-bila.  Maka pemahaman tentang sejarah  mesti berpaksikan kepada asas-asas pembina negara ini.  

Oleh hal yang demikian bukanlah suatu yang luar biasa sejarawan seperti beliau dianggap  musuh kepada kaum tertentu yang mahu mencapai matlamat politik  melalui penafsiran semula sejarah.  Kepada yang buta sejarah,  mereka menerima sahaja sejarah yang ‘dibaca’ mengikut laras politik perkauman negara ini.

Khoo Kay Kim menyimpan banyak akhbar lama yang menjadi sebahagian bahan penyelidikan dan kajian beliau (Gambar koleksi Khoo Kay Kim)
Advertisement

Pemergian beliau pada 28 Mei lalu pada usia 82 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) adalah tanda kehilangan yang besar kepada semua, tanpa mengira kaum, agama dan budaya.  Ketegasan mempertahankan fakta sejarah telah membawa beliau menyeberang batas kaum dan fahaman politik.

Kehilangan tokoh ini tentunya sangat meninggalkan kesan dalam usaha untuk membetulkan penyelewengan yang dibuat oleh pihak tertentu.  Dalam asakan kaum tertentu yang  menafikan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,   Khoo Kay Kim sering tampil memberi pencerahan.

Maruahnya yang tinggi sebagai sejarawah tidak mampu dicemarkan oleh mereka yang berkepentingan terutama apabila beliau berkata benar mengenai kedudukan dan hak orang Melayu di negara ini.  

Daripada kerja-kerja pengkajian dan penyelidikan sejarah,  Khoo Kay Kim kelihatan selari dengan prinsip dan pendekatan sarjana dan sejarawah Jerman,  Leopold von Ranke.  Pendekatan historiography yang dipelopori Ranke membawa  Khoo Kay Kim melihat sejarah secara objektif,  berpaksikan fakta dan sama sekali tidak terasuk dengan pengaruh ethnopolitic.

Khoo Kay Kim sejarawan terhormat

Ranke telah memantapkan pendekatan historiography  hingga berjaya membentuk satu disiplin dalam pengkajian sejarah. Khoo Kay Kim adalah Leopold von Ranke dalam konteks negara ini.  Maka tidak hairanlah kalau beliau menjadi tokoh kebanggaan semua bangsa.

Kita semua sangat terhutang kepada beliau.  Pencerahan tentang sejarah sebuah negara bangsa diungkap dengan penuh iltizam. Maka kehilangan Khoo Kay Kim tidak sahaja dirasakan oleh isteri, anak-anak dan sanak saudara.  Kehilangan turut dirasakan oleh mereka yang sentiasa berusaha untuk celik melihat, membaca dan memahami sejarah.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *