OLEH: ROZAIS AL-ANAMY

NEGARA yang baik adalah umpama sebuah dadu, ia indah dan sejahtera pada setiap sisinya. Keindahan setiap sisi negara ini digambarkan dalam novel Baldatun Thoiyyibatun yang diangkat menerima hadiah pertama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) tahun 2010-2011.

Pengarang, Pelita Dalam Kaca membina sebuah negara impian bercirikan Islam di sebuah negara Islam dalam alam fikir pembaca melalui kewujudan Kota Cahaya yang berteraskan nilai-nilai sejagat iaitu keadilan, ketertiban, kebersihan dan kebenaran Islam. 

Kota Cahaya digambar sebagai sebuah negara yang menepati ciri-ciri yang mencerminkan kesejahteraan, keamanan dan alam sekitar yang terpelihara. Alam taman menjadikan Kota Cahaya tumpuan seluruh dunia, bukan kerana pesat sebagai pusat dagang tetapi kota idaman manusia yang mencari gaya hidup Islam.

Masjid Putra menjadi ikon Putrajaya.

‘Baldatun thoiyyibatun’ adalah istilah bahasa Arab yang terjemahan longgarnya membawa maksud ‘negara yang aman sejahtera’.  Aman dan sejahtera dalam konteks istilah asal ini ialah mendokong prinsip-prinsip Islamnya. Pengarang memberikan penekanan bahawa Islam itu penuh dengan keindahan, kesejahteraan dan keamanan.

Kelihatan model Kota Cahaya dalam novel ini selari dengan Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran sejak 1999. Putrajaya sebuah bandar terancang yang dibangun bagi menempatkan pejabat-pejabat kerajaan Persekutuan yang sebelum ini berada di Kuala Lumpur.  Pada masa sama Kuala Lumpur terus kekal sebagai ibu negara di mana terdapat Istana Negara, pejabat-pejabat kedutaan asing dan pusat dagang.

Bandar raya Kuala Lumpur wujud secara semula jadi di kiri dan kanan Sungai Kelang dan Sungai Gombak disebabkan kegiatan melombong yang kemudian menjadi petempatan orang Melayu dan Cina yang bekerja di situ.  Secara geografinya, pada zaman awal sungai menjadi laluan perhubung utama untuk membawa hasil bumi ke pelabuhan di Kelang.

Ia berbeza dengan Putrajaya yang dibangunkan secara terancang sejak awal di sebuah kawasan bukan petempatan manusia.  Putrajaya boleh diibarat sebuah karya lanskap terbesar dengan kombinasi taman, hutan, bangunan dan tasik yang memperlihatkan hubungan timbal balik antara tanah dan air. Walaupun kedudukan Putrajaya secara geografinya jauh dari laut tetapi dengan adanya rangkaian beberapa tasik di tengah-tengah bandar ini, air menjadi sebahagian daripada elemen Putrajaya. Dingin dan mendamaikan.

Landskap Putrajaya yang mesra alam sekitar.

Namun lebih dari itu suatu yang menarik tentang Putrajaya ialah gaya hidup Islam diterapkan secara semulajadi, antaranya bebas pusat hiburan.  Di Putrajaya setakat ini tidak ada pusat hiburan seperti di Kuala Lumpur malah tidak ada keperluan kerana warganya mengisi masa dengan kegiatan sosial yang memperkukuhkan kejiranan.

Disebabkan tidak ada pusat hiburan yang sering dikaitkan dengan jenayah dan masalah sosial, kadar jenayah di Putrajaya pada relatifnya rendah.  Tidak ada jenayah besar misalnya yang melibatkan pertelagahan ketua-ketua kumpulan kongsi gelap.  Seseorang berasa masih selamat untuk berada di tengah-tengah Putrajaya waima waktu malam.

Advertisement

Bagaimanapun ada sesetengah pihak menganggap Putrajaya lesu dan ‘mati’ pada waktu malamhanya kerana tidak ada pusat hiburan.  Memang benar, Putrajaya sunyi bagi pemburu kehidupan malam seperti di Kuala Lumpur. Tetapi sebenarnya meriah dengan aktiviti sosial dan kekeluargaan di sekitar tasik terutama di Ayer 8, di Presint 8.

Begitu juga dengan aktiviti agama yang sering diadakan di Masjid Sultan Mizan dan Masjid Putra, sambutannya bukan sahaja daripada warga setempat tetapi juga dari luar Putrajaya. Malah waktu malam di Dataran Putra di depan Masjid Putra dan Seri Perdana riuh-rendah dengan hilai ketawa kanak-kanak bersama keluarga masing-masing. Putrajaya riuh dengan suasana kekeluargaan dan aktiviti sihat.

Putrajaya tidak mengabaikan pelancong hanya kerana tidak mewujudkan pusat hiburan.  Hal ini disebabkan tidak semua pelancong suka pada pusat hiburan. Pelancong yang memilih kehidupan malam boleh menginap di Kuala Lumpur terutama di Jalan P. Ramlee atau Jalan Bukit Bintang.  Di situ menjadi tumpuan pelancong kerana ada arak dan wanita.  Tetapi pelancong yang mahu menikmati kehidupan di bandar yang aman dan sejahtera, mereka lebih senang dengan suasana Putrajaya.

Masjid Putra dari udara.

Pada masa yang sama Putrajaya boleh dianggap bebas daripada sebarang gejala keruntuhan akhlak, pergaulan bebas, pembuangan bayi dan pelbagai masalah sosial lain. Kedamaian waktu malam di Putrajaya bukan sahaja dinikmati oleh orang Islam malah bukan Islam juga dan mereka menjadi sebahagian warga bandar sejahtera ini.

Bagaimanapun suatu yang sangat dibimbangkan ialah sejauh manakah lestarinya peraturan yang melarang penjualan arak dan pusat hiburan di Putrajaya? Anak sungai lagikan berubah, inikan pula Putrajaya. Bagaimanapun, syukur kerana pada 2014 dulu bekas Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat telah memberi jaminan tidak akan meluluskan permohonan pusat hiburan di Putrajaya. Larangan ini wajin dipatuhi oleh siapa sahaja yang menerajui Putrajaya.

* ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis bebas di akhbar dan portal. Tulisan ini disiarkan pertama kali di akhbar Wilayahku. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *