Almarhum Sultan Ahmad Shah (Gambar NST)

Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar  kerap menjadi orang pertama  apabila berlaku sesuatu bencana yang melibatkan rakyat negeri Pahang.  Baginda akan sampai ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir tanpa sebarang protokol.

Banyak lawatan mengejut ke kawasan-kawasan berkenaan tanpa pengetahuan wartawan.  Ada kalanya wartawan mendapat gambar lawatan baginda daripada orang kampung.   Sekalipun baginda antara sultan yang sangat mesra dengan orang media tetapi ada kalanya lawatan tidak diketahui oleh media.

Baginda mengenepikan protokol  seorang sultan  dan sanggup ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan mendapatkan cerita langsung dari mulut rakyat.

Baginda tidak memperagakan kemewahan kepada rakyat malah mebahasakan diri sebagai “saya” apabila keluar berjumpa rakyat. Kehidupan rakyat menjadi keutamaan baginda dan tidak hairanlah baginda  tidak teragak-agak menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.

Sultan Ahmad Shah menjadi Yang Di-Pertuan Agong ketujuh pada 1979 hingga 1984.

Semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan supaya pihak berkenaan melakukan sesuatu mengelakkan masalah yang sama berulang. 

Demikianlah sosok seorang sultan yang sentiasa berada di hati rakyat. Bagaimanapun pagi ini negara dikejutkan dengan kemangkatan baginda pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur selepas beberapa lama gering.  

Pada Januari lalu Almarhum Sultan Ahmad Shah  telah menyerahkan takhta kepada anakandanya,  Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri itu hampir 45 tahun.

Pengumuman  pelantikan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di Pekan  Januari lalu. Tengku Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari.

Almarhum bersama-sama Tengku Abdullah (Gambar The Star)

Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran  Almarhum yang ketika itu  dalam keadaan gering, dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur setelah perbincangan diadakan dalam kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

Almarhum Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.

Diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan pada 24 Oktober 1930, Almarhum  merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.  Almarhum Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944, ketika berusia 14 tahun.

Almarhum  dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975 dan kemudian  dipilih menjadi Yang di Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong,  Almarhum kembali menjadi  Sultan Pahang sehinggalah baginda jarang kelihatan di khalayak umum  kerana gering dan kemudian menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anakandanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah pada 28 Disember 2016.

Dalam bidang akademik,  Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak. Bagaimanapun, pembelajaran Almarhum  terganggu kerana meletusnya Perang Dunia Kedua.  Almarhum mengambil kesempatan  dari Pernag Dunia Kedua itu  mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Apabila Perang Dunia Kedua berakhir,  Almarhum meneruskan pengajian  di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama-sama rakyat biasa di asrama sekolah. Pada 1948,  Almarhum melanjutkan pengajian dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Universiti Oxford.

Almarhum juga berkesempatan menjalani latihan amali di Sidmouth Urban District Council selama tiga tahun. Ketika berusia 35 tahun, Almarhum berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpangkalan di Kem Batu 5, Mentakab, Pahang.

Almarhum mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri iaitu Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella,Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Datuk Shahariah.

Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988,  Almarhum berkahwin dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera Tengku Fahd Mu’adzam Shah.

Jawatan-jawatan lain yang pernah disandang Almarhum termasuk Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) sejak 1 Julai 1983, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1984 hingga 2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002. serta menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2011.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *