TERKINI 8.36 pm 28 Mei 2019
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas, mengesahkan mengarahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, membatalkan pelantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Tommy berkata beliau mengarahkan Zuraida untuk membatalkan pelantikan Syazlin daripada mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) atas empat sebab.
Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikannya kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM sepatutnya hanya mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, manakala sebarang lantikan peguam luar mestilah daripada Peguam Negara atau Pendakwa Raya. – BH Online 28 Mei 2019.
KEMBALI KE ARTIKEL ASAL
OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (kemas kini 4.53 pm 28 Mei 2019)
Tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Tidak ada sebab masakan sesuatu itu boleh berlaku. Demikianlah juga dengan peguam yang mewakili anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Muhd Kassim yang tiba-tiba menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota Bomba itu.
Pelbagai persoalan timbul daripada tindakan ‘tergesa-gesa’ Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Adib. Malah lebih menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai apabila beliau tidak memberikan sebab-sebab berbuat demikian. Peguam menarik diri perkara biasa tetapi yang luar biasanya apabila tidak diberikan sebab tertentu.
Bagaimanapun dari dua portal berita, Free Malaysia Today (FMT) dan Sinar Harian Online kedua-duanya melaporkan perkara yang hampir sama – sumber memberitahu penarikan diri peguam yang mewakili Adib besar disebabkan oleh sepucuk ‘surat’ oleh pihak atasan yang mengarahkan beliau berbuat demikian.
Pada 27 November tahun lalu, Adib ditemui parah dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dan meninggal dunia pada 17 Disember selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
FMT melaporkan, “ The decision by the housing and local government ministry’s lawyer to withdraw from the inquest into the death of fireman Muhammad Adib Mohd Kassim followed a directive from higher up, FMT has learnt.
A source said Syazlin Mansor, the lawyer the ministry appointed to represent the fire department and Adib’s family, received a letter telling her to withdraw from the inquest.
Sementara Sinar Harian Online pula melaporkan, “Tindakan peguam Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor yang menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai ada kaitan dengan sepucuk surat diterimanya. Difahamkan surat tersebut dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkaitan undang-undang.
Adakah ‘pihak atasan’ yang dimaksudkan itu dari Jabatan Peguam Negara? Adakah pelantikan Syazlin menyalahi prosedur? Kalau benar tidak mengikut prosedur kepada pada hari ke 37 prosiding inkues itu baru peguam berkenaan diarahkan menarik diri? Persoalan semakin membesar.
Di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner pada prosiding hari ke 37 Isnin semalam, Syazlin memaklumkan, “Dengan penarikan diri, saya percaya langkah untuk memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, terbatal.”
Sebagai makluman, saksi ke 29 ini (Dr Shahrom Abd Wahid) ketika prosiding hari ke 24 memberitahu, tujuh tulang rusuk Adib yang patah kemungkinan besar tidak disedari sepanjang anggota bomba itu menerima rawatan selepas parah dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov tahun lalu.
Dr Shahrom adalah saksi yang membantah teori dua ahli pakar lain bahawa Adib mati akibat kecederaan jatuh dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Saya rasa, tiada sesiapa pun yang melihat belakang (badan) itu dan kemudian, apabila buat rawatan seterusnya, saya juga rasa tiada sesiapa pun yang tengok di situ,” kata Dr Shahrom pada prosiding berkenaan.
Nampaknya prosiding inkues kematian Adib akan kehilangan seorang saksi yang menjadi petunjuk penting punca kematian anggota Bomba itu bukan disebabkan jatuh dari kenderaan EMRS. Jangan salahkan media dan orang ramai yang membuat spekulasi kalau pihak tertentu membuka ruang untuk pelbagai teori konspirasi diperagakan.
Prosiding inkues kes ini perlu bebas daripada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak. Bagaimanapun dengan penarikan diri peguam yang mewakili Adib tanpa alasan persepsi daripada masyarakat sudah menjadi berbagai-bagai. Tambahan pula peguam berkenaan yang mengemukakan saksi yang menolak teori ‘Adib terjatuh dari kenderaan EMRS’.
Lebih menimbulkan persoalan apabila peguam berkenaan tidak memberi komen apabila media mengajukan soalan mengenai ‘surat daripada pihak atasan’. Sepatutnya beliau memberikan penjelasan tanpa rasa tidak selamat kerana kerajaan baru menjulang slogan “Rule of Law”.
Insiden rusuhan di kuil ini sejak awal-awal lagi menimbulkan pelbagai persoalan. Ada pemimpin India menuduh rusuhan ini disebabkan oleh orang Melayu bagaimanapun polis menafikan ini sebagai rusuhan kaum tetapi perihal orang India dengan kuil mereka.
Kemudian timbul pula persoalan kenapa pihak polis terlalu susah sangat untuk mengesan individu yang terlibat hingga mencederakan seorang anggota Bomba hingga seorang pun penyerang Adib tidak dapat dikenalpasti.
Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin turut mempersoalkan kegagalan mengesar dan menangkap perusuh dalam blognya, The Scribe A Kadir Jasin 28 November 2018.
“Yang anehnya sehingga hari ini tidak seorang pun perusuh keturunan India ditahan dan penyerang Muhammad Adib dikenal pasti. Minta maaf banyak-banyak kalau saya kata, susah sikitlah nak faham macam mana begitu ramai anggota polis dengan peralatan canggih dan diuar-uarkan sebagai terbaik di dunia tak nampak seorang pun daripada begitu ramai orang India yang berada di tempat kejadian melakukan apa-apa kesalahan. Takkanlah bila begitu banyak kenderaan bermotor dibakar masih gelap lagi?” demikian tulis A Kadir.
Memang benar kita tidak boleh menjadikan tulisan A Kadir sebagai satu fakta tetapi pada masa yang sama persoalan yang dibangkitkan terutama kegagalan menahan perusuh tidak boleh diperemehkan begitu sahaja. Kita percaya rakyat sependapat dengan A Kadir, susah sangatkah hendak mengesan perusuh kuil itu?
Dalam posting yang sama juga A Kadir menulis mengenai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melawat Adib dalam keadaan yang sangat tenat di IJN.
“Dr Mahathir yang pernah menjadi doktor kata, peralatan perubatan moden membantu menyelamatkan nyawa mangsa. Tetapi kata beliau, jika dengan takdir mangsa meninggal dunia, ia adalah kes bunuh dan penjenayah yang melakukannya wajib dikenakan hukuman berat. Jadi polis tolonglah cari penjenayah itu,” tulis Kadir lagi.
Kini kata kunci persoalan terletak di tangan peguam Syazlin. Beliau mesti bijaksana dan bertanggungjawab sama ada mendedahkan sekiranya benar menerima arahan daripada pihak tertentu. Atau sememangnya penarikan diri dari prosiding inkues kes Adib disebabkan faktor-faktor lain yang tidak ada kena mengena dengan arahan, mohon beliau jelaskan.
Rakyat memerlukan penjelasan dan pencerahan daripada beliau kerana banyak urutan peristiwa rusuhan itu membina persepsi dan spekulasi yang berbagai-bagai. Keadilan untuk Adib tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun kerana kerajaan berjanji meaksanakan “Rule of Law” dengan sebaik-baiknya.