OLEH ANUAR AHMAD

Anda jangan ingat isu bantahan Dong Zong  terhadap tulisan Jawi  baru-baru ini adalah yang paling besar. Isu ini kecil sahaja berbanding apa yang pernah berlaku pada tahun 1961.

Kalau ditakdirkan ketika itu Menteri Pelajaran bukan Abdul Rahman Talib, mungkin dah lama pemikiran pendidikan perkauman menguasai sistem pendidikan negara ini. 

Tetapi syukurlah kerana ketika itu Menteri Pelajaran adalah Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran pula Dr Aminuddin Baki maka sistem pendidikan negara dapat dipertahankan sebaiknya. 

Kalau ketika itu Menteri Pelajaran jenis ‘lembik’, sibuk kejar populariti dan asyik main politik, memang sistem pendidikan negara dah lama rosak.  Jangan harap bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar lagi seperti sekarang. Mungkin negara kita dah lama amalkan sistem pendidikan pelbagai bahasa pengantar. 

Sebenarnya tahun 1961 adalah tahun yang paling bersejarah dalam sejarah sistem pendidikan negara ini. 

Lim LIan Geok pengasas Dong Zong

Inilah ketikanya di mana pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan kerana tindakan beliau membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961. 

Abdul Rahman Talib Menteri Pelajaran

Bantahan beliau begitu keras khususnya terhadap Akta Pelajaran 1961 yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menukarkan mana mana sekolah vernakular menjadi sekolah kebangsaan. 

Beliau juga ‘mengamuk’ bila Abdul Rahman Talib berjaya memujuk Lembaga Pengelola 53 buah sekolah menengah persendirian (SMPC) Cina untuk menjadi sekolah menengah Jenis kebangsaan (SMJKC). Manakala  16 buah sahaja sekolah pensendirian Cina yang menolak. 

Sekolah persendirian Cina yang pertama bersetuju menjadi sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ialah Penang Chung Ling High School. 

Pengetua Chung Ling High School, Wang Yoon Nien dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Ong Keng Seng telah digelar sebagai pengkhianat besar pendidikan Cina oleh para pemimpin dan penyokong Dong Zong di seluruh negara. 

Jadi jangan kita lupa, ramai juga tokoh pendidikan Cina yang turut menjadi ‘mangsa’ sifat perkauman Dong Zong sejak dulu. 

Selain mereka berdua, dua tokoh masyarakat Cina yang menjadi ahli jawatankuasa Laporan Rahman Talib iaitu Leong Yew Koh dan Ong Yoke Lin juga digelar pengkhianat oleh penyokong Dong Zong. 

Kesabaran ada hadnya. Ada ketikanya ketegasan perlukan tindakan.  Akibat bantahan berterusan Lim Lian Geok yang ketika itu memimpin Dong Zong, kewarganegaraan beliau telah dilucutkan pada 19 Ogos 1961.

Selepas beliau, tiada seorang pun pimpinan kanan Dong Zong berani menawarkan diri sebagai pemimpin yang baru.  Mungkin mereka mula takut akan menerima nasib yang sama.  Mereka nampaknya sudah dapat isyarat jelas dari kerajaan, “kalau berani, cubalah…’

Begitulah ketegasan kerajaan ketika itu khususnya Menteri Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara ini tidak diganggu gugat oleh mana mana pihak yang mempunyai kepentingan kaum masing masing. 

Jadi jangan anda ingat tak ada orang yang pernah dilucutkan kewarganegaraan kerana isu membantah sistem pendidikan negara. Selain Lim Lian Geok, penasihat Dong Zong ketika itu bernama Yan Yuan Zhang juga turut menerima tindakan. 

Disebabkan beliau menetap di Singapura, beliau telah diharamkan masuk ke Tanah Melayu atas arahan kerajaan. 

Sistem pendidikan adalah ‘jiwa negara’ ini. Kerajaan bertanggungjawab memastikan ‘jiwa negara’ ini dipelihara. Menteri Pelajaran adalah ‘guardian’ sistem pendidikan negara. 

Malaysia bertuah kerana pernah mempunyai pemimpin yang tegas dalam mempertahankan sistem pendidikan negara pada tahun-tahun yang mencabar dulu. Semoga kerajaan hari ini juga mempunyai ketegasan yang sama.

Nota:  Semua fakta ini dipetik dari bahan bacaan ilmiah dan kajian Phd. Boleh rujuk di:

Ang Ming Chee, (2014) Institutions and Social Mobilization: The Chinese Education Movement in Malaysia 1951-2011 (muka surat 54)

Kua Kia Soong (2010), Lim Lian Geok: Soul of The Malaysian Chinese (muka surat 45)

DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di Facebook Anuar Ahmad bertajuk  Kalau Berani, Cubalah…... Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *