OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Dalam titah pelancaran sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan baru-baru ini  Yang Dipertuan Agong,  Al Sultan Abdullah menyambut baik konsep Rahmatan Lil Alamin yang diketengahkan oleh kerajaan baru untuk membina konsep hidup bermasyarakat ke tahap yang lebih tinggi.  

Bagaimanapun Baginda mengingatkan supaya konsep ini diterjemahkan secara bijaksana dan  tidak bertoleransi tidak hingga melanggar larangan-larangan dalam Islam.  Sebenarnya inilah keresahan sebahagian besar umat Islam selepas memasuki lanskap baru politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU14) tahun lalu. 

Orang Islam diminta supaya bertolak ansur dengan bukan Islam seolah-olah selama ini banyak melakukan penindasan dan tidak adil kepada bukan Islam.  Maka tidak hairanlah  mereka terpaksa berkompromi dalam hal-hal yang berkaitan larangan Islam.

Yang Dipertuan Agong menyampaikan watikah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Dr Zaini Ujang pada 1 September lalu. Di tengah ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof (kiri).

Titah Baginda, “Konsep ini tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama. Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan  ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.

Justeru, dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleran serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan  tuntutan agama dan hukum Allah Subhanahu Wata’ala.” (Titah penuh boleh dibaca di  www.kuseman.com)

Teguran Baginda sangat tepat dalam keadaan umat Islam dilanda resah yang tidak berhujung. Ini kerana pihak tertentu telah membuka ruang tolak ansur yang melampau waima terhadap perkara-perkara yang menjejaskan masa depan Islam di negara ini. 

Rahmatan Lil Alamin ini dipromosi sebagai satu konsep baru dalam kehidupan pelbagai kaum dan agama. Sebenarnya bukan baru kerana sudah lama diamalkan sama ada oleh kerajaan atau masyarakat Islam di negara ini. Cuma tidak dipromosi sebagai jenama konsep Islam yang baru.

Walaupun tidak ada dipromosikan jenama Rahmatan Lil Alamin,  dalam kalangan Islam dan bukan Islam memahami garis antara satu dengan lain. Orang bukan Islam memahami larangan dalam Islam dan orang Islam tidak mengambil ruang kebebasan beragama  dalam kalangan bukan Islam.

Malah sebelum tidak berlaku provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan. Tetapi selepas Rahmatan Lil Alamin dipromosikan dengan penekanan yang tempang,  dalam keadaan sengaja dan sedar  ada pihak mendirikan lambang salib setinggi  bangunan berbelas tingkat. 

Apabila orang Islam bersuara secara penuh hemah,  mereka pula diingatkan bahawa lambang salib sebesar mana sekalipun tidak akan menggugat akidah sekiranya kuat berpegang kepada Islam.  Isunya bukan soal akidah tetapi salib yang meampaui itu membawa maksud syiar agama yang diwakili oleh salib itu.

Mungkin perbuatan ini tidak salah tetapi tidak semestinya betul dalam konteks kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan.  Barangkali kerana memahami maksud  berbaik-baik dengan bukan Islam secara melulu, 

Pelaksanaan yang tidak mengikut Rahmatan Lil Alamin yang sebenarnya telah mengundang persepsi kurang elok, padahal konsep ini bukan suatu yang asing dalam Islam.  Konsep rahmah tidak boleh difahami kemudian dilaksanakan secara semborono hingga garis sempadan  kepentingan Islam terhakis sedikit demi sedikit.

Oleh yang demikian adalah tidak salah kalau kita melihat konsep Rahmatan Lil Alamin yang dipromosi begitu hebat sekarang ini tidak lebih tindakan “apologetik”  pihak tertentu  terhadap bukan Islam.  Yang tidak adilnya orang Islam  diminta supaya berlaku adil  seolah-olah selama ini berlaku ketidakadilan kepada bukan Islam.

Bertolak ansur kepada kelompok Lesbian Gay Biseksual dan Trangender (LGBT) untuk bebas mengadakan kegiatan mereka adalah memperalatkan konsep Rahmatan Lil Alamin yang murni itu. Sepatutnya tidak perlu ada rasa bersalah untuk menyekat LGBT kerana ini bukan agama,  ini penyakit sosial.

Tetapi ada pihak menggunakan konsep Rahmatan Lil Alamin untuk berlembut dengan kelompok ini, kononnya mengamalkan pendekatan yang “penuh kasih sayang”  bukan bertegas dengan kuasa dan undang-undang. Akibatnya orang Islam dilihat kurang  nilai “kasih sayang”  sekiranya menolak kelompok ini.

Kembalilah pada teguran Yang Dipertuan Agong supaya dalam menganjurkan kehidupan yang penuh kasih sayang melalui Rahmatan Lil Alamin, jangan sama sekali bertolak ansur hingga melanggar perintah agama.  Harap teguran yang sangat bermakna ini diambil perhatian yang sebaik-baiknya demi kebaikan orang Islam dan juga bukan Islam.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *