OLEH DR ANUAR AHMAD

Awal pagi ini The QS World University Rankings telah mengeluarkan kedudukan terkini universiti dunia bagi tahun 2020. 

QS telah menyenaraikan kedudukan 1,000 universiti terbaik dunia berdasarkan enam kriteria iaitu penyelidikan, reputasi akademik, pengantarabangsaan, ratio pelajar -pensyarah, kebolehpasaran graduan dan kapasiti pengajaran sesebuah universiti. 

Massachusetts Institute of Technology (MIT) nampaknya mengekalkan kedudukan di tempat pertama. Diikuti rapat oleh Universiti Stanford (2), Universiti Harvard (3), Universiti Oxford (4) dan California Institute of Technology (5).

Massachusetts Institute of Technology di AS

Kedudukan 10 universiti terbaik dunia kekal milik universiti yang hampir sama seperti beberapa tahun lalu. Tidak ada universiti baru masuk dalam senarai 10 terbaik dunia. 

Satu perkara yang agak baru dilaporkan oleh pihak QS ialah bermulanya trend kemerosotan kedudukan kebanyakan universiti Amerika Syarikat (AS) dan  United Kingdon (UK). Hanya 16 peratus universiti AS (universiti ternama) yang naik ke kedudukan lebih baik, selebihnya 84 peratus mengalami penurunan kedudukan. Universiti UK juga mengalami situasi yang hampir sama.

Puncanya, semakin ramai pelajar antarabangsa yang tidak lagi memilih untuk belajar di universiti AS dan UK seperti dahulu. 

Sebaliknya QS melaporkan 69 peratus universiti di Australia meningkat kedudukan mereka di dalam senarai universiti terbaik dunia akibat semakin ramai pelajar antarabangsa memilih belajar di negara tersebut. Malah Australia di kenalpasti menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa menyambung pelajaran mereka.

Peningkatan dalam senarai ini bukan bermakna universiti di Australia tiba-tiba menjadi universiti yang baik sehingga menjadi pilihan pelajar antarabangsa. Tidak.

Puncanya kerana ketidaktentuan geopolitik di AS dan UK. Misalnya sikap anti Islam oleh sebahagian pemimpin dan masyarakat AS menyebabkan pelajar dari Timur Tengah dan negara Islam tidak lagi memilih untuk belajar di.AS atau UK. 

Begitu juga, kadar tukaran mata wang yang tinggi dan kenaikan yuran telah menyebabkan ramai pelajar khususnya dari negara Asia tidak lagi memilih AS dan UK. 

Nampaknya naik turun kedudukan universiti terbaik dunia bukan lagi secara mutlak ditentukan sama ada sesebuah universiti itu berkualiti atau tidak seperti dahulu. 

Faktor geopolitik,  ekonomi, tukaran matawang atau hubungan antarabangsa juga akan mempengaruhi kedudukan sesebuah universiti di peringkat dunia. 

Universiti di Malaysia sekarang sedang ‘gila’ untuk mengejar ranking ini. ‘Gila’ yang kadang kala melucukan. Paling ketara ialah usaha meningkatkan jumlah penerbitan. 

Tak kisahlah berapa orang yang akan membaca dan memanfaatkan penerbitan itu nanti. Apa yang penting ialah tingkatkan jumlah penerbitan untuk tujuan meningkatkan kedudukan ranking. 

Malah setiap tahun puluhan juta ringgit telah dibelanjakan untuk tujuan ini sahaja. Gembira sungguh pemimpin universiti bila kedudukan universiti mereka naik bila diumumkan. 

Tak ubah seperti anak-anak yang begitu gembira bila dapat nombor satu dalam kelas. Rasa bangga dengan pencapaian sebegitu sampai boleh menengelamkan kecintaan mereka kepada matlamat dan falsafah sebenar kewujudan universiti yang mereka pimpin.

Bukan rahsia lagi bila seseorang ahli akademik diminta (baca: diarahkan) supaya melakukan citation / sitasi penerbitan rakan rakan seuniversiti.

Tak kisahlah petikan rujukan itu relevan atau tidak. Tak kisahlah berkualiti atau tidak. Yang penting kena lakukan sitasi. Tujuannya semata-mata untuk meningkatkan kedudukan universiti. 

Ini sudah menjadi satu ‘permainan jelik yang dihalalkan’ dalam universiti negara ini. Tapi bukan kita sahaja lakukan. Banyak universiti lain di dunia juga lakukan semata-mata untuk menaikkan ranking mereka. Tentulah atas tujuan perniagaan mereka. Kita pula di universiti awam ikut sahaja.

Sebab itu tidak pelik untuk melihat pemimpin universiti awam semakin hilang arah tuju dan semakin kabur iltizam mengapa universiti yang mereka pimpin ditubuhkan? Mereka mengikut sahaja arus tanpa menyoal.. “mengapa aku perlu ikut?” 

Sejarahnya dulu The QS World University Rankings  diwujudkan untuk tujuan persaingan perniagaan bagi universiti swasta. Sebagai makluman, MIT, Stanford, Harvard dan Oxford semuanya universiti swasta. Ranking sangat penting dalam perniagaan mereka. 

Advertisement

Bagi tujuan pemasaran, perlu kedudukan universiti swasta diketahui oleh para ibu bapa yang sedang memilih universiti untuk anak-anak mereka. Tapi kemudiannya universiti awam pun ikut terlibat juga. 

Universiti awam sudah menjadi pengikut setia permainan universiti swasta. Sepatutnya tidak begitu. Universiti awam seharusnya mempunyai mekanisme sendiri untuk mengukur tahap kualiti mereka. Bukan menggunakan kayu ukur universiti swasta. 

Universiti awam di Malaysia ditubuhkan adalah untuk pembangunan negara. Kita masih negara membangun. Kita perlukan universiti untuk memajukan masyarakat bukan sekadar mengejar kedudukan. 

Jadi apa sebenarnya yang kita ingin kejar? Apakah kriteria yang diwujudkan oleh QS untuk universiti swasta sesuai dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan universiti awam? 

Jika universiti awam Malaysia berjaya menghasilkan ribuan graduan, inovasi sains dan teknologi yang memanfaatkan masyarakat, ubat ubat yang sesuai dengan keperluan pesakit negara ini, buku buku dalam bahasa kebangsaan tetapi masih tidak masuk di dalam ranking universiti dunia yang sebenarnya untuk universiti swasta, apakah itu tandanya universiti awam kita telah gagal? 

Pimpinan universiti eloklah membaca buku Excellence Without A Soul: How a Great University Forgot Education (2006) karya Profesor Harry R. Lewis dari Universiti Harvard. Apa maknanya menjadi sebuah universiti yang kononnya hebat ranking tetapi di luar pagar universiti tersebut masih ramai orang miskin dan gelandangan? 

Apa guna penerbitan menggunung tinggi tapi kualiti hidup rakyat tidak juga berubah? Apa hebatnya penyelidikan dalam bidang pendidikan jika masih ramai anak anak tercicir untuk ke sekolah? 

Apa hebatnya perbincangan dan wacana kesaksamaan ekonomi di dalam kampus jika diluar kampus kapitalis dibiarkan bermaharajalela menipu dan menindas rakyat? 

Apa faedahnya jurnal antarabangsa dan buku bertimbun ditulis tentang pendidikan Islam tetapi umat Islam di negara ini sedang ‘sakit’ iman dan akhlaknya? Apa yang sedang universiti kita sedang lakukan? 

Universiti awam Malaysia bukan diwujudkan untuk menjalankan perniagaan. Tetapi ditubuhkan untuk memajukan rakyat, memakmurkan kehidupan  dan membangunkan Malaysia. 

Mengejar ranking semata-mata tidak akan menyebabkan kemiskinan rakyat akan hilang, kekejaman kapitalis akan berhenti, pendidikan di sekolah akan menjadi lebih berkualiti, pesakit di hospital menjadi kurang atau banjir tidak akan menimpa lagi masyarakat. 

Mengejar ranking sebagai matlamat akhir sebuah universiti juga tidak akan menyelesaikan isu rasuah dan ketidakadilan sosial dalam negara.

Ahli akademik dengan ilmu yang ada kena tegas bersuara, menyokong apa yang baik dan menegur bila ada kepincangan. Bukan tinggal di dalam ‘gua’ akademik mereka. 

Hidup sekadar memuaskan nafsu bangga bila penulisan mereka diterbitkan di dalam jurnal berindek. Tetapi “memejamkan mata” dan tidak ambil kisah apabila melihat kebejatan dan kezaliman berlaku pada masyarakat luar kampus. 

Ranking hanya sekadar ranking. Universiti kita boleh terus bermain dengan ranking tetapi itu bukanlah sebab utama wujudnya sesebuah universiti awam di negara ini. 

Masyarakat perlukan universiti awam untuk tingkatkan kesejahteraan hidup mereka, melindungi mereka dari kezaliman dan penipuan serta menunjukkan jalan yang betul untuk mereka tujui.

Jangan sekali kali itu dilupai.

  • DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di laman Facebook Anuar Ahmad.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Ranking universiti: Apa yang cuba kita kejar?”
  1. Dr Anuar Ahmad telah menulis dengan tepat.
    Setinggi tahniah.
    Tulisannya ini patut dibaca oleh Menteri Pendidikan dan orang-orang yang mahu memahami ranking QS atau selaiinnya yang menggunakan kriteria yang tidak sesuai.Kriteria yang dipakai QS tidak sesuai dengan negara – negara Asia, apatah lagi Asia Tenggara.
    Membandingkan negara Asia dengan Barat umpama membandingkan buah epal dengan buah limau!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *