OLEH KAMARUDDIN MUSA

PERSOALAN berkaitan dengan perkauman masih tetap membelenggu sistem sosial, politik dan ekonomi Malaysia, meskipun negara sedang bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0. 

Masyarakat dunia telah bergerak jauh meninggalkan zaman pertembungan sejarah, mencetuskan realiti transformasi daripada revolusi industri kepada era teknologi maklumat, namun kita, rakyat Malaysia, masih bergelut dalam pertarungan kuasa dan interaksi sosial. 

​Pemikiran perkauman nampaknya semakin menebal. Walau pun pelbagai tindakan strategik telah dibuat, akal perkauman nampaknya semakin membuak-buak menelur wap panas. Kongres Maruah Melayu, pada 6 Oktober 2019, dijadikan agenda kononnya untuk mengangkat maruah Melayu, berdasarkan premis “maruah Melayu telah susut dan merosot.”

​Berdasarkan nada yang digemerincingkan dalam Kongres Maruah Melayu tersebut, apa yang hipotetikal sebagai maruah Melayu itu merosot, berpunca daripada penglibatan DAP dalam pembentukan kerajaan selepas gelombang 9 Mei 2018. 

Dikatakan bahawa kerajaan selepas 9 Mei 2018, bukan lagi kerajaan yang pro Melayu, sebaliknya telah dikuasai oleh Cina pendokong sosialis, bukan lagi dominasi Melayu Islam.

​Naratif yang disebarkan, kontrak sosial telah dilanggari dan hak-hak serta keistimewaan orang  Melayu telah dicabar. Persoalan asasnya apakah sebenarnya wujud secara dokumentasi akan apa yang dikatakan kontrak sosial itu? 

Pelbagai pihak yang bercakap soal kontrak sosial, namun sehingga kini masih gagal untuk mengemukakan dokumen yang diklasifikasikan sebagai kontrak sosial itu.

​Pemikiran yang disebarkan seolah-olah telah berlakunya pengkhianatan nyata terhadap bangsa Melayu oleh orang bukan Melayu. Soalnya apakah ia merupakan satu kebenaran atau satu usaha untuk mengkerdilkan minda Melayu kedalam lingkungan kedaerahan melayunisme, tanpa melihat realiti negara bangsa. 

Advertisement

Persoalan ini timbul memandangkan terdapat usaha pihak tertentu yang membangkitkan soal kedaearahan Tanah Melayu, kononnya itulah fakta sejarah, tidak pula menelaah akan negara yang wujud pada tahun 1963 yang melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak. 

Bercakap soal Tanah Melayu, bermakna mempersisihkan akan soal kehadiran Sabah dan Sarawak. Maknanya, membina dimensi negara itu hanya berdasarkan kepada Tanah Semenanjung, apa pun hujah yang dikemukakan hakikatnya itulah rujukannya.

​Berdasarkan tulisan Dinesh D’ Souza, The End of Racism, hakikatnya perkauman ideologi yang berakar dalam lingkungan pemikiran Barat. Bertitik tolak kepada usaha untuk menjelaskan akan jurang pembangunan tamadun yang memisahkan  antara kulit hitam dan kulit putih, kulit putih dianggap sebagai mempunyai darjah ketamadunan yang tinggi dan mempunyai nilai ketuanan. 

Hakikat inilah yang ingin digambarkan di dalam novel Alex Haley, Roots: The Saga of an American Family. Perkauman, boleh menjurus kepada perhambaan.

  • KAMARUDDIN MUSA adalah pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tulisan ini kali pertama disiarkan di laman FB beliau. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *