OLEH DR ANUAR AHMAD

DI HONG KONG, ada dua pelajar tidak dibenarkan bergraduasi. Mereka telah dihalau keluar dari dewan graduasi. Puncanya, mereka tidak menunjukkan rasa hormat bila lagu kebangsaan negara tersebut dimainkan. 

https://amp.scmp.com/news/hong-kong/education/article/2124697/two-hong-kong-students-kicked-out-graduation-ceremony-after

Pada pihak berkuasa universiti berkenaan, ini satu tindakan yang patut dilakukan untuk memastikan majlis graduasi  terus mempunyai integritinya.  Tindakan mereka adalah betul. 

Di Sarawak, baru-baru ini juga ada peristiwa di mana sekumpulan NGO tidak berdiri semasa lagu Negaraku dinyanyikan. Alasannya mereka mahu menunjukkan protes. Polis telah menerima aduan daripada ahli masyarakat dan kumpulan ini telah dipanggil oleh pihak polis untuk diambil keterangan mereka. 

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/09/30/why-should-we-stand-for-negaraku-ask-sarawak-activists/

Dulu ada kes bendera Malaysia diconteng dan diterbalikkan juga sebagai tanda protes. Beberapa hari lepas berlaku pula peristiwa seorang graduan yang tidak menghormati majlis rasmi universiti. 

Nampaknya masyarakat negara ini sedang mengalami defisit nilai kenegaraan yang semakin serius. Masyarakat sudah mula hilang rasa kenegaraan. Mereka sudah hilang pertimbangan antara emosi politik dan rasa sayang pada negara. 

Dalam Rukun Negara tidak ada satu perkataan pun meminta kita melebihkan permainan politik dari komitmen kita kepada negara. Bacalah lima prinsip Rukun Negara  yang dibina oleh pemimpin pelbagai kaum sebelum kita pada 1970. 

Seorang mahasiswa Universiti Malaya membuat protes di atas pentas semasa berlangsungnya acara konvokesyen baru-baru ini.

Rukun Negara meletakkan negara Malaysia mempunyai prinsip asas bernegara iaitu rakyat negara ini mestilah  percaya kepada Tuhan, hanya taat setia pada Raja dan negara (bukan taat setia pada parti politik atau orang politik), menghormati keluhuran Perlembagaan, mendaulatkan undang undang dan akhir sekali mengamalkan hidup bernegara yang diasaskan pada amalan kesopanan dan kesusilaan. 

Ada anda nampak prinsip Rukun Negara cuba meletakkan rakyat negara ini supaya sayangkan parti politik melebihi dari sayangkan negara? Tidak ada langsung. Taksub politik berlebihan sehingga meminggirkan sayang pada negara adalah bahaya. Itu akan menjadikan negara ini sebuah negara koboi.

Apa makna “Kesopanan dan Kesusilaan” ” dalam Rukun Negara? Dalam bahasa Inggeris disebut “Courtesy and Morality“. Prinsip ini telah dibina secara sepasang. Mesti ada amalan kesopanan dan kesusilaan secara serentak. Jika amalkan hanya salah satu daripadanya itu tetap akan dianggap gagal sebagai seorang warganegara. 

Saya jelaskan dalam bentuk situasi.

(1) Misalnya ada seorang ahli politik yang begitu mesra dan mengambil berat tentang masyarakat di kawasannya. Setiap kali rakyat mahu berjumpa beliau sanggup menunggu. Beliau juga pendengar yang baik. Sentiasa menggunakan bahasa yang lembut bila berbual dengan rakyat. Ini maksudnya beliau seorang yang mengamalkan “kesopanan”. Tetapi jika beliau makan rasuah, walaupun beliau sopan (courtesy), beliau tidak ada “kesusilaan” (morality). 

(2) Ada seorang guru yang menjaga kebajikan pelajar dengan baik, sentiasa membantu pelajar, memberikan motivasi, berpakaian kemas sewaktu bekerja dan cukup pembersih, maknanya guru itu adalah seorang yang bersopan, tetapi akan dikatakan tiada kesusilaan (morality)

Advertisement
bila beliau lambat masuk ke kelas atau tidak menjalankan amanah mengajar seperti yang ditetapkan. 

(3) Seorang graduan yang bencikan  sifat rasis adalah seorang yang mempunyai kesusilaan (morality) yang tinggi. Tetapi bila saja beliau naik ke atas pentas konvokesyen dan menjerit-jerit serta memaki hamun orang lain itu tandanya beliau tiada kesopanan. 

Kesopanan dan kesusilaan datang serentak. Tidak guna anda bersopan tetapi tidak bermoral. Begitu juga tidak guna anda seorang yang bermoral tanpa ada nilai kesopanan. 

Prinsip kesopanan dan kesusilaan ini sudah tidak diajarkan secara serius di sekolah. Kita mungkin terlupa kerana terlalu fokus kepada subjek lain. Hatta di universiti juga sudah tidak dibincangkan secara mendalam prinsip prinsip Rukun Negara ini.

Mungkin ada yang berkata peduli apa dengan kesopanan, yang penting moral. Jika begitu samalah keadaannya jika anda berkata “polis mestilah menjalankan tugas mereka, tak penting untuk polis ada timbang rasa dan mesra pada rakyat”. 

Atau seorang guru jalankan sahaja moralnya sebagai pemimpin pengajar, jangan kisah tentang memberikan kasih sayang dan rasa insan pada pelajar sebab itu tidak penting, hanya kesopanan sahaja. 

Seorang penumpang patuh membeli tiket MRT kerana itu moral yang baik, tetapi kerana sopan tidak penting tidak perlulah beliau memberikan laluan pada warga emas, ibu mengandung atau OKU untuk masuk dahulu ke dalam MRT. 

Apakah seorang mahasiswa yang atas sifat moralnya benci pada rasis boleh memaki hamun VCnya kerana merasakan moralnya betul, tetapi beliau langsung tidak peduli pada amalan kesopanan (courtesy) sehingga menganggu perjalanan majlis konvokesyen? 

Jika begitu, apakah satu hari nanti universiti akan membenarkan pelajar naik ke pentas konvokesyen semasa bergraduan dengan langsung tidak berpakaian atas alasan mereka berhak melakukan protes sebagai tanda mereka  menyokong LGBT? 

Jika nanti mereka ditahan, kes yang baru berlaku tempoh hari pasti akan diungkit kembali. Sebab itu keputusan yang salah, akan tetap salah sampai bila-bila.

  • DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di FB Anuar Ahmad. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *