KUALA LUMPUR 20 Sept. – Generasi masa kini tidak harus membiarkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya terhakis serta terpinggir dalam mengejar kejayaan di era moden masa kini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah Perdana Menteri berkata, arus kemajuan di era digital dan automasi seharusnya mampu dimanfaatkan dalam membentuk anak bangsa yang lebih berjaya, dan pada masa sama tetap berpegang teguh kepada nilai, adat dan budaya.

“Kita sebenarnya membenarkan diri terperangkap dalam arus kemajuan era digital dan automasi. Kita seolah-olah tidak berupaya untuk menerap nilai-nilai yang baik apabila terpaksa mengejar kemodenan kerana tidak mahu ketinggalan.

“Sering terdengar rungutan bahawa generasi masa kini terbawa-bawa dengan modenisasi sehingga meminggirkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya. Akibatnya, ada dalam kalangan kita tidak beradab dan keluar dari batasan agama,” katanya ketika berucap melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Piagam tersebut adalah hasil resolusi-resolusi yang telah dibentangkan pada Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya pada 2017 dalam melestari bidang warisan dan budaya negara.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa ramai bangsa yang berjaya pada hari ini adalah dalam kalangan mereka yang berpegang teguh kepada amalan-amalan dan nilai murni tersebut.

“Saya berharap Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air ini akan membawa kita setapak lagi lebih dekat kepada mencapai pengisian masyarakat berbudaya tinggi termasuk kelestarian budaya Melayu yang utuh.

“Ia (piagam) juga diharap turut mempromosi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dewan Bahasa Pustaka ialah institusi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu, justeru, dengan adanya piagam baru ini perjuangan kita dalam menjiwai bahasa jiwa bangsa akan lebih berkesan lagi,” katanya.

Bagi tujuan tersebut, Dr. Mahathir turut berharap semua jabatan kerajaan yang berkaitan akan saling bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjiwa besar, berbudaya tinggi serta mulia menerusi piagam tersebut.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi usaha berkenaan lebih banyak universiti perlu berusaha menawarkan pengajian arkeologi bagi merungkai isu-isu perkembangan tamadun awal.- BERNAMA

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *