OLEH RAZALI AWANG

Sepatutnya dalam usia yang mentah mereka berada di sekolah. Namun konflik yang berpanjangan menyebabkan beratus ribu anak pelarian Syria yang berlindung di Idlib tercicir dan tidak berpeluang untuk belajar.

Sebahagian besar mereka terpaksa membanting tulang demi kelangsungan hidup. Tidak terkecuali, Jawad dan Yazan yang berusia 8 dan 15 tahun.

Ketika rakan sebaya mereka berada dalam kelas lain pula kisah dan rutin harian dua beradik ini. Bersama-sama bapa, Ghassan, mereka bertiga berada di perkuburan untuk mencari rezeki sebagai penggali dan penjaga kubur di pinggir Idlib.

Yazan (kiri) dan adiknya, Jawad terpaksa bekerja di tanah perkuburan untuk membantu ayah mereka Gahasan di pinggir Idlib, Syria.

“Saya menolong ayah apabila ada yang datang ingin mengebumikan jenazah. Kami gali liang lahad kemudian menimbus dengan tanah, jaga dan segalanya. Kami menyiram pokok dan bunga dan apa sahaja yang disuruh bapa,” kata Jawad ketika ditemuramah Save the Children.

Kerja yang dilakukan bukan mudah dan dia sendiri mengakui ia amat membosankan. Apatah lagi pendapatan yang diperolehi tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Ketika ditanya perasaannya menghabiskan masa seharian di tanah perkuburan,  Jawad berkata, “Saya tidak takut bekerja di sini kerana mereka semua telah mati. Semoga Allah beri rahmat kepada mereka dan kita juga.” 

Bercerita mengenai masa depan anak-anaknya, Ghassan mengakui usahkan memberi pendidikan, pakaian dan keperluan asas lainpun dia tidak mampu sediakan kerana jumlah anak yang ramai.

“Jika hari ini dia ingin duit untuk membeli buku tulis, saya katakan kepadanya saya tiada duit. Di mana saya boleh dapatkan wang? Ada adik kecil yan perlu diberi makan.

Advertisement

“Ia amat memilukan. Mereka bekerja di bawah bahang matahari dari pukul 6 pagi hingga pukul 7 atau 8 malam. Kesian kanak-kanak, mereka tidak bersalah,” luah Ghassan.

Dia yang berasal dari Aleppo melarikan diri dari bandar itu sebelum ia dikuasai semula tentera regim Bashar al Assad yang memusnahkan rumahnya.

Tiada cerita indah bagi keluarga ini. Dalam usia yang masih mentah anak-anaknya menempuh pelbagai sengsara dan trauma. Sebahagian mereka tidak pernah mengenal erti nikmat keamanan. Hakikat itu diakui sendiri Yazan yang kini berusia 15 tahun.

Mayat yang digantung tanpa kepala dan perempuan direjam dengan batu oleh pengganas IS masih segar dalam ingatan dan sehingga kini menghantuinya.

“Ketika perang bermula saya lihar mayat digantung di kawasan awam, sebahagian kepala dipenggal, terdapat juga perempuan dibunuh dengan direjam, lelaki dicampak dari bangunan tinggi,” katanya.

Apa yang pasti ialah tanpa pendidikan masa depan generasi  kanak-kanak ini akan terus gelap sekalipun selepas keadaan di Syria kembali aman.

Persoalannya bagaimanakah mereka akan berdepan dengan pasca perang dengan trauma yang  bukan sedikit ditanggungnya?

Nota: Tulisan ini disesuaikan dari artikel yang disiarkan www.independent.co.uk./ Foto Save The Children.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *