Heyam meriba Emir berusia lima bulan di sisi kaki palsunya. Suaminya meninggal dunia ketika Emir masih dalam kandungan. (Gambar Bawaba.Hamah)

MASA terus berlalu, namun derita Heyam tetap sama. Bahkan dari hari ke hari beban yang digalas terus bertambah.

Dilahirkan dengan cukup sifat dan pancaindera. Malangnya konflik yang berlaku menyebabkan dirinya cacat. 

Bom barel yang digugurkan tentera regim Bashar al Assad tujuh tahun lalu menyebabkan sebelah kakinya kudung. Ketika dia bertarung dengan ajal, semangatnya untuk bangkit begitu kuat.

Keazaman untuk bersama anak-anak dan suami menjadi pendorong wanita yang berasal bandar Kafr Nbouda, berusaha menjalani hidup seperti ibu dan isteri yang lain. 

Namun, imannya terus diuji.

Suami yang selama ini menjadi tempat Heyam dan keluarga bergantung, dipinjamkan hanya seketika kerana turut menjadi mangsa konflik.  Lebih terasa, ketika suami meninggal dunia anak keempatnya masih dalam kandungan.

Kini  anak bongsu, Emir telah berusia lima bulan dan Heyam terus tabah untuk meneruskan amanat suami dan Allah untuk membesar kesemua anaknya.

Akibat serangan dan selepas tempatnya di utara Idlib ditawan tentera regim, dia dan keluarganya terpaksa melarikan diri ke tempat selamat.

Advertisement

Seperti ratusan ribu pelarian baru, ibu tunggal ini bersama anak-anaknya hanya berlindung dalam khemah di celah-celah pohon zaiton kerana tidak mampu menyewa rumah. 

Ketika ini mereka masih selamat. Bagaimana dengan ketibaan musim sejuk nanti?.

Tempat berteduh sedia ada hanya mampu melindungi diri dari panahan matahari sedangkan di musim dingin mereka memerlukan khemah yang dapat menahan haba. Itu belum kira keperluan makanan, pakaian, bahan api dan pemanas.

Tanpa benda asas ini, mereka akan mati kesejukan.

Di serata dunia, kisah-kisah sepertinya semakin hari semakin tenggelam kerana penderitaan mengenai mangsa konflik di Syria tidak lagi dilihat sebagai bahan berita yang boleh “dijual” dan memberi pulangan komersil di media arus perdana.

Namun inisiatif yang diambil orang ramai melalui media sosial seperti yang dilakukan pemilik akaun Facebook Bawaba.Hamah menjadi alternatif bagi memastikan nasib insan seperti Heyam tidak dilupakan.

OLEH RAZALI AWANG (Sukarelawan Media Syria Care)
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *