OLEH RAZALI AWANG

Rakyat Syria membayar harga yang tinggi untuk mendapat hak bersuara. Diam tidak diam, sejak kebangkitan bermula pada Mac 2011, hampir 600,000 nyawa telah melayang.

Sejak lebih lapan tahun lalu, rutin hidup mereka berubah 360 darjah. Serangan darat, udara dan roket telah menjadi kebiasaan tanpa mengira masa serta tempat.  Apa yang membezakan hanyalah jumlah kematian, sama ada  sedikit ataupun ramai.

Kuasa dunia pula mengambil kesempatan menjadikan tanah Syam sebagai medan perang proksi dengan menjadikan kumpulan bertelagah sebagai kuda tunggangan.

Dalam laporannya Al Jazeera mendakwa tidak kurang 17 negara terbabit mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku di Syria dan pada zaman kemuncak revolusi terdapat lebih seratus kumpulan yang berselerakan.

Pihak yang berkepentingan di Syria berlumba menunjukkan kekuatan tentera dan teknologi pembunuh tanpa memikirkan nasib orang awam. (Gambar SOHR)

Meskipun kumpulan anti kerajaan mempunyai matlamat yang sama untuk menjatuhkan Bashar, namum nawaitu dan ideologi tidak sama. Perbezaan mazhab dan fikrah menjadi dugaan besar untuk menyatukan mereka. Ditambah pula dengan percaturan yang dimainkan pihak luar, kemelut yang berlaku seakan-akan tiada penyelesaian. 

Apatah lagi, ia membabitkan  dua negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Amerika Syarikat. 

Kedua-duanya saling bermain tarik tali dan wayang setiap kali usul dibawa untuk menghentikan keganasan di Syria. Sama ada White House atau Kremlin, setiap kali perkara berkenaan kena batang hidung sendiri, ia akan menggunakan kuasa Veto untuk menolak cadangan yang dikemuka negara ahli yang lain.

Sejak 4 Oktober 2011 sehingga 19 September 2019, ada sahaja bangkangan yang dibuat negara anggota tetap Majlis Keselamatan untuk menghalang pelaksanaannya.

Pusingan demi pusingan Persidangan Geneva dan Persidangan Sochi, ia tidak membuahkan hasil yang konkrit untuk mencari penyelesaian.

Jika dilihat kronologi sejak Mac 2011, regim tidak pernah berusaha untuk menghentikan serangan ke atas rakyat sendiri. Rumah, sekolah, hospital waima ladang tanaman tidak pernah terkecuali dari menjadi sasaran.

Itu belum dikira dengan serangan dan pembunuhan beramai-ramai seperti mana yang dilakukan di timur Ghoutah, Yarmouk, Khan Sheikhoun dan pelbagai kawasan yang sebelum ini dikuasai penentang anti kerajaan.

Ketika Ankara menggerakkan tenteranya memerangi pengganas Kurdish yang berjuang atas label Syrian Democratic Forces (SDF) dan YPG di bahagian sempadannya dan di timur laut Syria, tentera Bashar al Assad masih meneruskan serangan ke atas orang awam di beberapa kawasan di Idlib.

Advertisement

Jika penghujung April 2019, hampir sejuta pelarian sedia ada di selatan Idlib terpaksa melarikan diri ke kawasan utara. Ini  ekoran serangan tanpa henti yang dibuat pentadbiran Damsyik ke atas penduduk sendiri. Operasi “Peace Spring” yang dilancarkan Turki di timur laut Syria pada 9 Oktober lalu menjadi siri terbaru krisis kemanusiaan di negara itu.

Ketegangan terkini menyebabkan lebih suku juta di timur laut negara itu berselerak menyelamat diri. Dalam laporannnya, Syrian Obervatory for Human Rights (SOHR), mengesahkan sekurang-kurangnya 300,000 orang awam terpaksa melarikan diri ke kawasan selamat dan beberapa bandar dan kampung kini dilaporkan kosong tanpa penghuni.

Di tempat-tempat tertentu seperti Hasaka, pertambahan mendadak pelarian telah mengakibatkan sumber air tidak dapat lagi menampung keperluan. Itu belum dikira keperluan makanan, ubat-ubatan, tempat tinggal dan khemah.

Ditambah dengan ketibaan musim sejuk pada bila-bila masa dari sekarang, perkembangan yang berlaku menjadi satu lagi cabaran besar kepada petugas misi kemanusiaan untuk menyalur bantuan ke sana.  

Keadaan reda seketika berikutan gencatan senjata sementara yang diisytihar bagi membolehkan SDF/YPG keluar dari kawasan berkenaan. Namun situasi begitu rumit kerana ia melibatkan pertembungan pelbagai pihak.

Ia semakin sukar diramal kerana pengganas Kurdish dikatakan sengaja bertindak melepaskan pengganas IS yang ditahan sebelum ini bagi memberi tentangan kepada Turki.

Angka tidak rasmi mendakwa lebih 5,000 dibebaskan. Jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan berita yang disiarkan The Guardian yang melaporkan sekitar 750 banduan IS telah berjaya meloloskan diri. 

Pihak yang berkepentingan di Syria “ghairah” untuk menunjuk kekuatan tentera, senjata dan teknologi ketenteraan tanpa memikirkan sama sekali nasib orang awam yang telah lama sengsara.

Dalam situasi sebegini siapakah yang bertanggungjawab terhadap nasib mereka?. Semua lepas tangan.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *