NOTIS KOMPAUN SPRM: ITBM NAFI TERLIBAT

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Merujuk laporan berita bertajuk “SPRM Keluar Notis Kompaun Terhadap 80 Individu, Entiti” yang disiarkan melalui beberapa media dalam talian pada hari ini, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menerima banyak pertanyaan daripada orang awam dan pihak yang prihatin terhadap perkembangan ITBM mengenai senarai yang turut mengandungi nama ITBM sebagai entiti yang turut terlibat dalam perkara ini.

Justeru itu, ITBM ingin menjelaskan bahawa wang yang diterima merupakan bayaran bagi khidmat penerbitan dan jualan buku yang dilaksanakan menerusi permintaan pelanggan, iaitu Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, tanpa mengetahui sumber asal sebenar wang berkenaan. Pembayaran yang diterima merupakan urusan jual beli biasa mengikut prosedur yang menjadi amalan bagi mendapatkan produk dan khidmat yang ditawarkan oleh ITBM.

Secara kronologinya, pada tahun 2011, ITBM telah menerima permintaan untuk mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku dengan jumlah nilai sebanyak RM356,000 dan RM610,000 yang disalurkan oleh pelanggan.

Sebagai sebuah agensi kerajaan yang turut melaksanakan kerja-kerja penerbitan buku, ITBM telah menerima dan melaksanakan permintaan pelanggan berkenaan mengikut prosedur kerja dan pembayaran biasa yang diamalkan oleh ITBM, serta telah melaksanakan kerja-kerja penerbitan seperti yang dipersetujui mengikut tempoh yang ditetapkan.

Advertisement

Khidmat yang dipersetujui melalui urusan ini juga dilaksanakan dengan kaedah buy back (beli semula) yang mana buku yang diterbitkan dibekalkan semula kepada pelanggan untuk jualan terus dan edaran kepada umum. Kaedah yang sama turut diguna pakai bagi pelanggan-pelanggan yang mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku ITBM.

Sebagai rekod, ITBM juga telah dipanggil dan memberi keterangan berkenaan perkara ini kepada pihak berkuasa bagi Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) pada Julai dan Ogos tahun lalu (2018) serta pada Julai tahun ini (2019).

Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas atau tindakan lanjut yang dimaklumkan sehinggalah tersiarnya laporan berita di media-media dalam talian tempatan pada hari ini.

Sehingga hari ini, ITBM belum menerima apa-apa notis rasmi berkenaan perkara ini daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedia memberikan kerjasama untuk penjelasan lanjut jika diperlukan.

Sekian.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *