KUALA LUMPUR, 11 Oktober, The rule of law yang dijaja sejak selepas PRU14 Mei tahun ini kini sedang diuji apabila dua pemimpin DAP antara tujuh pemimpin India yang ditahan oleh polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) kerana disyaki terlibat dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beberapa pemimpin kanan DAP menganggap penahanan itu kerana persepsi perkauman dan bertegas bahawa dua pemimpin politik yang ditahan itu tidak bersalah kerana LTTE telah dibubarkan. Malah menganggap LTTE sama seperti pejuang Palestin yang mahu membebaskan tanah air mereka.
Ekoran penahanan dua pemimpin DAP ini, suatu yang sangat mengecewakan ialah apabila pemimpin kanan DAP, Lim Guan Eng awal-awal lagi berkata kedua-dua pemimpin itu tidak bersalah. Di mana rule of law yang dijaja selepas PRU14 dulu? Polis baru menahan tetapi sudah dianggap tidak bersalah.
Kenyataan Guan Eng itu seolah-olah menafikan ketelusan dan kewibawaan pihak polis dalam tugas membanteras pengganas. Sepatutnya Guan Eng menyerahkan kes itu kepada polis untuk menjulang rule of law, pada masa yang sama bekerjasama dengan polis.
Kenyataan Guan Eng ini juga menguji ketegasan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu menegakkan undang-undang tanpa berkompromi. Menahan dua pemimpin DAP adalah kewibawaan polis melaksanakan rule of law tanpa gentar kepada mana-mana pihak.
Sementara Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya dua pemimpin DAP itu dibebaskan atau didakwa di mahkamah. Kedua-dua mereka boleh ditahan selama 28 hari di bawah SOSMA.
Tindakan Kit Siang telah membelakangkan keperluan polis untuk menahan 28 hari bagi tujuan siasatan. Ini sangat ketara perjuangan politik hanya untuk kepentingan DAP. Polis mesti bertegas dan jangan kompromi demi keselamatan negara.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, “Saya tidak pasti apakah motif di sebalik penahanan ini. Ia tentu sekali membangkitkan banyak persoalan kerana di Sri Lanka sekalipun, ia tidak lagi wujud. Di peringkat antarabangsa juga, rangkaian antarabangsanya dibubarkan kerana semua pemimpin sudah terkorban banyak tahun lalu dalam perang saudara.”
Santiago kelihatan mewujudkan persepsi bahawa penahanan dua pemimpin DAP itu dibuat kerana perkauman apabila menyamakan LTTE dengan pejuang Palestin. Malaysia tidak melabelkan pejuang Palestin sebagai pengganas. Bagaimanapun perbandingan itu berada dalam konteks yang salah sama sekali.
Bayangkan ceteknya perbandingan yang digunakan untuk mewajarkan LTTE bergerak bebas di negara ini dengan membawa isu pejuang Palestin. Ini menunjukkan mereka tidak memahami atau sengaja tidak mahu faham isu Palestin sejak 1948 dulu. Antara pejuang Palestin dan LTTE bagaiman langit dengan bumi – jauh sangat perbezaannya.
Semalam Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media di Bukit Aman memberitahu, polis telah menahan tujuh pemimpin India termasuk dua pemimpin DAP.
Pemimpin DAP yang ditahan itu ialah Exco Melaka, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran. Semua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA.
“Mereka (penganjur progran LTTE) anjurkan secara terbuka, tuan-tuan boleh tengok yang ditayangkan seperti mencabar pihak polis, polis konsisten. Daripada mana mereka terlibat dalam keganasan pasti kita tangkap, hanya masa menentukannya,” tegas Ayob mengenai video acara LTTE yang tular dan turut memaparkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy sebagai antara tetamu di program itu.
Beliau menambah, ini bukan lagi amaran tetapi adalah tindakan menangkap mana-mana individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengganas LTTE. Polis telah menjejaki kegiatan LTTE di negara ini sejak 2014 lagi.
Video yang tular di media sosial itu mencetuskan kebimbangan kerana LTTE sebuah pergerakan yang diwartakan pengganas oleh banyak negara termasuk negara ini. Acara yang diadakan secara terbuka itu dilibat cuba mencabar pihak berkuasa negara ini.
LTTE diketuai V Prabhakaran telah melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.
Difahamkan kempen keganasan LTTE ini mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil di luar negara yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.
Bagaimanapun LTTE dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka. LTTE masih disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.
Ketegasan Ayob sangat menyakinkan supaya jangan ada pihak main-main dengan polis. Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa dipengaruhi oleh mana-mana ideologi politik. Ayob telah memberikan isyarat yang jelas kepada sesetengah pihak dalam politik supaya jangan mencabar polis.
Pada masa sama harap semua pihak terutama dalam kalangan politik tidak memberikan gambaran buruk kepada polis. Ini dilakukan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud polis tidak berwibawa mengendalikan kes keselamatan seperti ini dan mendesak individu disyaki dibebaskan.
OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN