OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

KUALA LUMPUR  27 SEPTEMBER, Keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa kematian anggota bomba Mohammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah telah memberi kelegaan – bukan sahaja keluarga tetapi mereka yang mengikuti perkembangan kes ini dengan pengertian yang dalam. 

Setidak-tidaknya langkah pertama memperjuangkan keadilan untuk Adib sudah tercapai. Ibarat bab pertama dari sebuah novel thriller yang tebal dan cukup kompleks plotnya. Jalan masih panjang dan berliku untuk tiba pada penamatnya.

Adib telah mengalami cedera parah dalam rusuhan di kuil Hindu Sri Maha Mariamman, Subang Jaya November tahun lalu dan meninggal dunia 21 hari selepas itu. Bagaimanapun kematiannya mencetuskan kontroversi apabila empat tahanan reman terakhir dibebaskan dengan jaminan polis. Timbul persoalan, apakah yang menjadi sebab kematiannya?

Koroner Rofiah Mohamad (Gambar Bernama)

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues  selama 41 hari bagi menentukan punca kematian  Adib berkata,  mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari kenderaan bomba pada masa kejadian.

Dr Shahrom umpama membawa kunci untuk membuka misteri kematian Adib. Peguam bagi keluarga Adib, Syazlin Mansur membawa Dr Shahrom sebagai saksi pakar yang akhirnya mahkamah menerima keterangannya dalam prosiding inkues ini.

Syazlin Mansur (Gambar Harian Metro)

“Kecederaan ‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi akibat perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu,” kata Rofiah.

Keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam itu juga membuktikan teori awal sebelum inkues  ditubuhkan adalah tepat. Kerana itu banyak pihak terkejut dengan tindakan polis membebaskan empat tahanan reman tersebut.

Sebelum inkues dijalankan ada sesetengah pihak pula telah membina persepsi bahawa Adib dilanggar oleh kenderaan bomba walaupun dinafikan oleh rakan-rakan yang berada di tempat yang sama ketika itu. Muslihat apakah yang mendorong wujudnya persepsi sedemikian rupa, hanya mereka yang tahu.

Hingga suatu tahap seolah-olah teori Adib dilanggar  kenderaan bomba diterima sebagai faktor kematian anggota bomba itu. Sekali pandang benarlah ini satu kemalangan bukan perbuatan jenayah kerana tidak ada saksi yang melihat kejadian itu.

Advertisement

Semasa inkues berlangsung, tidak lama selepas Dr Shahrom memberi keterangan bahawa kematian Adib bukan dilanggar kenderaan bomba,  Peguam Negara Thommy Thomas mengarahkan supaya Syazlin yang juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikeluarkan daripada prosiding inkues ini.

Dr Shahrom adalah saksi yang dibawa oleh Syazlin. Ketiadaan Syazlin bermakna khidmat Dr Shahrom sebagai saksi juga berakhir.  Keterangan Dr Shahrom bertentangan dengan beberapa saksi pakar lain yang merumuskan Adib dilanggar kenderaan bomba.

Dalam lingkungan masa yang sama juga Peguam Negara mengeluarkan kata-kata  bahawa Adib bukan mati dipukul,  padahal inkues sedang berlangsung untuk mencari sebab kematian mangsa.  Keluarga Adib telah memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Peguam Negara kerana menghina mahkamah.

Zainal Rijal Abu Bakar (Gambar Malaysia Gazette)

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar  berkata, sejak awal lagi Peguam Negara sudah diminta bertindak pantas menyelesaikan kes berkenaan, namun beliau memilih jalan ‘jauh’ untuk  diselesaikan.

“Apakah ada agenda tertentu yang mahu dilaksanakan? Sudah ada perintah Mahkamah Tinggi Sivil mengenai pertikaian kes kuil tersebut, sudah ada persetujuan dan keputusan. Sekarang Koroner juga telah membuat keputusan. Jadi tunggu apa lagi?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kini selepas mahkamah memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah dan dilakukan pula oleh lebih seorang,  rakyat sedang memerhati dan menunggu tindakan seterusnya oleh Jabatan Peguam Negara dan pihak polis. Pada masa yang sama diharap tidak ada unsur-unsur yang menjurus campur tangan politik yang boleh menganggu kerja polis mencari pembunuh Adib.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *