
Oleh Ku Seman Ku Hussain
BARU-BARU ini sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat, Anthropic mendakwa wujudnya 1,000 akaun X palsu, sebuah portal berita rekaan dikenali sebagai Malaysia Pulse dan beberapa dossier yang mengandungi maklumat palsu. Akaun itu didakwa menggunakan AI mensasarkan sejuta tontonan palsu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anthropic adalah syarikat yang membangunkan Claude, model AI generatif dan chatbot yang menjadi pesaing pada ChatGPT. Syarikat itu mendakwa telah mengenal pasti dan menutup akaun yang menggunakan Claude. Akaun itu digunakan untuk mengendalikan platform manipulasi politik pilihan raya yang disasarkan kepada pengguna di Malaysia.
Sebenarnya perkara yang lebih besar dan membimbangkan daripada pendedahan itu bukanlah 1,000 akaun X palsu atau sasaran sejuta tontonan palsu menyokong Perdana Menteri. Sebaliknya tentang wujudnya manipulasi politik terancang yang menggabungkan AI, data pengundi dan portal berita palsu.
Kalau benar seperti yang didakwa, negara kita sudah terjerumus dalam manipilasi demokrasi – nampak demokratik tetapi tidak organik. Pilihan raya tidak lebih ritual dan pilihan sebenar bukan di peti undi. Sentimen pengundi di peti undi dimanipulasi lebih awal secara terancang di media sosial.
Keadaan itu menunjukkan kempen menjelang pilihan raya dan manifesto yang berjela-jela tidak lebih sebuah ilusi untuk menunjukkan demokrasi masih hidup. Tetapi hakikatnya demokrasi sudah mati apabila proses menuju ke peti undi sudah dimanipulasi lebih awal.
Bayangkan apabila pengundi disogok maklumat palsu melalui berita palsu dan portal berita palsu. Salah satu tanda aras demokrasi adalah keadilan dalam akses maklumat yang tulen. Maklumat mempengaruhi pengundi membuat pilihan di peti undi. Maklumat menjadi asas yang menentukan sama ada demokrasi itu tulen atau telah dimanipulasi.

Pendedahan Anthropic membuka persoalan besar tentang kaedah sesuatu pengaruh politik itu dibina kemudian disampaikan kepada rakyat. Selama ini manipulasi politik digerakkan oleh manusia melalui cybertrooper atau penyebar berita palsu. Tetapi kini tugas itu dilakukan oleh mesin AI pada skala yang besar.
Lebih membimbangkan lagi apabila AI didakwa digunakan untuk mengendalikan rangkaian akaun palsu, menyasarkan pengundi berdasarkan kawasan, menghasilkan kandungan politik, mengelakkan dikesan dan membina dossier yang mengandungi maklumat palsu.
Hal itu menunjukkan manipulasi politik sudah bergerak jauh di depan – tidak lagi bergantung kepada tenaga manusia. Kalau pun belum berlaku di negara ini tetapi sudah ada di negara lain. Mesin AI mampu menghasilkan kandungan politik palsu dalam jumlah besar pada kepantasan yang tidak tertanding oleh manusia. Naratif diubahsuai dan disebarkan kepada ribuan akaun dalam masa yang singkat.
AI menepati sasaran yang lebih tepat dan bersifat peribadi dalam skala yang besar. Kalau propaganda konvensional ditujukan kepada kelompok, AI mensasarkan individu mengikut data yang dijejak di media sosial. Manipulasi menjadi lebih berkesan apabila menepati kecenderungan pengguna yang disasarkan.
https://theedgemalaysia.com/node/817799
Setiap pengundi mungkin menerima mesej yang berbeza berbanding pengundi lain berdasarkan data peribadi, kawasan, latar belakang, isu yang diminati dan perkara yang memagut emosinya. Pengundi Melayu mungkin menerima naratif tentang agama. Pengundi Cina mungkin tentang ekonomi atau hak kaum berkenaan yang menjadi teras perjuangan politik.
Akhirnya yang wujud bukan lagi satu realiti politik, tetapi ribuan malah jutaan manipulasi politik yang disesuaikan kepada kelompok dan individu berbeza. Hal inilah yan menjadikan AI sangat berbahaya apabila digunakan tanpa etika dalam politik. Pihak yang menggunakan AI mempunyai kelebihan membina pengaruh dan kepercayaan umum.
Mungkin ada yang bertanya siapakah yang menyediakan data kepada AI? Siapa lagi kalau bukan pengguna media sosial sendiri. Semua yang diklik, ditonton, cari, suka atau tidak dalam akaun media sosial meninggalkan jejak. Jejak itu adalah data yang kemudiannya ‘diestrak’ untuk meramalkan minat, kecenderungan dan tingkah laku.
Data mempunyai nilai ekonomi yang tinggi di pasaran komersial atau politik. Pihak yang menguasai data dan algoritma adalah pemilik-pemilik firma teknologi AI. Mereka itulah yang menguasai dunia apabila data lebih bernilai daripada emas – data adalah kuasa yang boleh menentukan kedudukan politik dan ekonomi.
Dakwaan mensasarkan sejuta tontonan palsu menyokong Perdana Menteri tidak semestinya benar. Hal itu kerana populariti digital tidak semestinya membawa pada populariti politik. Bagaimanapun angka tontonan sesuatu kandungan yang dipaparkan berperanan mencipta ilusi kepada pengguna.
Sesuatu kandungan yang mendapat jutaan tontonan dianggap sebagai suara majoriti. Padahal jumlah itu boleh jadi hanya rekaan sistem AI untuk membina persepsi bahawa itu suatu pandangan mendapat sokongan meluas. Dalam politik persepsi jauh lebih penting berbanding realiti. Salah satu kaedah mencipta persepsi adalah memanipulasikan isu berkaitan politik.
Kandungan yang mendapat jutaan tontonan, puluhan ribu tanda suka dan ribuan komen, dengan sendirinya dianggap pendapat majoriti. Itulah persepsi. Memanipulasi angka-angka itu bertujuan mengubah persekitaran maklumat sebenar yang membentuk fikiran pengundi.
Maka yang terbina adalah persekitaran maklumat yang telah dimanipulasi oleh teknologi. Apabila pengundi dibanjiri maklumat palsu sebelum membuat keputusan politik, pilihan yang dibuat itu kelihatan bebas, tetapi sudah dimanipulasi. Keputusan itu tidak organik kerana dipengaruhi ekosistem maklumat yang dipesongkan. Hal inilah yang menjadikan persoalan demokrasi pada zaman AI sangat kompleks.

Dakwaan mengenai kewujudan portal Malaysia Pulse juga perlu diberi perhatian serius. Akaun palsu mudah dicurigai. Tetapi portal berita palsu yang kelihatan tulen jauh lebih berbahaya. Apabila berita yang asalnya benar dipindahkan dalam ekosistem palsu akhirnya membentuk naratif yang salah.
Di sinilah rakyat perlu memahami bahawa masalah berita palsu bukan semata-mata berita yang tidak benar. Ada juga berita benar menjadi palsu apabila dipesongkan konteksnya. Tujuannya untuk membina maksud yang menyimpang daripada asal. Dalam kewartawanan perbuatan itu disebut ‘spin’ – berita benar yang dpesongkan konteks asalnya.
Hari ini wartawan portal berita dan surat khabar bukan sahaja bersaing dengan media sosial, tetapi juga berdepan mesin AI yang mampu menghasilkan ribuan artikel dalam masa yang singkat. Sebab itulah wartawan dan kewartawanan beretika terus menjadi teras penting pada era AI Dalam persekitaran kehidupan yang dipenuhi kandungan sintetik, kredibiliti wartawan menjadi tanda aras yang penting kepada media.
Politik pula sudah tidak lagi menjadi medan mempertarungkan idea, tetapi ruang membentuk persepsi dan membina naratif yang selari dengan kepentingan. Apabila persepsi dibina oleh kecenderungan yang tidak beretika, demokrasi pun smenuju ke jalan kematiannya.
Akhirnya pendedahan Anthropic tidak boleh dipandang ringan. Sama ada benar atau sebaliknya, pendedahan itu adalah amaran awal menangani manipulasi politik menggunakan AI. Pihak berkuasa komunikasi dan digital tidak cukup sekadar menafikan, tetapi mendirikan benteng pertahanan.
Pihak berkuasa tidak boleh menunggu lama sehingga pilihan raya untuk memikirkan tentang dakwaan manipulasi politik. Pada era AI manipulasi boleh menyamar sebagai berita, pendapat, sokongan rakyat bahkan sebagai suara daripada diri sendiri.
Itulah cabaran demokrasi yang sebenarnya. Bukan sekadar siapa yang menang pilihan raya, tetapi adakah rakyat membuat pilihan berdasarkan realiti yang berlaku di sekeliling kehidupan mereka. Demokrasi menjadi tidak bermakna kalau hanya ditumpukan pada peti undi, sedangkan perjalanan menuju ke peti undi terbuka pada manipulasi. –KAYANG POST