Khalid Yunus (tiga dari kanan) pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pagi tadi.

KUALA LUMPUR,  14 OKT –  Mantan-mantan petugas Utusan Melayu (M) Bhd hari ini menyatakan kebimbangan terhadap nasib 800 petugas apabila  syarikat itu ditutup secara mendadak selepas memberikan surat perkeliling tidak sampai 24 jam pada 9 Oktober lalu.

Oleh yang demikian mereka menggesa Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat itu menepati peruntukkan dalam Akta Pekerjaan atau sebarang akta yang berkaitan.

Pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini,  Tan Sri Khalid Yunus yang mewakili mantan petugas Utusan Melayu berkata,  tindakan memberhentikan operasi syarikat dengan cara demikian sebenarnya menyelamatkan puluhan juta ringgit pemilik baru yang tidak perlu melakukan skim VSS atau MSS.

Penutupan Utusan Melayu dilakukan selepas  anak syarikat, Dilof Sdn Bhd yang memegang lesen mencetak semua akhbar terbitan Utusan Melayu  iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad menjual 70 peratus pegangan kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

Turut hadir pada sidang media itu ialah mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Tan Sri Johan Jaaffar, mantan Pengurus Jabatan Pengarang, Roseminah Ahmad, mantan wartawan Utusan Melayu Tan Sri Suleiman Mohamed, mantan pegawai Jabatan Pengarang Roslee Azmi dan mantan Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Menurut Khalid, pihaknya bimbang tindakan begini akan menjadi ikutan bagi syarikat lain yang mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah tanpa memikirkan kepentingan dan hak petugas.   Difahamkan semua 800 petugas Utusan Melayu hanya akan menerima pampasan sebulan gaji sahaja.

“Kami  menggesa agar syarikat mengambilkira kebajikan petugas yang diberhentikan dengan menimbang untuk diberikan pampasan lain yang difikirkan perlu selain sebulan gaji. Kami juga mahukan syarikat melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini,” tegas Khalid.

Mantan petugas Utusan Melayu kesal kerana tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat sama sekali tidak mengambilkira kepentingan petugas yang telah memberikan dedikasi dan khidmat cemerlang pada syarikat  selama ini.

Tindakan ini  memperlihatkan  kegagalan pemilik  Utusan Melayu yang mengambilalih syarikat ini  daripada UMNO untuk memperbaiki keadaan serta  memberi nilai tambah pada Utusan Melayu. 

“Apakah muslihat mengambil alih syarikat sekiranya dari awal mereka tahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, malah memburukan lagi keadaan?”  ujar Khalid.  

Kini Utusan Melayu telah berkubur dan Aurora Mulia hanya menyelamatkan jenama akhbar milik Utusan Melayu bukan syarikat Utusan Melayu.

Berikut adalah kenyataan media penuh Tan Sri Khalid Yunus yang mewakili mantan-mantan petugas Utusan Melayu berhubung isu pemberhentian perniagaan syarikat Utusan Melayu pada 9 Oktober 2019.

++++++

Kami yang tercatat namanya di bawah ini mewakili mantan petugas syarikat Utusan Melayu, termasuk ahli-ahli Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM).

Apa yang berlaku pada Utusan Melayu sudah tentu memeranjatkan kami. Kami tidak pernah menjangka bahawa syarikat yang berusia 80 tahun ini akan berakhir dengan cara begini. Syarikat ini diasaskan  pada tahun 1939 oleh Allahyarham Yusof Ishak dan Bapa Kewartawan Melayu,  Abdul Rahim Kajai.

Melalui akhbarnya yang pertama,  Utusan Melayu dalam tulisan jawi, ia menjuarai kepentingan orang Melayu dan telah menjadi suara yang dihormati dan digeruni. “Brand Utusan” merupakan sesuatu yang unik yang meletakkan  syarikat itu sebagai syarikat akhbar Melayu yang utama di negara ini.

Dengan pemberhentian perniagaan syarikat ini maka sia-sialah segala hasil penat lelah, keringat dan air mata pengasas, pejuang dan mereka yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu sejak 80 tahun yang lalu. 

Ironinya syarikat yang dianggap “suara keramat orang Melayu”  ini gulung tikar secara rasmi tiga hari selepas Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6hb Oktober 2019.  

Kami memahami apa yang berlaku pada industri media khususnya yang membabitkan  persuratkhabaran pada masa ini. Hampir semua akhbar menghadapi masalah. Kami faham bahawa akhbar terbitan syarikat ini, baik Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan kedua-dua edisi Kosmo untuk harian dan mingguan menghadapi masalah jualan dan pendapatan iklan.

Kami tidak berniat untuk menuding jari mencari siapa yang bertanggungjawa menyebabkan syarikat Utusan Melayu dan akhbar terbitannya berada pada kedudukan hari ini. 

Pada 9hb Oktober yang baru lalu, petugas Utusan Melayu dikejutkan dengan memorandum dari Pengerusi Eksekutif syarikat yang memaklumkan tentang pemberhentian operasi perniagaan syarikat.

Memorandum itu menyebutkan bahawa Lembaga Pengarah  “telah  pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang  (Creditors’ Voluntary Liquidation). Memorandum itu juga menyebutkan bahawa UHY Advisory (KL) Sdn Bhd telah dilantik sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).”

Memorandum itu juga memaklumkan bahawa  tarikh akhir bekerja bagi petugas adalah Rabu, 9 Oktober 2019. 

Dengan memorandum itu, berkuburlah syarikat Utusan Melayu. Juga tamatlah pekerjaan bagi lebih 800 orang petugas Utusan pada masa ini. 

Kami difahamkan bahawa syarikat tidak ada opsyen yang lain melainkan tindakan drastik ini. Kami percaya Lembaga Pengarah telah memikirkan pelbagai opsyen lain bagi menyelamatkan syarikat ini tetapi gagal.

Bagaimanapun apa yang kami kesalkan ialah tindakan ini sama sekali tidak mengambilkira kepentingan petugas yang telah memberikan dedikasi dan khidmat cemerlang pada syarikat  selama ini.

Tindakan ini juga memperlihatkan  kegagalan pemilik yang mengambilalih syarikat ini untuk memperbaiki keadaan serta  memberi nilai tambah pada Utusan Melayu. 

Apakah muslihat mengambil alih syarikat sekiranya dari awal mereka tahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, malah memburukan lagi keadaan?

Kami juga mendapat kesan bahawa pihak pengurusan baharu hanya berminat untuk menyelamatkan lesen Utusan Malaysia dan edisi Ahadnya serta Kosmo dan edisi Ahadnya kerana kesemua “brand” itu ada nilai ekonominya.

Kami kesal bahawa perhatian nampaknya kurang diberikan pada 800 petugas sedia ada. Sayogia diingat bahawa 800 orang lain telah mengambil VSS (Pemberhentian Kerja Secara Sukarela) sebelum ini.

Seramai 1,600 orang terjejas dengan pemberhentian kali ini dan mereka yang mengambil VSS,  menjadikan lebih kurang 6,400 orang petugas dan anggota keluarga terjejas. 

Berikut adalah pandangan kami:

1.        Kami menggesa  Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat berbuat demikian mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan (Employment Act) atau sebarang akta berkaitan yang sedia ada. Kami khuatir ia akan menjadi precedent bagi syarikat lain mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah mereka. Tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat cara ini ini akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlku melalui proses VSS atau MSS (Mutual/Mandatory Separation Scheme).

2.        Kami juga menggesa agar syarikat mengambilkira kebajikan petugas yang diberhentikan. Mereka tidak hanya perlu dibayar gaji tertunggak selama ini, serta gaji sehingga tarikh akhir bekerja pada 31 Oktober 2019, tetapi menimbangkan pampasan lain yang difikirkan perlu. Kami juga mahukan syarikat melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini. 

3.        Kami juga meminta agar dipertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran graduiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu. 

4.        Kami meminta syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bertindak telus dengan membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan asset untuk tujuan membayar hutang. Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku.

5.        Kami meminta agar syarikat baharu yang mengambilalih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan mantan wartawan Utusan sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu. 

Dengan ini, kami meminta semua petugas syarikat yang terjejas dengan pemberhentian ini agar bersabar dalam menghadapi cabaran getir ini. Kami mendoakan mereka dirahmati Allah dan diberikan hidayah serta petunjuk pada waktu yang sukar ini.

Sekian, terima kasih.

Tan Sri Khalid Yunus

Tan Sri Suleiman Mohamed

Tan Sri Johan Jaaffar

Encik Azim Aras

Datuk Rosnah Majid

Puan Roseminah Ahmad

Encik Rosle Azmi

Encik Ku Seman Ku Hussain.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *