KUALA LUMPUR, 16 OKT – Manuskrip Melayu klasik bukan bersifat eksklusif untuk golongan tertentu sahaja sebaliknya merupakan hak semua orang untuk dibaca, dikaji dan diwacanakan dari masa ke masa oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk menyingkapkan nilai-nilai sejarah dan ketamadunan Melayu.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Maizan Ismail berkata, walaupun bahasa tulisannya tinggi dan klasik larasnya yang memerlukan ilmu filologi dan transliterasi untuk memahami tetapi tetapi bukan halangan untuk masyarakat umum menghayatinya.
“Atas sebab itulah saya yakin dengan penambahbaikan berterusan dalam kaedah pengajaran bahasa Melayu dan tulisan Jawi di institusi pendidikan di negara kita boleh meningkatkan lagi kecintaan generasi hari ini kepada manuskrip Melayu, ” kata Maizan ketika memberikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa dan Pameran Manuskrip Melayu di PNM semalam.
Perasmian dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi.
Bermula semalam hingga esok, PNM menganjurkan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu yang menampilkan 30 orang pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara.
Ini termasuk sembilan pembentang kertas kerja daripada luar negara antaranya pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan Brunei. Sementara 21 pakar dalam negara yang menguasai variasi bidang berkongsi dapatan penyelidikan mereka dalam persidangan ini.
Menurut Maizan, sehingga kini PNM menyimpan 4,964 naskhah manuskrip Melayu dan usaha untuk menambah bilangan manuskrip ini sentiasa dijalankan dari masa ke masa.
“Ini untuk meningkatkan semangat menghargai dan menghayati manuskrip Melayu sebagai khazanah warisan negara maka usaha mencari, meneroka, menyelidik, dan menyebar ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu dari pelbagai aspek seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, politik dan bahasa harus diteruskan dari semasa ke semasa,” tegasnya.
Beliau memberitahu, penganjuran persidangan ini bertepatan dengan peranan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Malaysia bermula tahun 1985, dan sentiasa berusaha memperluaskan peranan dalam mendidik dan memupuk minat masyarakat supaya menghargai dan menghayati manuskrip Melayu.
Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019 bertemakan “Aksara, Naskhah dan Tamadun Alam Melayu” antara lain turut bertujuan mendedahkan sejarah awal perkembangan intelektual bangsa Melayu melalui penciptaan sistem tulisan, rakaman pelbagai epistemologi ilmu ke dalam bentuk manuskrip Melayu.
Serentak dengan persidangan manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia juga menganjurkan pameran manuskrip Melayu di ruang legar Perpustakaan Negara Malaysia selama dua bulan berakhir pertengahan Disember depan.
Ini bertujuan memberi pemahaman dan penghayatan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda mengenai peri pentingnya manuskrip Melayu sebagai sumber rujukan autentik, beragam dan merupakan sebuah manifestasi naratif bangsa Melayu yang mewakili akal budi, sosio-budaya serta rakaman intelektual dan budaya tinggi bangsa Melayu.