Puisi ini ditulis oleh Dr Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan beliau deklamasikan malam tadi 1 November di Malam Puisi Pena di Rumah Pena.

Puisi ini memang menyakitkan hati kerana Melayu memberi nasibnya dipegang orang lain. Itulah sikap sesetengah Melayu yang berada di atas sana, dulu dan sekarang.

KERANA ENGKAU MELAYU

Nasiblah engkau Melayu,
terpuruk di sudut dapur
ruang depan untuk tetamu
yang dimuliakan
oleh janji dan harapan.
Kita dahulukan tetamu dari jauh
kerana mereka membawa utusan asing
kumandang suaranya lebih kuat
secubit hinggap di tubuh mereka
rumah ini bergegar
dan kita akan dimalukan.

Jangan kausakiti mereka
walau dengan lontaran kata
mereka makhluk suci
kebal daripada hukum dan denda.

Advertisement

Kerana engkau Melayu
jangan sesekali makan nasi di periuk
walaupun padinya dari tanah bapamu
tunggulah sisa yang dihantar pada lewat malam.

Kalau tetamu bergendang sepanjang masa
mengganggu tidurmu
biarkanlah
mereka punya hak dan kebebasan.

Kalau tubuhmu dilukakan
bertahanlah
luka itu akan sembuh juga
mereka tidak boleh dihukum apa-apa
dan engkau perlu menderita.

Kerana engkau Melayu
diam-diamlah
terimalah
dan terimalah nasibmu
di sudut dapur yang gelap gelita.

Saleeh Rahamad 23 Julai 2014

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *