OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Sebuah kisah seorang ayah memberhentikan anak-anaknya dari belajar di sekolah kerana tidak memberikan keuntungan pada setiap yang dilaburkan – yuran, belanja pengangkutan dan makan anaknya di sekolah.  

Ayah itu menganggap dirinya bijak kerana dari sudut ekonomi  dia berjaya menjimatkan banyak wang dari mengalir keluar tanpa mendatangkan pulangan dalam bentuk wang juga.  

Dia mempunyai kecerdikan dari segi ekonomi.  Tetapi tidak melihat memberi ilmu kepada anak-anak ilmu sebagai persiapan melahirkan modal insan (human capital)  atau ahli masyarakat yang mempunyai akhlak dan tinggi daya pemikirannya.

Pada masa sama di satu sudut dunia, sebuah institusi intelektual akan dikecilkan bidang operasinya. Seperti ayah tadi, pengecilan operasi dilihat menguntungkan segi ekonomi walaupun merencatkan proses keilmuan dan pembinaan manusia. Itulah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang akan dikecilkan pada bidang terjemahan sahaja.

ITBM banyak menyumbang kepada industri buku dan keilmuan.

Sejarah ITBM  sangat menarik, bermula dengan bahagian terjemahan di DBP kemudian dipertingkatkan menjadi institut terjemahan bertaraf nasional. Ditingkatkan lagi menjadi institut terjemahan dan penerbitan buku di negara ini.  

Secara purata sebelum 2018  ITBM menerbitkan 360 judul buku setahun atau sehari sebuah buku pelbagai genre dan bidang –  dari sastera hingga bercorak ilmiah.  Dari karya asli hingga karya bahasa asing di dunia. Dengan tindakan tumpul ‘kerajaan’,  secara mendadak dunia perbukuan tempatan kehilangan 360 judul setahun.  Syabas.

Inilah ‘pembaharuan’ yang akan dilakukan lagi.  Mengecilkan yang besar dan merendahkan yang tinggi. Kalau inilah pembaharuan dalam ‘Malaysia Baru’  yang dijaja itu,  buat sajalah.  Katak di bawah tempurung tidak akan percaya ada langit yang luas.

Sebenarnya tulisan ini bukan untuk merayu supaya ‘kerajaan’ yakni Kementerian Kewangan mengubah keputusan mengecilkan operasi ITBM. Tidak sama sekali. Tulisan ini sekadar berceloteh mengenai ilmu yang disampaikan dengan buku melahirkan manusia berkualiti  dan ada  nilai ekonomi. Tidak ambil kesah pun tidak mengapa.

Keputusan ‘kerajaan’ ini tentunya bertolak daripada perkiraan ringgit dan sen yang mesti dikutip dari ITBM.  Institusi seperti ITBM,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  stesen televisyen TV AlHijrah misalnya  awal-awal lagi kalah kalau disukar dengan neraca ekonomi. 

Tetapi untuk menjadi negara maju, ringgit dan sen hanya sebahagian daripada sukatannya. Kualiti modal insan akan menjadi tanda arasnya.  Institusi yang tidak menjana ekonomi bukan gagal kecuali ‘kerajaan’ kurang memahami pentingnya modal insan yang berkualiti – dari segi akhlak dan intelektual.

Puisi-puisi penyair Rumi yang diterjemah dan diterbitkan oleh ITBM

Michael Hart dalam buku The Hundered Most Influential Persons In History meletakkan penemu kertas, Ts’ai Lun pada zaman Raja Ho Ti tahun 105 Masihi dan penemu mesin cetak, Johan Guternburg di tangga ketujuh.

Tetapi akhirnya Hart mengekalkan Ts’ai di tempat ketujuh kerana kewujudanya lebih awal berbanding Gutenburg.  Tetapi mesin cetak tetap penting untuk menghasilkan buku. Kewujudan dua manusia ini mengubah lanskap bidang keilmuan di dunia; penemuan kertas dan mesin yang boleh mencetak kertas menjadi buku. 

Di sinilah bermulanya bidang penerbitan buku, kemudian mewujudkan industri perbukuan di seluruh dunia. ITBM adalah kelangsungan yang ditemui oleh Ts’ai dan Guternburg.  

Langkah ‘kerajaan’ kelihatan sangat berlawanan dengan gerakan yang berkembang di seluruh dunia mengenai perbukuan. Lebih ironi lagi tahun 2020 Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu kota buku dunia, tetapi “kerajaan”  memilih meraikan dengan mengecilkan penerbitan buku. Aduhai negaraku.

Di negara maju orang tidak lagi bercakap tentang ‘membaca’  tetapi membaca buku paling baru diterbitkan, yakni masing-masing berlumba mahu membaca buku yang orang belum membacanya.  Maknanya bidang penerbitan buku sentiasa menuntut pertambahan di segi kuantiti dan juga kualiti.  

Pengarang kontemporari Jepun, Haruki Murakami pernah berkata, “Kalau anda hanya membaca buku yang orang lain juga sudah membaca, anda hanya berfikir sama dengan orang lain.”  Kalau hendak baca buku terbaru, sektor penerbitan mesti dipertingkatkan atau setidak-tidaknya dikekalkan, bukan dikecilkan.

Pihak yang mengusulkan pengecilan operasi ITBM perlu menghadamkan pesanan Frank Lebowitz supaya, “Berfikir sebelum berkata-kata dan membaca sebelum berfikir.”  Adakah pihak yang bertanggungjawab mengecilkan ITBM  membaca buku kerana  perancangan dan kata-kata mereka seperti orang yang tidak berfikir?

Perkembangan  (barangkali agenda) yang berlaku ini adalah berlawanan dalam keadaan dunia yang semakin maju serta berdaya saing.  Sewajarnya industri buku diberi sokongan supaya menjadi semakin besar dan buku bahasa Melayu menjadi gedung ilmu.  

Buku ITBM yang belum dijual dianggarkan bernilai RM10.95 juta.  Bayangkan kalau ‘kerajaan’ membeli kemudian  diedarkan dengan harga subsidi untuk  menyumbang kepada pembangunan keilmuan. ITBM sebenarnya banyak menyumbang ke arah meningkatkan jumlah buku berbahasa Melayu sebagai gedung ilmu.  

Di sini ada sebuah kisah tentang buku  yang rakyat perlu hadam, faham kemudian berfikir yang tersiratnya.  Kisahnya mengenai tentera Tartar yang menyerang Damsyek pada tahun 699 Hijrah.  Antara tindakan mereka ialah memusnahkan perpustakaan.  Kenapa? 

Sebabnya perpustakaan menyimpan banyak buku yang dalamnya ada  pelbagai  ilmu yang boleh membakar semangat orang Islam mempertahankan agama dan negara. Malah buku menjadikan orang Islam cerdik dan pandai.  Maka untuk melemahkan orang Islam, musnahkan buku terlebih dulu.  Fahamkan.

Bagaimana masa depan ITBM? Di bawah penguasa yang tumpul ilmu dan akal, ITBM tidak ada masa depan. ITBM hanya ada masa silam yang gemilang.

Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “ITBM dan kisah serangan tentera Tartar”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *