“Ada dalam kalangan kita segan hendak menggunakan perkataan bahasa Melayu, misalnya ‘nanti saya call ya’. Kenapa kita tidak guna ‘nanti saya panggil ya’ atau ‘nanti kita lunch ya’ daripada ‘nanti kita makan tengah hari ya’,” kata Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim, sebagaimana laporan Bernama hari ini.

Beliau yang terkenal dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di tanah air juga menyeru kepada semua bangsa terutama Melayu supaya menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tidak mencampuradukkannya dengan perkataan bahasa Inggeris.

Tan Sri Dr Rais Yatim (Gambar NSTP)

Menurut Rais lagi, walaupun secara dasarnya hanya empat peratus penggunaan perkataan bahasa Inggeris digunakan dalam satu ayat bahasa Melayu, ia secara tidak langsung mampu merosakkan keaslian bahasa ibunda yang mempunyai banyak pilihan perkataan untuk digunakan.

Bagi Rais, peranan memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak antaranya warga pendidik, individu dan juga pemimpin di negara ini.

“Pemimpin negara perlu menutur atau berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan betul dan lebih baik kerana mereka adalah contoh terdekat dalam kalangan rakyat,” katanya selepas merasmikan Wacana Ilmuwan dan Seniman sempena Pertemuan Selat Melaka di Melaka Tengah, semalam.

Advertisement

Selain bahasa, saranan Rais supaya budayawan dan sejarawan mengkaji dan menilai semula sejarah dan sosiobudaya Melayu pada sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara ini boleh dilihat sebagai usaha menyuburkan semula jati diri anak bangsa yang semakin layu di negara ini.

Sila like fb page kuseman.com

Banyak perkara terutama aspek budaya yang sepatutnya dimartabatkan sebagai satu khazanah dan peninggalan sejarah diabaikan selepas kedatangan Islam, sedangkan ia tidak ternilai berikutan mempunyai kekuatan tersendiri melibatkan kepentingan masyarakat Melayu.

“Kita jangan buang kekuatan yang kita ada sebelum (kedatangan) Islam. Ia boleh diteroka untuk generasi akan datang kerana sebelum Islam, Melayu sudah agung, diiktiraf dan berjaya membina sosiobudaya yang kuat,” tegasnya. 

Rais menamakan Indonesia sebagai negara contoh terbaik dalam usaha mengiktiraf sejarah, sosiobudaya dan bahasa sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara itu kerana sikap mereka yang sangat menghormati tinggalan sejarah Candi Borobudur yang dibina pada abad kelapan dengan memelihara serta mencantikkannya untuk generasi akan datang.

“Berbeza dengan rakyat negara ini seolah-olah Melayu wujud selepas kedatangan Islam,” katanya dengan sinis.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *