ACARA penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) berlangsung dengan penuh meriah dan gilang gemilang. Sasterawan, penulis dan aktivis dalam bidang ini diraikan, sementara yang menang bukan pulang dengan trofi atau sijil sahaja. Ada diiringi wang tunai.
HSPM dalam konteks dunia sastera kita adalah Academy Awards. Tetapi kurang diambil peduli oleh khalayak di luar dunia sastera dan budaya. Acara ini seolah-olah tidak memberi isyarat gemilang dunia kesusasteraan negara ini.
Hingga acara tahun ini HSPM masih belum mampu dirasakan oleh khalayak di luar dunia sastera dan budaya. Tidak perlulah menjadi topik bualan seumpama program pertandingan bercorak hiburan di televisyen. Cukuplah kalau masyarakat di luar lingkaran ini tahu tentang acara yang bertaraf nasional ini.
Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu membuat sesuatu kepada HSPM. Acara yang mengiktirafkan karya sastera ini tidak boleh terus dibiarkan berlangsung kemudian sepi hingga dua tahun kemudian.
Pada acara malam tadi, novel Hari-Hari Terakhir di Jeselton yang dihasilkan oleh Ruhaini Matdarin antara lima karya yang mengungguli HSPM 2017/2018 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur malam tadi.
Ruhaimi yang merupakan antara penulis yang aktif di Sabah mendapat hadiah wang tunai RM8,000. Sebelum ini beliau telah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dalam kategori novel remaja.
Turut memenangi kategori yang sama ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar menerusi buku Jejak Seni dari Pentas Bangsawan ke Media Prima yang berbentuk memoir. Buku ini merupakan himpunan tulisan Johan dalam majalah Dewan Budaya mengenai penglibatannya selama 50 tahun dalam bidang seni dan budaya.
Johan juga turut memenangi kategori Drama Eceran, Pokok yang disiarkan di majalah Dewan Sastera. Naskhah Pokok telah dibawa ke pentas oleh Uwei Haji Saari tahun lalu.
Sementara itu Menteri Pendidikan Maszlee Malek dalam ucapannya menyarankan supaya memperbanyakkan lagi anugerah yang mengangkat martabat sastera.
Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan beberapa hartawan dan mereka menyatakan kesudian untuk menyumbang dana untuk menyemarakkan lagi dunia sastera di negara ini.
Maszlee memberitahu, pihaknya akan sama-sama merayakan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh UNESCO pada tahun depan serta membayangkan kegiatan di dunia perbukuan tumbuh dengan rancaknya seperti cendawan – melata, meliar dan meriah.
“Saya membayangkan Kuala Lumpur riuh, di mana-mana sahaja orang bercakap tentang buku, anak-anak merasa kekok tidak memegang buku di tangan, ibu bapa merasa janggal tidak membeli buku, dan setiap dari kita merasakan apa yang pernah dirasakan Abdullah Hussain, – Kuala Lumpur kita yang punya,” kata Maszlee lagi.
SENARAI PEMENANG HSPM 2017/2018
- Kategori Buku Sastera Dewasa. Hadiah wang tunai RM8,000 bagi setiap pemenang:
1. Novel ‘Hari-hari Terakhir di Jesselton’ (Ruhaini Matdarin -DBP, 2018)
2.Kumpulan Cerpen ‘Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan‘ (Roslan Jomel – ITBM, 2018)
3.Kumpulan Puisi ‘Sepasang Sayap di Bahu‘ (Muzaf Ahmad) – Kata-Pilar, 2018)
4. Kajian Sastera ‘Proses Kreatif Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang’ (Rahimah A. Hamid – DBP, 2017)
5. Autobiografi ‘Jejak Seni Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad’ (Johan Jaaffar – DBP, 2017)
- Kategori Cerpen Eceran. Hadiah wang tunai RM1,500 setiap pemenang:
1. Perempuan dan Kain Layang (Nisah Haron – Dewan Masyarakat, Januari 2018)
2. Mulieres (Hafizah Iszahanid – Dewan Sastera, Jun 2017)
3. Di Negeri Pembohong (Mana Sikana – Dewan Sastera, November 2018)
4. Cendeng Biawak (S.M. Zakir – Mingguan Malaysia, 21 Oktober 2018)
5. Ops Akliah (Saharil Hasrin Sanin – Dewan Sastera, April 2017)
6. Bukan Diksi atau Stanza (W.B. Rendra – Dewan Sastera, Februari 2018)
7. Penjaga Piala (Clayton Robert – Mingguan Malaysia, 8 Julai 2018)
8. Senantiasa Mencintai Pentas Ini (Lee Keok Chih – Dewan Budaya, Jun 2018)
9. Bukit Janna (Amida @ Hamidah Abd. Hamid – Dewan Sastera, Julai 2018)
10. Lain Jalan Bunuh Diri (Zainal Rashid Ahmad – Berita Harian, 11 November 2018)
- Kategori Cerpen Ecerran Remaja. Hadiah wang tunai RM500 setiap pemenang:
1. Anak Tanpa Watan (Salina Ibrahim – Dewan Siswa, April 2017)
2. Bulan di Gifford Avenue (Mawar Safei – Dewan Sastera, Ogos 2017)
3. Bagai Terkurung di Dalam Perut Paus (Maskiah Masrom – Majalah Pendidik, Mei 2017)
- Kategori Puisi Eceran. Hadiah wang tunai RM1,500 setiap pemenang:
1. Menghening Sunyi (Ridzuan Harun – Dewan Sastera, Januari 2017)
2. Dari Barus ke Quds Terlalu Payah Akhirnya Dijumpa di dalam Rumah (Rosli K. Matari – Dewan Sastera, Ogos 2017)
3. Catatan yang Ditemui dalam Tangan Anak Kecil di Lorong Tak Bertanda (Fahd Razy – Dewan Sastera, Ogos 2017)
4. Tanahtanah dan Lampulampu” (S.M. Zakir – Dewan Sastera, September 2017)
5. Ketika Sunyi Ini (Tanah Rata) (Marsli N.O – Dewan Sastera, September 2017)
6. Kaizen Merdeka (Jelison Jupin – Mingguan Malaysia 17 September 2017)
7. Di Kala Hujan Luruh (Rudi Mahmood – Berita Harian 11 Februari 2017)
8. Cerita Kota 2 (Ariff Mustaffa Hamzah – Berita Harian, 11 Februari 2018)
9. Pada Hari-hari yang Berharga (Hasyuda Abadi – Mingguan Malaysia, 20 Mei 2018)
10. Di Atas Pasir Tertulis Sebuah Sajak (Roslan Jomel – Berita Harian, 25 Mac 2018)
- Kategori Esei/Kritikan Sastera (Ilmiah). Hadiah wang tunai RM1,500 setiap pemenang:
1. Cerita Fantasi dan Sains Fiksyen. Membina Daya dan Kreativiti dan Motivasi Murid-murid Sekolah dalam Hospital (Ani Haji Omar – Prosiding Seminar Internasional Pertama Literature Nusantara, 2017)
2. Cerita Lisan dan Lipurlara Orang Asli: Korpus dan Interpretasi (Mohamad Luthfi Abdul Rahman – Dewan Sastera, Februari 2017)
3. Interaksi Sosial dan Peraturan Islam dalam Surat Undang-undang (Roslina Abu Bakar – Jurnal Ulum Islamiyyah, USIM, Disember 2017)
4. Kembali ke dalam Kalbu: Persoalan Ilmu dalam Dondang Pembukaan (Lim Kim Hui – Dewan Sastera, April 2017)
- Kategori Esei / Kritikan (Separa Ilmiah). Hadiah wang tunai RM1,500 setiap pemenang:
1. Ejen Persuratan Sastera Melayu Mencari Acuan Sendiri (Nisah Haron – Dewan Sastera, September 2018)
2. GETIR- Sentimentaliti dan Nostalgia Seorang Politikus (Siti Hajar Che Man -Dewan Sastera, September 2018)
3. Keris Mas: Penyair Nasionalisme-Romantis (A. Rahim Abdullah – Dewan Sastera, Januari 2017)
4. Penenun Cinta Sebuah Manifestasi Hubungan Manusia dengan Pencipta dan Khalifah (Amir Zakiy Hamzah – Dewan Sastera, Ogos-September 2017)
5. Ranggawarsita: Jaman Edan (Noriah Mohamed – Dewan Sastera, November-Disember 2017)
- Kategori Drama Eceran. Hadiah wang tunai RM1,500 setiap pemenang:
1. Pokok (Johan Jaaffar – Dewan Sastera, September 2017)
2. Sumpah Tuk Tuai (Hasnalee Tubah – Antologi Skrip Drama Pentas Darul Hana, DBP, 2018)
- Kategori Kesusasteraan Kanak-Kanak. Hadiah wang tunai RM3,000 setiap pemenang:
1. Novel Kanak-kanak Budak California (Mass Ruhaiza Ali – DBP, 2017)
2. Kumpulan Puisi Kanak-kanak Menjadi Bintang (Mazni Md. Ramly – Oyezbookstore,
2018)
3. Buku Bergambar Kanak-kanak Burung Budiman (Ladin Nuawi – ITBM, 2018)
- Kategori Kesusasteraan Remaja. Hadiah wang tunai RM3,000 setiap pemenang:
1. Novel Remaja Kembara Iman (Lisa Nurisha – DBP, 2017)
2. Kumpulan Puisi Remaja Potret Kemesraan (Hilmi Rindu – DBP, 2017)