BERIKUT adalah petikan rumusan penilaian panel juri Hadiah Sastera Selangor 2019 yang diadakan pada 16 Disember lalu di Black Box, Shah Alam Convention Centre (SACC) . Hadiah telah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.
Kategori Cerpen:
Cerpen-cerpen kali ini dari segi gubahannya hampir sama iaitu memberi penekanan kepada aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, melagakan kerangka falsafah atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri.
Namun demikian, juri bersependapat mutu karya merosot berbanding tahun lalu kerana secara umum kebanyakan karya kurang masak ideanya. Satu hal yang kekal aneh buat tahun ketiga berturut-turut, juri mengesani banyak cerpen menampilkan kucing sebagai props, watak, subjek dan alat alegori pada tahun ini.
Suatu keunikan karya-karya di SelangorKini ialah pengarang ralit bermain dengan pendekatan absurd seperti yang ternampak dalam karya tahun-tahun 1980-an. Seperti tahun lalu, kritikan sosial ini kadang-kala dihadirkan terlalu berlambang dan pengarang terbawa-bawa bermain dengannya sehingga tujuan utama yang ingin dikemukakan tercapah.
Terdapat juga sejumlah cerpen dengan pendekatan satira yang agak memikat, segar dan menonjol. Jumlah cerpen realisme adalah kecil manakala cerpen-cerpen Islami pula gubahannya terlalu simplistik.
Juri berpendapat, sesetengah cerpen masih memiliki kelemahan yang rata-rata sama iaitu idea yang kurang diperam. Sebuah cerpen yang baik juga perlu utuh dari segi rukun dan imbangan komponen karya.
Secara keseluruhannya, yang membezakan kualiti karya tahun ini antara satu sama lain ialah usaha penulis memanipulasi teknik dan strategi penceritaan selain penggunaan bahasa yang rapi dan kukuh.
Satu dua cerpen dengan gaya cereka Islami menambah rencah saingan Hadiah Sastera Selangor kali ini. Cerpen-cerpen juga dipengaruhi medium seni lain khususnya filem, anime, muzik dan catan.
Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di SelangorKini menikmati medan udara bersih untuk bersuara berikutan campur tangan editor adalah minimal dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.
Setelah perbincangan mendalam, panel juri memutuskan untuk memilih Pasca Percintaan sebagai penerima pemenang utama. Hadiah-hadiah penghargaan pula diberi kepada pengarang cerpen Kerusifiksyen: Tentang Mengarang Cereka Di Atas Kerusi, Hari Itu, Politik Cuti Sakit, Lili, dan Untuk Serasi Kau Tak Perlukan Wajah Yang Molek.
Kategori Esei
Secara umum, penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan. Pertama, dari segi jumlah, terdapat 20 penyertaan esei diterima untuk dinilai. Kedua, dari segi kualiti juga terdapat peningkatan dari tahun lalu. Akan tetapi, peningkatan tersebut dengan kadar perbezaannya agak kecil.
Juri mendapati masih terdapat banyak kelemahan yang dilakukan penulis esei. Secara ringkas, kelemahan yang dapat dilihat pada esei-esei yang dinilai pada tahun ini adalah: Penulis masih sangat terikat dengan ‘rukun’ penghasilan esei seperti yang diajar di sekolah.
Misalnya, setiap tulisan wajib ada pembukaan/intro, diikuti isi pertama, isi kedua dan seterusnya, dan penutup. Ini menjadikan esei kaku, dan tidak menarik manakala dari segi penutup, esei yang sampai kepada juri gagal memberikan penyelesaian atau kesimpulan mengenai apa yang ingin disampaikan.
Selain itu, terdapat juga kelemahan dari segi lewah dan syok sendiri. Hal ini sangat ketara pada beberapa esei. Misalnya, hal yang mudah sengaja disusahkan. Penjelasan yang lurus sengaja dibengkang-bengkokkan konon untuk menjadikan ia tulisan yang berseni.
Lebih malang, ada penulis yang terasa seperti bijak apabila menggunakan beberapa perkataan yang langka tetapi malangnya ia terasa dipaksa-paksa, dan membawa maksud yang ‘sesat’. Tidak dapat dikesan kesatuan idea yang mantap. Kebanyakan penulis cenderung bersandar kepada nama-nama tertentu dan petikan-petikan tertentu. Dalam sesetengah keadaan, ia dirasakan tidak relevan.
Satu hal lain ialah pengarang esei masih tertumpu kepada ulasan filem, buku, atau karya seseorang dan ia mungkin tidak memberi manfaat yang banyak kepada pembaca, kecuali segelintir kecil. Ada beberapa esei juga menulis tentang majlis seni/budaya sedangkan ia sepatutnya esei yang berbentuk semasa dan menyentuh kepentingan majoriti masyarakat.
Penulis yang terpilih sebagai pemenang juga berjaya menyampaikan gagasan dengan jelas, lancar dan sesekali bersahaja. Ia menjadikan tulisan mereka tidak menjemukan.
Sebagai cadangan, juri berpendapat SelangorKini wajar mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai penulis menghantar esei berkualiti. Mereka juga perlu difahamkan bahawa ulasan yang diperlukan bukanlah semata-mata mengenai buku, filem, sastera dalam bentuk yang jumud.
Setelah perbincangan mendalam, kami memilih esei Evolusi Peribahasa, Dari Unsur Alam Ke Teknologi sebagai pemenang utama manakala hadiah penghargaan pula ialah Kompleksiti Cinderella Kental Dalam Novel Popular, Disiplin Kritikan Dan Sikap Penulis, Realisme Magis Dalam Pencerekaan Azrin Fauzi dan Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino.
Kategori Sajak
Mutu sajak pada tahun ini umumnya baik tanpa ada sajak yang terlalu lemah seperti tahun lalu. Jurang antara karya yang bagus dan tidak bagus juga tidak terlalu jauh. Barangkali ini menunjukkan SelangorKini berjaya menarik lebih banyak pengkarya yang tekun menulis sajak.
Sajak untuk sebuah Mei dipilih sebagai pemenang utama atas pertimbangan kekuatan seni, wacana, pengucapan dan pemilihan kata yang segar, spontan dan tidak dipaksa-paksa, gagasan yang jelas dan penggunaan perlambangan yang menarik serta tidak klise.
Sajak itu mencabar daya imaginasi dan pemikiran dengan ungkapan yang mempunyai daya kejut. Penggunaan perlambangan yang segar juga menjadikan sajak ini terkehadapan berbanding sajak lain. Gaya penceritaan sajak pula dapat dinikmati menerusi jalinan diksi yang cermat tetapi terasa bersahaja.
Empat sajak lain yang diberi hadiah penghargaan iaitu Catatan Yang Direnyuk Ke Dalam Kasut Seorang Politikus, Hujan, Bagimu Bau. Dan bagiku Pemuzik Yang menukik Kepalaku, Kemarau Di Hujung Waktu Dan Perempuan, Sihirku mempunyai kekuatan setara dengan menawarkan nilai puisi yang tidak kurang tingginya.
Ketua juri: Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani). Panel Juri: Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Jimadie Shah Othman, Rozlan Mohamed Noor, Al-Abror Mohd Yusuf, Noor Azam Shairi, dan Ku Seman Ku Hussain
SENARAI PEMENANG HADIAH SASTERA SELANGOR 2019
Pemenang utama kategori cerpen – Nasser Mikraj (Pasca Percintaan)
Hadiah Penghargaan – Haizir Othman (Lili), Azrin Fauzi
(Kerusifiksyen: Tentang Mengarang Cereka di Atas Kerusi), Anas Mohd , (Untuk Serasi, Kau Tak perlukan Wajah yang Molek), Lokman Hakim (Hari Itu, Politik Cuti Sakit)
Pemenang utama kategori esei – Abdullah Hussaini Mohd Ghazali (Evolusi Peribahasa, dari Unsur Alam ke Teknologi).
Hadiah Penghargaan – Nazreen Coklat (Kompleksiti Cinderella Kental Dalam Novel Popular), Roslan Jomel (Disiplin Kritikan dan Sikap Penulis), Haniff Yusof (Realisme Magis Dalam Pencerekaan Azrin Fauzi), Abizai (Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino).
Pemenang utama kategori sajak – Aziz Zabidi (Sajak Untuk Sebuah Mei)
Hadiah Penghargaan – Hafiz Hamzah (Perempuan, Sihirku), Fahd Razy (Catatan Yang Direnyuk ke Dalam Kasut Seorang Politikus), Meor Izzat Mohamad (Hujan, Bagimu Bau dan Bagiku Pemuzik Yang Menukik Kepalaku), AB Nurmala (Kemarau di Hujung Waktu).
* Pemenang hadiah utama menerima wang tunai RM5,000 setiap seorang dan hadiah penghargaan RM1,000 setiap seorang.