MALAM tadi lebih 300 penyair dari 17 negara mendeklamasikan puisi bertemakan wabak Covid-19 yang menjejaskan lebih tiga suku dunia ketika ini. Video deklamasi itu disiarkan pukul 8.30 malam waktu tempatan masing-masing menerusi aplikasi Facebook.

Di Facebook sesetengah antara kita tentu dilintasi video deklamasi puisi yang  diberikan suntingan visual dan padanan audio yang memikat.  Inilah fenomena di banyak negara lain juga  di mana deklamasi puisi melintasi Facebook masing-masing.

Maknanya malam tadi, daripada sekian banyak hantaran menerusi Facebook, lebih 300 daripadanya menyingkap isi rasa jiwa penyair dalam berdepan dengan wabak yang paling besar pada alaf ini. Suara dari puisi-puisi ini menghantarkan simpati dan harapan.

Ketika ini sudah 114,393 jiwa seluruh dunia terkorban akibat wabak Covid-19,  dan  di negara ini sahaja sebanyak 78 nyawa.  Puisi bukan vaksin. Puisi juga tidak mampu memperlahan atau menghentikan penularan. Tetapi puisi yang baik memberi kekuatan.  Sama ada bagi mangsa yang sedang melawan Covid-19 atau  kita berdepan tekanan berkurung lebih sebulan lamanya.

Dr Siti Zainon Ismail
Dr Victor Pagodaev
Advertisement
Norazimah Abu Bakar
Zefri Arief
Dr Hashim Yaacob
Zainal Rashid Ahmad

Program Baca Puisi Dunia Covid-19 dianjurkan oleh Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) dengan kerjasama Nuha Creative Resources (Malaysia), Gadis Buku (Malaysia),  Salmah Creative (Indonesia) dan Ombak Scriptshouse Production (Singapura).

Negara yang mengambil bahagian dalam Baca Puisi Dunia Covid-19 ialah  Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Timor Leste, India, Pakistan, Iran, Belgium, Rusia, Korea Selatan, Itali dan Myanmar. Penyair dari negara berkenaan mendeklamasikan dalam bahasa masing-masing.

Baca Puisi Dunia Covid-19 menjadi satu isi kandungan media sosial yang berkualiti ketika kebanyakkan negara melaksanakan perintah pergerakan terhad untuk memutuskan  rantaian virus yang bermula dari China ini. Puisi-puisi ini menjadi dekat kepada khalayak negara-negara berkenaan.

Antara penyair tempatan yang mengambil bahagian malam tadi dan masih boleh disaksikan di Facebook penyair berkenaan ialah Sasterawan Negara Dr Siti Zainon Ismail,   Dr Hashim Yaacob,  Usman Gumanti Ibrahim, Zainal Rashid Ahmad, Attoks, A Ghafar Ibrahim (AGI),  Norazimah Abu Bakar, Aya Rohaiyah, Rahman Shaari, Malin Ghozali PK, Dr Ahmad Razali, Razali Mohd Yusof, Wacana Minda, Ijama MN, Barupawati Utamaju, Dr Sheila RS dan Norbaiyahhayati Salleh.

Antara penyair  luar negara,  Zefri Arief (Brunei), Dr Sulaiman Juned (Indonesia),  Dr Victor Pagodaev (Rusia), Siti Salmah (Indonesia), Dr Myoung Sook Kang (Korea Selatan), Haning Scheld (Belgium) dan Muhammad Kamran (Pakistan).

Wabak ini bukan lagi masalah sesebuah negara atau bangsa. Tetapi masalah seluruh dunia.  Bezanya kecil atau besar jumlah mangsa dan korbannya. Banyak negara sedang berperang dengan Covid-19,  mengira jumlah korban yang meningkat angkanya. Di  New York sahaja jumlahnya sudah hampir sekali ganda korban serangan pengganas pada 11 September 2001.  Belum lagi di  AS seluruhnya. Seluruh dunia bercakap mengenai satu  – wabak Covid-19.

Program ini sangat signifikannya untuk meniupkan rasa kebersamaan dengan manusia lain di seluruh dunia.  Musuhnya dan tentangan juga sama.  Trauma kehilangan orang terdekat dalam perpisahan yang sangat tragis tentu meninggalkan trauma yang panjang.

Maka puisi berupaya menyala bara kemanusiaan yang boleh dirasakan di mana sahaja berada – tidak dipisahkan muka bumi, budaya dan anutan. Covid-19  adalah serigala paling rakus  menyerang mangsanya dan antara kita penghuni planet ini berpotensi menjadi mangsa.

Ini satu permulaan yang baik.  Media sosial seperti Facebook menjadi pelantar yang baik untuk kegiatan yang rentas negeri dan negara sepanjang pelaksanaan PKP.  Wabak Covid-19  mewujudkan lanskap sosial yang baru –  acara deklamasi puisi juga mungkin tidak boleh diadakan dengan format yang lama, Setidak-tidaknya enam bulan atau setahun pasca Covid-19. 

Puisi tidak terjejas atau pupus.  Deklamasi puisi telah terbukti memasuki fasa baru secara maya.   Semoga selepas ini deklamasi puisi seperti yang dicetuskan ini menjadi sohor kini (trend). – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *