Tidur buku, bangun buku dan berjalan buku.  Buku dan buku di seluruh pelosok ibu negara Kuala Lumpur.  Itulah fenomena yang dijangka berlaku di Kuala Lumpur selama setahun bermula April ini hingga April 2021. Fenomena ini belum pernah berlaku di Kuala Lumpur walaupun ada yang bermalam di depan pintu kedai menjual tudung edisi terbaru.

Kenapa April hingga April? Sepanjang setahun itu Kuala Lumpur dipilih oleh UNESCO sebagai ‘kota buku’ dengan nama Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) Selama setahun juga Kuala Lumpur dihidupkan dengan lebih 300 acara yang berkaitan dunia buku dengan slogan KL BACA 2020

Secara purata, setiap hari ada acara buku dan yang berkaitan dengan buku di Kuala Lumpur sepanjang setahun itu. Pelancaran KLWBC 2020 akan lakukan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 22 April pukul 8 malam di Dataran Merdeka.

KLWBC 2020 adalah satu-satunya acara perbukuan terbesar di negara ini. Belum pernah buku diangkat dan dimeriahkan sedemikian rupa. Ini adalah catatan sejarah baru yang sewajarnya menjadi pemangkin perubahan tabiat membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

Acara setahun ini bermula pada 23 April serentak  Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia UNESCO.  Pemilihan ibu negara di dunia sebagai kota buku bermula 2001 apabila UNESCO apabila  Madrid, Sepanyol menjadi kota buku dunia pertama. Tahun lalu giliran Sharjah, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan gelaran itu beralih kepada Kuala Lumpur pada 2020.

Di negara-negara maju, membaca bukan kegiatan masa lapang tetapi satu keperluan dan gaya hidup. Dunia perbukuan berkembang selari dengan keperluan masyarakat maju terhadap buku. Malah membaca buku sebagai kunci kemajuan bukan menjadi rahsia lagi.

Advertisement

Bagaimanapun di negara kita,  buku agak tersingkir daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Membaca buku tidak menjadi gaya hidup kelompok majoriti,  sebaliknya tumpuan pada kegiatan-kegiatan lain yang menjurus hiburan. 

Apabila acara buku dibawa oleh sebuah badan antarabangsa seperti UNESCO ke ibu kota negara ini,  tidak ada alasan lagi untuk tidak memulakan gaya hidup baru – membaca buku.   Mendirikan menara berkembar Petronas yang pernah menjadi tertinggi dunia tidak sesukar membangunkan pemikiran masyarakat.  Buku adalah kata kunci kepada pembangunan itu.

Kejayaan program setahun ini ditentukan oleh penglibatan, kerjasama dan kefahaman seluruh ahli masyarakat terhadap matlamat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020. Kerajaan hanya menganjur serta menyediakan ratusan acara untuk disertai. 

Tetapi yang menentukan kejayaan yakni berjaya membina satu gaya hidup baru terhadap buku adalah masyarakat. Kalau masyarakat merebut peluang program ini sebagai satu lonjakan, KLWBC 2020 akan berjaya.

Maka, tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur menyambut cabaran menjadikan dunia perbukuan sebagai satu gaya hidup. Pihak korporat dan swasta juga perlu memikul tanggungjawab untuk turut melibatkan diri dalam ratusan acara yang dirancang ini.

Portal KUSEMAN.COM secara konsisten akan membawa kepada pembaca acara-acara dan jadual terkini sepanjang program KLWBC 2020 sebaik sahaja pelancaran pada 22 April.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *