Politik terus bercempera walaupun sudah hampir dua tahun  berlalunya Pilihan Raya Umum (PRU14). Hampir dua tahun juga sesetengah pemimpin kerajaan terus ‘cuci tangan’ kononnya inilah bala dari kerajaan terdahulu.  Rakyat pula bagai tertipu dengan janji pembaharuan yang dijaja dalam manifesto sebelum pilihan raya.

Kedudukan Melayu semakin terhimpit walaupun dari segi angkanya banyak Melayu di Parlimen.  Suara Melayu semakin hilang, yang timbul dan tertonjol adalah naratif-naratif liberal yang menyamaratakan kedudukan Melayu dengan kaum lain.

Dalam keadaan di mana cakap-cakap orang politik telah dilelong dengan murahnya kerana tiada nilai, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)  mengangkap pandangan golongan sasterawan dan akademia tentang politik masa kini.

Wacana ‘Andai Karam Bahtera Kita, Apakah Penyelesaiannya’  diadakan pada pukul 3 petang, 29 Februari ini di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.  PENA sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh sasterawan, penulis dan budayawan,  tidak condong kepada mana-mana parti politik.

Dr Ahmad Murad Merican
Sasterawan Negara Baha Zain (Gambar NST)

Panel terdiri daripada Sasterawan Negara Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain) dan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Melayu (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Moderator ialah Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani  dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Presiden PENA,  Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, persatuan itu  tergerak untuk mengambil bahagian  membincangkan situasi politik negara yang tidak menentu ini  bagi mengumpulkan pandangan daripada golongan cendekiawan yang tidak berpihak dan nonpartisan.

 Menurutnya, situasi politik semasa semakin membimbangkan, terutamanya yang membabitkan kepentingan bumiputera dan orang Melayu, sekali gus hal-ehwal agama Islam.  Kebimbangan ini teleh dihidu oleh PENA.

“Terlalu banyak isu kebelakangan ini yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan ummah apabila pertimbangan dari segi penguatkuasaan undang-undang tidak mencerminkan konsep pengasingan kuasa, hingga mewujudkan ketidaksaksamaan antara kaum,” tegas Dr Mohamad Saleeh.

 Masyarakat juga telah memperlihatkan reaksi protes dalam banyak bentuk kerana mereka berasa bahawa kehidupan mereka semakin terhimpit. Ini disebabkan oleh persaingan politik bukan sahaja antara parti yang berlainan kelompok, bahkan antara parti dalam kerajaan sendiri. 

Apabila ini berlaku, banyak masalah rakyat tidak dapat diberi perhatian sewajarnya kerana  sebahagian pemimpin politik menghabiskan banyak masa untu merebut kedudukan politik masing-masing. 

 Dr Mohahamd Salleh menegaskan,  PENA  tidak mengehadkan penglibatan  dalam hal ehwal politik kerana penulis perlu membuka mata dan menjadi celik politik agar penulisan mereka tidak terasing dalam permasalahan masyarakat.

 “Permasalahan dalam kerajaan dan politik negara telah memberikan kesan negatif pada hidup bangun kesusasteraan dan penerbitan buku kerana percaturan politik telah menjejaskan keupayaan agensi yang berkaitan untuk membangunkan dunia sastera dan penerbitan buku,” ujarnya.

Wacana  ini bertujuan menghimpunkan pandangan secara bertulis untuk diserahkan kepada pelbagai pihak yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal politik negara. Pada masa sama menghubungkan pandangan budayawan, akademia  dan bidang ikhtisas yang lain untuk membina idea yang praktis dalam pembinaan negara.

Wacana ini terbuka secara percuma kepada orang ramai.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *