KELANA JAYA: Syria Care memperkenalkan kaedah pesanan makanan di atas talian bagi memudahkan rakyat negara ini menghulurkan sumbangan bantuan makanan kepada pelarian Syria.
Pendekatan baru ini menggunakan kaedah seperti mana Grab Foods dan Food Panda.
Bagi membuat pesanan, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.syriacare.org.my dan menekan butang “OderFood” sebelum membuat pilihan.
Buat permulaan dua pakej diperkenalkan, iaitu pakej makanan siap masak berharga RM15 dan satu lagi pek bekalan makanan untuk sebulan dengan harga RM150.
“Bagi Ramadan tahun ini, tempahannya bermula pada 19 Februari dan proses penghantaran dan agihan makanan kepada pelarian Syria akan dilaksanakan sepanjang bulan puasa nanti”, kata Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Baki.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk Syria Care 8.0.
Majlis dirasmikan Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) yang juga isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Mohamad.
Bagi KRAK 8.0 Syria Care menyasarkan kutipan sebanyak RM7.5 juta dan dijangka lebih sejuta pelarian Syria mendapat manfaat sepanjang bulan berkenaan.
Sejak OderFood dilancarkan pada 20 November 2019, sebanyak 4,450 unit pek telah dihantar.
Dari jumlah itu 18,750 orang telah mendapat manfaat.