PADA 15 Mac 2011 rakyat Syria bersama-sama pelbagai kumpulan penentang bangkit melawan regim Presiden Bashar Al Assad yang berkuku besi. Mereka keluar beramai-ramai menuju ke jalan raya menuntut kebebasan bersuara dan demokrasi.
Tetapi setelah sembilan tahun berlalu, hari ini 15 Mac 2020 hasil kebangkitan rakyat bersama-sama kumpulan penentang hanya mencatatkan peningkatan jumlah korban dan pelarian yang luar biasa. Rakyat bertukar menjadi pelarian dalam dan juga luar negara serta menempuh kehidupan yang amat sukar.
Sejak sembilan tahun lalu Syria bukan sahaja menjadi bahan berita media-media Barat tetapi juga medan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Rusia menguji senjata pembunuh manusia. Kemanusian telah hampir mati dan manusia yang tidak berdosa menjadi bahan uji kaji keberkesanan senjata pembunuh.
Krisis di Syria menjadi sangat kompleks, rakyat yang dulunya bangkit kerana mahu keluar daripada pemerintahan kuku besi Bashar kini terperangkap dengan pertembungan kuasa-kuasa luar yang mengambil kesempatan atas keadaan yang huru-hara.
Ternyata, setelah sembilan tahun Bashar tetap kekal di tampuk kuasa sementara rakyat menjadi korban termasuk angkara kumpulan penentang yang berbagai ideologi dan matlamat. Mereka berbunuhan sesama sendiri dan Bashar menangguk hasilnya.
Tiada satupun pencapaian atau kejayaan pelbagai kumpulan penentang itu untuk menumbang Bashar, kecuali mampu bertahan di utara Idlib dan sebahgian kecil Hama serta pinggir Aleppo. Penentangan yang berterusan mencipta rekod kemusnahan manusia terbesar dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua.
Itulah gambaran tepat bagi memperingati 15 Mac 2011 di mana matlamat asal untuk menuntut hak demokrasi dan kebebasan bertukar menjadi mala petaka yang berpanjangan. Sebaliknya wujud krisis kemanusiaan dalam kalangan rakyat yang tidak berdosa. Pembunuhan berlaku di mana-mana dan sudah menjadi perkara biasa.
Ironinya sehingga hari ini tidak ada satupun tuntutan rakyat dipedulikan. Bashar terus dengan pendekatan kejam dengan bantuan sekutunya Rusia.
Pada tiga tahun pertama, penentangan rakyat menampakkan hasil apabila beberapa bandar penting seperti Aleppo, Daraa, Latakia dan lain-lain lagi berjaya dikuasai oleh penentang. Bagaimanapun keadaan itu tidak lama, kewujudan lebih 100 kumpulan penentang dengan pelbagai idealogi menyebabkan tiada persefahaman dicapai untuk menentu masa depan Syria.
Ia diburukkan lagi dengan kemunculan Islamic State (IS) yang menjadikan negara itu dan Iraq sebagai wilayah kekuasaannya.
Keadaan itu telah memberikan prasangka buruk terhadap kebangkitan rakyat Syria di mata Barat seolah-oleh mereka juga adalah IS. Mereka dikaitkan dengan perjuangan IS padahal gerakan pengganas yang bertopeng Islam itu sangat berleluasa membunuh sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya.
Campur tangan AS memerangi IS di Syria khususnya di bahagian timur laut telah memberikan peluang kepada regim Bashar untuk memberikan tumpuan di kasawan lain. Peluang itu terbuka luas dengan pembabitan secara langsung Rusia dan Iran Rusia pada 2015.
Melalui kerjasama berkenaan, Damsyik dan Tehran telah memperkukuh operasi darat dan manakala Moscow melancarkan serangan dari udara.
Strategi itu menampakkan hasil apabila Aleppo menjadi bandar utama di negara itu jatuh pada penghujung 2016 selepas empat tahun dikuasai penentang.
Bermula dengan kejatuhannya, satu demi satu bandar yang diduduki kumpulan penentang tumbang termasuk timur Ghoutah pada 2018.
Selepas sembilan tahun, wilayah yang dikuasai penentang semakin menguncup ke utara dan beberapa kawasan penting seperti Afrin, yang berada di bawah Aleppo diserap di bawah pengaruh Turki , manakala Idlib terus bertahan sebagai benteng terakhir.
Asakan bertubi-tubi sejak Disember lepas yang mengakibatkan kejatuhan bandar Khan Sheikhoun dan Saraqeb menyaksikan lebih sejuta orang melarikan diri ke utara wilayah berkenaan. Pelarian berasak-asak di wilayah itu sekaligus mencetuskan krisis kemanusiaan – bantuan makanan dan kemudahan asas petempatan yang tidak mencukupi.
Namun begitu, moral dan maruah rakyat Syria yang enggan menerima kerajaan Bashar tiada tolok tandingnya. Mereka sanggup memilih menempuh kesengsaraan daripada kembali semula di bawah cengkaman Bashar.
Pengalaman yang memeritkan era kezaliman Hafeez al Assad membulatkan tekad mereka untuk tidak lagi tunduk kepada pemimpin yang membunuh rakyatnya sediri. Ketika itu puluhan ribu disumbat ke dalam penjara dan ramai yang hilang tanpa khabar berita.
Malangnya, gabungan kumpulan pembangkang serta ketiadaan pemimpin yang benar-benar berkaliber bagi melobi nasib mereka di pentas antarabangsa.
Sebaliknya mangsa konflik terpaksa bergantung kepada kehadiran kuasa luar yang menangguk di air keruh. Kumpulan penentang Bashar bukan sahaja kekurangan senjata malah tidak ada kebersatuan antara satu dengan lain.
Ini meletakkan mereka dalam keadaan kabur, kekuatan hilang akibat pepecahan sesama penentang serta tidak ada satu sosok yang cukup berkarisma menjadi paksi menyatukan perbezaan ideologi dalam kalangan pemimpin penentang.
Dalam banyak situasi, mereka yang terkepung meletakkan harapan yang tinggi dengan kepimpinan Presiden Turki, Recip Tayyip Erdogan, yang turut terbeban dengan kemelut di negara jirannya. Bagaimanapun Erdogan tidak lepas tangan terhadap tanggungjawab kemanusiaan.
Erdogan juga ada tekanan tersendiri. Bukan setakat terpaksa menampung beban lebih 3.7 pelarian, Malah ancaman keselamatan daripada pengganas Kurdish dan paling sensitif faktor politik dalamam di negara sendiri juga membuatkan beliau berhati-hati dengan sebarang dasar di utara Syria.
Sebahagian besar pelarian bersorak gembira apabila Turki bertindak mengajar kezaliman regim Bashar al Assad di mana 33 tenterannya maut pada hujung Februari dalam serangan di Idlib.
Perjanjian gencatan senjata di Moscow pada 5 Mac lalu antara Erdogan dan Presiden Vladimir Putin mencapai persefahaman apabila Bashar bersetuju untuk mematuhi kawasan ‘Demilitarized Zone’ tetapi kelihatan terlalu rapuh.
Kini selepas sembilan tahun, tiada satupun pihak yang berani memberikan jaminan untuk menggembalikan keamanan dan memulangkan hak rakyat Syria yang dirampas oleh pemimpin kuku besi. Harapan untuk menikmati kehidupan sempurna masih jauh.
- RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care yang menulis untuk KUSEMAN.COM.