OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

BELUM seminggu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri kelapan, sudah ada pihak luar negara yang cuba campur tangan dalam hal ehwal negara ini. Ini dimulakan oleh penulis rencana editorial akhbar The Guardian UK yang menuduh campur tangan istana dalam pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kritikan terutama rencana editorial oleh akhbar luar negara bukanlah suatu isu.  Negara kita terbuka kepada kritikan. Bagaimanapun bukan pada tuduhan yang menafikan fakta sama sekali. Tambahan pula hujah-hujah ymereka  sama seperti yang digunakan oleh pihak yang menolak pelantikan Muhyiddin di negara ini.

Tentulah menimbulkan persoalan – satu kebetulan atau dirancang dengan penyediaan maklumat oleh pihak tertentu di negara ini?

Muhyiddin (kiri) pada acara angkat sumpah sebagai Perdana Menteri 1 Mac lalu (Gambar – Bernama)

Dakwaan The Guardian UK sama sekali tidak benar, apa lagi mengaitkan pihak Istana sebagai perancang rampasan kuasa – daripada Dr Mahathir kepada Muhyiddin. Fakta yang tidak disebutkan ialah peletakkan jawatan Dr Mahathir dan kesungguhan Yang Dipertuan Agong mewawacara semua Ahli Parlimen.

Hal ini perlu disebutkan untuk membuktikan sama sekali tidak berlaku campurtangan Istana dan tidak ada rampasan kuasa seperti  mana ‘maklumat’ yang  mungkin disampaikan kepada akhbar British itu.

Mempersoalkan tindakan The Guardian UK bukan bermakna tidak ada ruang kebebasan memberi pandangan di negara ini. Kebebasan terus wujud tetapi perlu selari dengan tanggungjawab. Kebebasan tidak ada  makna kalau tidak selari dengan tanggungjawab.

Al Gore (Gambar – Nikkei Asian Review)
Jim Shannon

Selepas The Guardian UK, Ahli Parlimen British Jim Shannon dari Democratic Unionist Party yang kuat menyokong Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) juga memperkatakan perkara yang sama – ‘rampas kuasa’ oleh pihak istana.

Jim Shannon yang menuduh keadaan tidak tenteram di Malaysia disebabkan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.  Hujah ini juga sama dengan yang pernah diucapkan oleh beberapa pemimpin pembangkang selepas Muhyiddin dipilih Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri.

Ini lebih pada satu bentuk tekanan diplomatik yang ditujukan kepada pentadbiran Muhyiddin dengan penglibatan ‘orang dalam’ dari dalam negara.  Pada masa yang sama  pula ada portal berita menyiarkan kenyataan-kenyataan pihak luar negara yang condong kepada pembangkang yang telah tumbang.

Advertisement

Portal berkenaan melaporkan, gelombang tekanan diplomatik telah bermula.  Kemudian  akan disusuli dengan rangkaian penulis-penulis di media luar negara serta modenis Islam untuk membentuk persepsi serong antarabangsa terhadap  hal ehwal pentadbiran negara ini.

Sebagai makluman,  selepas kemelut politik selama seminggu,  Pakatan Harapan blok parti kerajaan yang dikuasai oleh DAP dan PKR yang ‘tidak mesra’ Melayu dan Islam telah ditumbangkan oleh blok baru, Perikatan Nasional yang didominasi oleh parti politik Melayu Islam dan sedikit bukan Islam.

Campur tangan pihak luar ini berlaku kemungkinan disebabkan wujud ‘pengkhianat’ dalam kalangan pihak tertentu di negara ini. Mereka menyalurkan maklumat untuk digunakan oleh pihak luar menjatuhkan reputasi negara di mata dunia.

Mengheret pihak luar mengkritik hal-hal dalaman negara bukan perkara baru. Tentu masih segar dalam ingatan kita bagaimana Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 1998,  Al Gore turut melaungkan ‘Reformasi’  semasa di Kuala Lumpur.  Ini memang sangat biadab.  Kemudian disusuli kritikan media  Barat terhadap Malaysia yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Sejak pelantikan Muhyiddin pada 29 Fabruari lalu, istilah ‘pengkhianat’  telah diratibkan setiap masa oleh pihak tertentu  ditujukan kepada Muhyiddin dicalonkan sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir meletak jawatan.  Malah ‘pengkhianat’ antara kata kunci yang sangat popular sejak lebih seminggu lalu.

Melihat pada peristiwa yang berlaku, ‘pengkhianat’ lebih tepat digunakan oleh pihak yang menjadi tali barut pihak luar negara untuk menjatuhkan nama baik Malaysia.  Oleh yang demikian, setiap kali mereka meratibkan ‘pengkhianat’  sebenarnya merujuk kepada diri mereka sendiri.  Semoga ‘pengkhianat’ sedar akan hakikat dirinya dan berhenti menuding kepada orang lain.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *